Haji Umrah 2013 : Mabit dan Melontar di Mina 1

Awal pagi kami sampai ke Mina, masih gelap lagi. Bas hantar betul-betul hadapan pintu masuk maktab 91. Ada banyak khemah kat situ, jadi pegawai Tabung Haji tunjukkan khemah yang mana satu. Masuk saja ke khemah dan cari lokasi yang ditetapkan apa lagi hampar tikar terus landing sementara tunggu masuk waktu subuh.



Khemah yang besar nie beralaskan karpet sahaja. Jadi jemaah boleh tidur terus atas karpet tu atau bolehlah hampar tikar sendiri. Tak boleh sesuka hati hampar. Seperti kat Padang Arafah juga dalam khemah yang besar nie telah ditentukan kumpulan-kumpulan kecil lebih kurang 10 orang berpandukan nama tertera kat tiang khemah. Pandai-pandailah susun untuk tidur. Selalunya disusun kaki bertemu kaki dan kepala bertemu kepala.


10 Zulhijjah, pagi yang ceria. Beribu-ribu khemah warna putih yang menempatkan berbagai negara disekitar Mina. Oleh kerana berada di sini 3 hari maka ada aktiviti jual beli dilakukan di tepi-tepi jalan raya. Macam-macam ada dari tasbih, selipar, jubah, kitab, makanan dan macam-macam lagi.


Gerai minuman. Tak macam Malaysia, kat sini semua minuman dalam tin atau kotak dan jika bancuh pun guna 3in1 atau peket celup air panas ja.

Ada jemaah yang berkhemah atas bukit sekitar Mina.





Aktiviti perniagaan banyak terdapat di tepi-tepi jalan.



Kat Mina nie aktiviti utama ialah melontar tapi perlulah diisi juga dengan ibadat-badat lain. Disamping ibadat yang dibuat bersendirian, Tabung haji juga buat ceramah-ceramah agama.
Pintu hadapan Maktab 91

Mendengar ceramah dari ustaz.
Waktu afdal melontar di Jamrah Kubra ialah ketika waktu duha 10 Zulhijah. Tapi kami pi melontar lepas maghrib, ikut Tabung haji cakap waktu lepas maghrib tak berapa sesak. Lagi pun ketika ini TH menyediakan mutawif yang bawa jemaah pi melontar. Jadi kami ikut saja lah. Macam biasa sampai sekerat jalan kami kemana, mutawif kemana. Jadi ikutlah pergerakan orang mesti depa pun nak pi tempat yang sama. Ramai juga kawan-kawan jemaah yang lain gegas ke jamrah melontar ketika waktu duha dan depa cakap tak berapa sesak pun. Mungkin jamrah dah dibuat 4 tingkat.

Jarak dari khemah ke jamrah lebih kurang 2 kilometer. Haaaa... pi balik ada dalam 4 kilo. Tapi dengan orang yang ramai berkejar-kejar tak terasa dah jalan 2 kilometer. Nak sampai ke jamrah nie kami lalui dua terowong (tembus bukit la tu). Laluan yang disediakan pun cukup selesa. Sambil berjalan bertalbiah lah.
Terbayang macam mana orang dulu-dulu depa naik bukit-bukit batu dalam panas terik pi melontar. Tak macam sekarang jalan datar saja melalui dua terowong yang menembusi bukit-bukit batu disitu. Dalam terowong tu pulak ada kipas ~ amat selesa. Jemaah masa nie boleh jalan kaki atau naik beberapa eskalator. Berdiri ja dia bawak jalan.

Dalam perjalanan terdengar jemaah yang bertakbir menanda mereka telah selesai melontar di jamrah kubra.... tak tau apa perasaan nak cakap dah.Kami masih lagi bertalbiah.

 Jamrah Kubra atau Jamratul Aqabah merupakan jamrah yang berada di hujung sekali. Jangan dok pi lontar ikut dan ja.

Masa nak melontar tak perlu bertolak-tolak atau melontar dari jauh. Melontar nie perlu yakin batu tu masuk ke jamrah. Sekarang jamrah di buat empat tingkat, jadi cuma bersabar. Jalan pelan-pelan nanti sampai lah ke tebing jamrah tu. Yang melontar pun bukan nak duduk lama-lama, habis tujuh biji anak batu pakat-pakat beredar. Janagn lupa meghadap khiblat ketika melontar.

Jamrah Kubra atau Jamratul Aqabah
Selesai melontar bacalah doa, dalam buku tabung haji ada doa tu. Dalam perjalanan balik bertakbir dan bertahmid memuji kebesaran Illahi.
 Dalam perjalanan balik baru berani lihat kiri kanan jalan. Tadi waktu datang macam-macam perasaan dok ada, takot sesat, takot silap dan macam-macam lagi. Masa balik lihat kat bawah jejambat tuuu dia ramainya manusia kat jalan-jalan raya dan khemah-khemah pun bersusun. Khemah-khemah yang dok dekat nie pasti dekat dengan jamrah. Mungkin khemah-khemah nie kot yang orang kata dok kat Mina yang asal, yang kami dok dikira Muassim.
Dalam perjalanan balik. Lihat kat bawah jejambat, manusia dan khemah-khemah bersusun.
 Sebelum sampai ke khemah, kat tepi-tepi jalan ada yang mengambil upah cukur rambut. Apa lagi hulur kepala kat depa kasi licin. Kat sini pisau tak berapa tajam dan masa bercukur tak diletakkan sabun seperti kat Mekah, cuma dibasah dengan air saja. Jadi terasa pedih juga kat kepala.
Berguntin atau bercukur
Selepas bercukur bolehlah buka kain ihram dan pakai pakaian biasa. Apa lagi sambut Raya Haji lah. Tapi kat sini tak terasa kemeriahan hari raya dan tak dak pun kuih raya. Kemeriahan tu terasa dalam hati... macam tak percaya kami dah sampai kesini.
Berbagai jualan ada.

Kat Mina nie kalau lapar jangan risau, ada banyak kedai makan. Macam-macam ada, nasi beriyani, murtabak, buah dan entah apa-apa lagi lah.


Kalau lapar macam-macam ada. Kebanyakan pekerja bukan rakyat tempatan.
Aku balik terus ke khemah. Terasa gatai rambut kat badan, pi mandi dulu. Lepas mandi perut pula terasa lapar, apa lagi cari air panas rebus mee segera Indo-Mie.
Kat Malaysia depa makan ketupat rendang hari raya tapi aku makan Indo-Mie yang diberi ketika sampai ke Maktab. Walau mee segera tapi feeling tak sama.

Selesai sudah satu hari di Mina. Alhamdulillah hari ini telah tertunai dua wajib haji iaitu melontar di Jamrah Kubra dan mabit di Mina dan juga satu rukun haji iaitu bercukur. Mata pun dah mengantuk. Ada tiga hari lagi dan tiga kali lagi akan ziarah ke jamrah untuk melontar.


Pautan catatan perjalanan Haji Umrah dan Ziarah kami di Kota Mekah dan Madinah tahun 2013/1434H:

1. Haji Umrah 2013/1434H: Persiapan
2. Haji Umrah 2013/1434H : Mekah 1
3. Haji Umrah 2013/1434H : Mekah 2
4. Haji Umrah 2013/1434H : Mekah 3
5. Haji Umrah 2013/1434H : Mekah 4
6. Haji Umrah 2013/1434H : Mekah 5
7. Haji Umrah 2013/1434H : Menghampiri Wukuf
8. Haji Umrah 2013/1434H : Wukuf di Padang Arafah
9. Haji Umrah 2013/1434H : Mabit di Muzdalifah
10. Haji Umrah 2013/1434H : Mabit Dan Melontar Di Mina 1
11. Haji Umrah 2013/1434H : Mabit Dan Melontar Di Mina 2
12. Haji Umrah 2013/1434H : Mekah 6
13. Haji Umrah 2013/1434H : Ziarah Kota Mekah
14. Haji Umrah 2013/1434H : Ziarah Kota Jeddah
15. Haji Umrah 2013/1434H : Ziarah Hudaibiyah
16. Haji Umrah 2013/1434H : Hari Terakhir Di Mekah 1
17. Haji Umrah 2013/1434H : Hari Terakhir Di Mekah 2
18. Haji Umrah 2013/1434H : Abraj Al-Janadriyah
19. Haji Umrah 2013/1434H : Perjalanan Ke Madinah
20. Haji Umrah 2013/1434H : Madinah 1
21. Haji Umrah 2013/1434H : Madinah 2
22. Haji Umrah 2013/1434H : Madinah 3
23. Haji Umrah 2013/1434H : Madinah 4
24. Haji Umrah 2013/1434H : Ziarah Kota Madinah
25. Haji Umrah 2013/1434H : Perkuburan Baqi
26. Haji Umrah 2013/1434H : Madinah 5
27. Haji Umrah 2013/1434H : Holiday Villa Madinah
28. Haji Umrah 2013/1434H : Perjalanan Pulang



Catatan ini merupakan kenangan kami mengerjakan ibadat Haji Umrah dan Ziarah pada tahun 2013 / 1434H. Bukan ditulis untuk berbangga diri atau riak dengan peluang menjadi tetamuNya. Mohon dijauhkan dari sifat-sifat tersebut. Catatan ini bukan panduan mengerjakan Haji dan Umrah dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Kepada pembaca doakanlah ibadat yang telah kami lakukan diterima oleh Allah SWT dan dijemput lagi kami kesana.

Haji dan Umrah 2013 / 1434H  KT50
Makah : Abraj Janadriyah Maktab 91 Tingkat 11
Madinah : Holiday Villa Madinah 



No comments:

Post a Comment