Showing posts with label Nasi Campur. Show all posts
Showing posts with label Nasi Campur. Show all posts

Eryna Cafe Curry Claypot, Balik Pulau

Kali ini geng tempat kerja tong-tong duit makan dan lepak ramai-ramai. Perjalanan untuk makan tengahari kali ini jauh juga ditambah dengan jalan berliku dan naik bukit. Maklumlah ke Balik Pulau. Katanya tempat sedap dengan masakan ala kampung dan yang menjadi kegilaan ialah kari ikan dalam periuk tanah - claypot la tu.

Perjalanan hampir di hujung dunia. Sampai ke Kuala Sungai Pinang. Di tepi kuala ada sebuah warung. Dari jauh nampak biasa-biasa sahaja. Dihadapn kedai tergantung banting Eryna Cafe Curry Claypot Kuala Sungai Pinang. Nampak kereta dan motor banyak pakir dihadapan kedai, tapi tak nampak ramai orang pun. 
Eryna Cafe Curry Claypot Kuala Sungai Pinang.
Masuk ke dalam baru nampak pengunjung. Rupanya ruang makan berada di balik kedai ini. Kira kami masuk pintu dapur lah. Pengunjung boleh tahan ramai juga. Kebanyakannya datang dalam kumpulan-kumpulan macam kamilah kot. Sekali sekala nak makan sedap dihujung dunia.
Ruang makan yang selesa.

Disini pilihan menu tak banyak, ada kari ikan, ayam goreng, ikan goreng, sambal udang, sayur-sayur, ulam begitu sahaja. Jadi aku biar geng-geng yang dah biasa oder, aku bahagian balun saja.
Antara menu yang disediakan.

 Lauk-lauk sampingan pilih di kaunter. Tak berapa lama sampailah hidangan.
Antara menu sampingan yang kami ambil. Ikan curut menjadi tarikan, rapuh. Yang lain sambal udang, ulam, telur masin.

Yang terakhir dan yang menjadi menu utama, Kari Ikan Jenahak. Kari ikan datang dalam periuk tanah, masih menggelegak lagi kuahnya - puas ambil bau.

Ini dia menu utama, Kari Ikan dalam periuk tanah. Periuk ini besar, seekor ikan jenahak menyelam disini. Bahan-bahan lain seperti bendi dan tomato pun banyak. Sesuai untuk 4 ke 5 orang. Asap original, bukan edit

Nasihat dari yang biasa makan disini. Periuk tanah ini dapat simpan haba dengan lama. Jadi sampai sahaja kari ini yang masih menggelegak panas, jangan tunggu lama sangat. Cedok ikan dan letak dalam bekas asing, supaya ikan tak terlebih masak dan hancur.
Aku punya. Pilihan terbaik selalu dibahagian perut.
Kari yang sampai memang terbaik, rasa rempah, asam, garam semua cukup. Bahan-bahan seperti tomato dan bendi pun banyak. Alhamdulillah semua clear.

Pilihan menu disini tak banyak, jadi kepada yang hendak datang kesini pastikan peminat kari ikan, memang terbaik. Masa balik hujan lebat, tak boleh ambil gambar tepi kuala. Kepada yang hendak merasa kari ikan, sedikit maklumat Eryna Cafe Curry Claypot.

Alamat:
Eryna Cafe
Jalan Kuala Sungai Pinang
Balik Pulau

No Telefon:
012-416 4445 / 017-5522611

Waktu operasi:
Dibuka dari jam 9 pagi hingga 2.30 petang setiap hari.
Tutup hari Selasa

Lokasi dari GPS dan Google Map:
5°23'26.6"N 100°11'45.6"E
5.390730, 100.196011



Rumah Makan Nasi Talam - Taiping

Satu lagi yang kami pernah singgah untuk makan tengahari di Taiping iaitu Rumah Makan Nasi Talam yang terletak di tepi Jalan Pokok Assam. Nama warung seperti di Indonesia. Nak rasa macam ke Indonesia pula.
Rumah Makan Nasi Talam Taiping

Dah nama macam warung Indonesia jadi cara hidagan disaji pun ala-ala Nasi Padang. Dimana setiap lauk dah di cedok dan dihidang dalam piring. Jadi pelanggan cuma pilih sahaja apa yang ada dalam piring dan diletak dalam talam.

Menu masakan yang ada boleh kata banyak juga. Tapi yang menjadikannya nampak banyak sebab ditambah dengan pring-piring yang telah diisi lauk.
Walau ala-ala nasi padang tetapi masakannya citarasa orang Melayu kita, ala kampung gitu. Ada patin tempoyak, bawal 3 rasa, kerabu, kerang rebus, ikan bakar, kari ikan, sayur-sayuran, ulam dan banyak lagi. Yang menarik disini ada pekasam daging dan ikan.
Piring-piring kecil terisi dengan lauk untuk dipilih pelanggan.

Berbagai masakan ada.

Ikan 3 rasa.


Disini ada set talam yang standard iaitu setalam yang mengandungi beberapa masakan disertakan dengan sebekas nasi dan sejug air sirap dengan harga RM20.00, bolehlah untuk 2 ke 3 orang makan. Kalau rasa tak cukup boleh tambah lauk lain dengan tambahan harga.
Ini set talam yang standard bersama sebekas nasi dan sejug air sirap berharga RM20.00

Kami tak ambil set ini sebab ada masakan yang kami tak nak. Jadi pilihlah apa yang berkenan dihati. Jadi berpiring-piring yang ada diatas meja bila makan.

Antara pilihan kami.
Yang nampak klasik disini ialah pinggan yang digunakan. Pinggan porselin seperti pinggan orang dulu-dulu bercampur-campur bunga nya dan juga nasi di letakkan dalam lekaq. Haaa orang sekarang ni mana tahu apa itu lekaq. Lekaq itu dalam bahasa baku ialah lekar 😁😁😁, iaitu bekas yang di buat dari anyaman rotan.
Inilah lekar, bekas nasi yang dibuat dengan rotan.

Bagi aku, rasa masakan disini biasa-biasa sahaja tetapi yang menjadikan ianya menarik dan unik ialah cara hidangan ini di sajikan dalam piring. Cara hidangan ini memudahkan tokey kedai kira. Walau dalam piring-piring yang sama saiz tapi harga bukan macam kedai RM2 tau, semua harga sama. Setiap piring harganya ikut jenis lauk.


Kepada yang nak merasai makan ala-ala Nasi Padang boleh kesini. Dibawah aku letakkan maklumat ringkas.

Alamat:
Rumah Makan Nasi Talam,
Jalan Pokok Assam,
Taiping, Perak.

Telefon:
017-538 9331

Waktu operasi:
Dibuka pada hari Sabtu hingga Khamis jam 10 pagi hingga 5.00 petang
Tutup hari Jumaat.

GPS dan lokasi dari google map:
4°50'13.3"N 100°44'48.6"E
4.837029, 100.746829

Warung Kari Ikan Sembilang & Udang Galah Menggelupoq - Kamunting

Tuuuu dia panjangnya nama warung aku nak kena buat short form, Warung Kari Ikan Sembilang & Udang Galah Menggelupoq. Warung ini dekat sahaja dengan Tol Taiping Utara. Selepas  keluar tol jumpa lampu isyarat belok kiri dalam  setengah kilometer akan jumpa warung ini disebelah kiri, betul-betul tepi jalan.
Warung Kari Ikan Sembilang & Udang Galah Menggelupoq, 

Kami sampai kesini dua kali. Makan tengahari masakan ala lampung. Berbagai masakan ada seperti kari, kurma, sambal tumis, kicap dengan lauk ikan, sembilang, daging, udang, sotong, kambing dan sebagainya. Ulam-ulaman beserta sambal pun ada.


Makan dihidang macam katering rumah kenduri.

Yang menjadi masakan pembunuh / killer ialah gulai semilang dan juga sambal tumis udang galah. Yang ini mesti cuba bila sampai kesini.
Sambal anak udang galah

Kari sembilang.

Ikan sembilang aku tak berapa suka, jadi aku tak boleh komen. Tapi sambal udang galah memang terbaik, rasa sedap bukan kerana udang tu sahaja tetapi kuah sambal tu memang sedap rasa manis-manis pedas ditambah dengan rasa udang memang terbaik. Tak makan udang tak apa, tapi kuah tu yang boleh lajak 2 pinggan nasi.
Sambal udang galah. Ini killer, kuah sedap.
Satu lagi yang aku suka ialah kurma kambing. Dia punya kuah pekat melekat memenuhi citarasa aku.
Kurma kambing. Yang ni aku suka, kuah pekat melekat.
Masak lemak siput sedut.

Selain dari makanan yang menarik disini ialah suasana dalaman warong. Kerusi dan meja dibuat dari kayu seperti kayu terpakai dan ada ruang yang boleh pengunjung makan bersila atas lantai. Dibelakang warung pula ada sungai mengalir, bolehlah layan pemandangan sungai waktu makan.
Alhamdulillah, sedap.

Kalau nak bersila ada ruang disediakan, haaa boleh bersila macam kat rumah.

Sebelah tu boleh layan sungai.

Harga makanan jika pilih lauk biasa-biasa sahaja bagi aku harga berpatutan. Jika ambil udang galah, kena paham-pahamlah. Tanda harga udang galah dan ikan sembilang di letakkan.
Harga sembilang dan udang galah dibagi tahu.

Warung ini bagi aku bersih dan ditambah dengan tokey kedai yang ramah. Kepada yang nak merasai makanan ala kampung dan nak merasa sambal udang galah dan kari ikan sembilang boleh datang sini, tak mengecewakan. Dibawah maklumat warung.

Alamat:
Warung Kari Ikan Sembilang & Udang Galah Menggelupoq,
Kamunting
(Selepas Tol Taiping Utara jumpa lampu isyarat belok kiri dan jalan dalam setengah kilometer)

Waktu operasi:
Buka hari Rabu hingga Isnin dari jam 8 pagi hingga 6.30 petang
Tutup hari Selasa

Telefon:
011-1303 2523

Lokasi GPS dan Google Map:

4°53'58.9"N 100°40'15.3"E
4.899697, 100.670913




Selera Warisan Abah - Taiping

Aku kampoi semua kedai makan yang kami pernah sampai di Kamunting dan Taiping. Walau macam tak berapa meriah tapi banyak juga kedai makan menarik disini. Semenjak berulang alik ke Taiping tak pernah lagi ke kedai Tom Yam atau Ala Thai. Entahlah tak pasti.
Penjara Taiping

Kali ini juga bukan kedai Tom Yam πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚ . Kali ini kami ke Selera Warisan Abah, sebuah warong masakan ala kampung terletak di persimpangan jalan dekat saja dengan Panjara Taiping. Terletak betul-betul di tepi jalan.
Selera Warisan Abah

Waktu tengahari orang boleh tahan ramai juga. Masakan ala kampung memang sedap kat sini. Macam-macam masakan ada. Kari, masak tempoyak, masak lemak, kerabu sambal dan ulam-ulaman dan ada juga bakar-bakar seperti ayam, ikan pari dan keli.


Macam-macam lauk ala kampung ada. Ada banyak lagi lauk tapi aku tak ambil gambar ~ entah pasai apa.

Aku biasa makan tengahari sahaja disini dan amat memenuhi selera aku. Untuk makan tengahari, jangan sampai lewat sangat nanti lauk habis. Sarapan disini aku tak pasti macam mana ~ tak pernah lagi cuba. Kedai ini bagi aku bersih dan selesa ditambah dengan pekerja yang ramah. Harga pula berpatutan. Ramai ibu bapa yang bawa anak outing makan disini.


Ramai ibu bapa bawa anak outing makan disini (ada dua sekolah asrama penuh disini Sek Men Sains Tun Raja Azlan Shah dan Sek Men Sain MARA Taiping). Kalau nak datang, dibawah aku bagi sedikit maklumat.

Selera Warisan Abah
Jalan Kemunting Lama

Facebook: Selera-Warisan-Abah

Waktu operasi:
Buka setiap hari jam 7.00 pagi hingga 5.00 petang.
Tutup hari Rabu

Lokasi GPS dan Google Map:
4°51'44.4"N 100°44'55.9"E
4.862333, 100.748861


Ikan Bakar Parit Gabis - Cawangan Kamunting

Nama kedai pun macam bank juga ada cawangan. Seperti biasa outing dengan M Ammar. Hari ini nak istimewa sedikit, isteri aku nak belanja sempena birthday boy, akulah tu. Makan tengahari istimewa. Selepas ke STRATAS ambil Ammar kami patah balik ke Kamunting. Sampai di The BBQ Garage, pekerja disitu baru nak buka kedai. Alamakkk tak jadilah. Malas nak carai tempat lain, kami terus sahaja ke atas lagi dan berjumpa Akan Bakar Parit Gabis (Cawangan Kamunting). Jadi kona masuk sajalah ke situ.
Ikan Bakar Parit Gabis Cawangan Kamunting

Selalu bila lintas dihadapan kedai ni, orang boleh kata ramai juga dengan asap bakar ikan berkepul keluar. Tapi masa kami sampai orang tak ramai, mungkin dah lewat sedikit. Parking mudah disini sebab disebelah kedai ada kawasan pakir yang luas.

Menu lauk disini taklah berderet-deretlah banyak. Tapi bagi aku OK, janji sedap.  Disini ada kari, pajeri, masak kicap, sambal, masak lemak, kerabu, ulam dan yang menarik ada berbagai juadah bakar seperti ikan talapia, keli, cencaru, merah dan sebagainya. Nampak macam biasa-biasa sahaja. Ini yang kami ambil.
Ikan talapia bakar bersama air asam mabeles.

Keli bakar

Ayam bakar.
Nampak biasa-biasa sahaja. Tetapi lepas makan disini, perghhh... memang sedap. Masakan ala kampung disini memang terasa masakan kampung (apa aku cakap nie??? suka hatilah). Ikan bakar dia memang terasa perapan rempah-rempahnya dan yang paling sedap ialah air asamnya. Air asam lain dari yang lain, kalau setakat lihat memang macam tak berapa menyelerakan dengan warna yang kelam dan serabut. Tapi setelah dicicah dengan ikan bakar, terasa nak minta bungkus bawak balik.

Terima kasih iateri aku belanja, alhamdulillah sedap, Tolong abaikan perut yang termasuk dalam gambar.

Warung ini dibuka untuk makan tengahari, jadi kepada yang hendak datang sini, dibawak aku bagi sedikit maklumat:

Ikan Bakar Parit Gabis Cawangan Kamunting
Jalan Kamunting Lama.
(Keluar Tol Taiping (Utara), jumpa simpang empat terus sahaja ke arah Kamunting/Taiping. Dalam 1.5KM, kedai berada di sebelah kiri)

Waktu operasi:
Setipa hari : 12.30 tengahari-5.00 petang

Telefon:
014 - 2506659

Lokasi GPS dan Google Map:

4°53'59.4"N 100°40'53.9"E
4.899827, 100.681634




KL - Hari 7 : Masakan Melayu Asli Raso Omak Den

Pagi Rabu 21hb Disember 2016, melayan bebudak menonton wayang entah apa filem apa aku pun dah lupa.

Lewat tengahari sikit kami keluar semula untuk ziarah emak penakan yang ada di KL nie. Sebelum sampai kesana makan tengahari dulu. Kali nie pekena dulu masakan orang negeri sembilan. Nama restoran pun dah macam orang nogori. Restoran Masakan Melayu Asli Raso Omak Den.
Restoran Masakan Melayu Asli Raso Omak Den


Bila masuk kedalam restoran terasa macam berada di Negeri Sembilan. Bukan kerana mereka pakai baju minangkabau atau ada bumbung tajam seperti perahu. Tapi melihatkan masakannya yang kebanyakannya kekuningan. Berbagai pilihan masak lemak cili padi.
Barisan makanan yang panjang... nak sebulan ulang makan disini baru khatam.

Antara hidangan popular ialah daging salai lemak cili padi, udang galah lemak cili padi, siput sedut, pari bakar, tempoyak daun kayu, cendawan kukur, ayam kampung berlada, telur itik dan terubuk masin ~ copy pest dari BH. Jom kita lihat menunya.
Menu dan harga Raso Omak Den

Walau keistimewaan masakan Negeri Sembilan disini, masakan lain pun ada. seperti sup, kari dan sebagainya. Layan gambar kat bawah nie. Oleh kerana kami datang mungkin terlewat sedikit jadi ada masakan yang dah tinggal kuah.
Tempoyak daun kayu.

Berbagai masak lemak ada disini.
Selain masak lemak, masakan lain pun ada. Jangan risau.


Macam-macam yang nampak sedap tapi ini perut manusia jadi dapat makan sejenis dua lauk sajalah. Alhamdulillah boleh kata sedap belaka. Terasa kenegeriannya.
Pengunjung bukan main ramai. 

Walaupun hampir jam 3 petang kami sampai, restoran ini masih ramai pengunjung, jadi bersabarlah. Walaupun pengunjung ramai restoran nampak bersih dan kemas. Parking untuk ke sini memang tak ada masalah sebab dihadapan lot kedai disini ada kawasan luas tapak pasar malam, jadi paking sajalah disitu. Tapi pastikan tak tinggal kenderaan sehingga malam mana tahu terkena hari pasar malam beroperas kena saman pula.

Kepada yang nak rasa masakan tradisi Negeri Sembilan disinilah tempatnya.

Alamat:
Restoran Masakan Melayu Asli - Raso Omak Den
318, Lorong Selangor,
Pusat Bandar Melawati,
Kuala Lumpur
(Ada sebuah lagi cawangan di Taman Danau Kota)

No telefon:
012-6787372 (Othman Daud)

Waktu operasi:
Dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 6 petang
Tutup pada hari Jumaat

GPS:
3°12'36.0"N 101°44'57.9"E
3.210012, 101.749408

Lokasi dari Google Map:


Selesai makan perjalanan diteruskan ke Kampung Pandan, ziarah Mak Cik, adik bapa aku. Alhamdulillah Mak cik aku masih sihat tetapi dah tak berapa kuat macam dulu-dulu. Masa aku kecil-kecil beliau selalu jahit baju tidor kami. Sekarang dah tak boleh, mata tak berapa tajam.
Mak Cik bersama anak penakan dan cucu-cucunya.

Insyallah lain kali datang KL kami singgah lagi sini.