Kenapa Undi Perlu Rahsia ?

Dah dekat-dekat nak undi PRU13 nie saja nak tulis sikit tapi bukan nak mengata dan menumpat mana-mana parti. Parti tupperware kena banyak berkata-kata, baru duit masukkk.

Kenapa undi anda rahsia? Dalam media pun diwar-warkan undi adalah rahsia. Kita yang pangkah suka hatilah nak rahsia atau tak. Tapi kanapa perlu rahsia? mungkin ada sebab-sebab tertentu.


1- Takut bos:
Dapat bos yang fanatik, lalu macam-macam ugutan kepada staf supaya mengikut telunjuk dia. Jadi dipaksa pangkah parti yang dia berkenan. Kalau tidak nanti kena ditukar ke cawangan lain atau laporan prestasi merudum, kanaikan pangkat pun susah. Kadang-kadang baju korporat pun dibuat macam baju parti (pernah aku tengok). Jadi apa lagi berlakon depan boslah.

2- Kau garu belakang aku, aku garu belakang kau:
Ini untuk orang berniagalah. Bukan senang nak dapat projek terutama peniaga Melayu. Nak dapat dari bangsa lain, boleh bilang dengan jari. Mahu tak mahu kalau nak hidup kena dapat projek kerajaan ( tak kisah lah kerajaan negeri atau pusat ). Jadi walau pun sokong atau tak mestilah menunjukkan kesungguhan menyokong parti tertentu (kadang-kadang kena hulur sikit buat belanja parti). Nanti kalau menang bolehlah rasa sorang sikit.

3- Rumah kecil tiang seribu:
Ini hal adik beradik, sepupu-sepapat dan yang sekutu dengannya. Dalam ramai-ramai tu macam-macam ideologi yang ada. Kalau yang jenis diam atau dapat menerima perbezaan OKlah. Tapi yang jenis cakap dia saja yang betul, orang lain salah, nie yang buat pening kepala. Dalam adik-beradik pun dok melobi parti. Jadi untuk tak mengecil hatinya atau bermasam muka maka angguk sajalah. Asal tak berpecah adik beradik.

4- Mengikut arus semasa:
Dah sekampung atau sepejabat sokong sejenis parti saja, cuma kita saja yang ada ideologi lain sikit. Nak berdebat, maklumat pun tak berapa cukup dan tak tau kesahihannya (harap dari YouTube, FB, akhbar dan blog). Silap-silap boleh jadi bahan lawak. Jadi buat bodoh sajalah. Nanti nyatakan pendirian masa mengundi.

5- Ada untung :
Maklumlah pacak bendera parti tu dapat RM100.00 semalam, duit minyak lagi, t-shirt pun dapat. Parti pilihan hati pacak bendera tak dapat apa-apa, silap-silap kena keluar duit poket sendiri pula. Jadi pacak sajalah, masa mengundi kita kira lain.

Pikir dulu sebelum pangkah dan terimalah segala keputusan dengan bijak. Selamat mengundi dengan selamat.

p/s: Kepada cikgu-cikgu tolong jangan mempengaruhi anak murid dengan parti sokongan anda. Mereka masih tidak faham dan tak boleh mengundi lagi ~ Rebat Talifon Pintar, Baucer Buku 1 Malaysia atau BR1M pun depa tak dapat lagi.

Gedong Chak Kota Kuala Muda

Dah...dah...cukup lah tu. Tak larat dengar cerita politik lagi. Sampai aku pun pening nak pilih yang mana. Berenti sekejap tarik nafas panjang-panjang, kita cerita makan pulak.

Kesinambungan pekena Mee Udang Pulau Sayak hari tu, dalam perjalanan balik pula. Balik melalui pekan Kota Kuala Muda nak ke Tikam Batu, Sungai Petani. Kali nie tergerak nak ambil gambar dan biasalah beli makanan tradisional nie.  Sebelum nie pun dah makan tapi tak ambil gambar saja.

Gedong chak Kota Kuala Muda
Nie makanan tradisional orang Kedah yang femes dan selama aku hidup sampai hari nie rasanya kat sini saja jual dan dibakar benda nie secara live. Nama pun pelik sikit, Gedong Chak. Nak tahu macam mana dapat nama nie, google sendiri.
Mak cik sedang membakar gedung chak seperti bakar otak-otak.
Gerai nie terletak betul-betul ditepi jalan. Sampai saja kat situ mula-mula beli kalau tak silap 6 biji, panas-panas. Masuk kereta zup..zap...zup....zap.. cerah. Anak-anak pun suka. Keluar sekali lagi beli, lepas tu zup.. zup..zup zap... tak berapa cerah. Maklumlah benda manis nie makan mana boleh banyak-banyak, muak.

Dah siap dibakar, seperti otak-otak
Apa rasa gedung chak nie?? rasa manis-manis lemak seperti dodol atau lepat liat, terasa nyoq kelapa parut dalamnya. Dibalut dengan daun nipah seperti otak-otak. Cara bakar pun sepeti otak-otak atau pulut udang/panggang diatas bara api. Nak tau cara masak klik kat sini http://www.memori-kedah.com/ .



Setelah dibuka.
Gerai dibuka waktu petang, hari dan waktu sebenar aku tak pasti pulak. Harga kalau tak silap satu empat kupang / 40 sen. Kalau sesiapa yang teringin atau mengidam nak makan gedong chak nie, lihat google map kat bawah.



View Gedong Chak Kota Kuala Muda in a larger map

Map dari Wikimapia pula.

Sajak Untuk Orang Melayu

"Melayu"
Usman Awang ~ 1992

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~

"Perjuangan Belum Selesai"
Tun Dr. Mahathir Mohamad ~ Malam Puisi Utusan, 4 Mei 1996
 
Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati
Dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa
Para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan
Dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Tugas kita bukan kecil
Kerana mengisi kemerdekaan
Rupanya lebih sukar dari bermandi
Keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
Kalau bangsaku asyik mengia
Dan menidakkan,
Mengangguk dan membenarkan,
Kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang
Bukankah bangsaku pernah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau yang tidak mengenal erti takut dan kematian.
Di manakah silapnya?sehingga bangsa ku berasa kecil dan rendah diri.Apakah angkara penjajah lalu bangsaku mulai melupakan kegemilanagn silam membina empayar.

Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya.


~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~

"Melayu mudah lupa"
Tun Dr. Mahathir Mohamad ~ Ucapan pengulungan Presiden, Perhimpunan Agung UMNO pada 23 Jun 2001

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa

Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa

Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah

Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah

Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai...

Fakta PRU 13 - 2013

Fakta Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) 2013 semasa pengumuman penetapan hari penamaan calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) :

Pembubaran Parlimen : 3hb April 2013
Pembubaran DUN : Semua DUN telah dibubarkan pada 5hb April kecuali Sarawak ( Sarawak telah mengadakan pilihanraya pada 2011)
Penamaan Calun : 20hb April 2013

Hari Mengundi : 5hb Mei 2013
Hari Mengundi Awal : 30hb April 2013
Tempoh Berkempen : 15 hari

Bilangan layak Mengundi : 13,268,002 orang
Bilangan Pemilih Biasa : 12,992,661 orang
Bilangan Pengundi Awal : 275,341 orang
Bilangan Pengundi Awal Tentera Dan Pasangan : 161,251 orang
Bilangan Pengundi Awal Polis Dan Pasangan : 111,136 orang
Bilangan Pengundi Awal Tidak Hadir (Luar Negara) : 2,954 orang
( Petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, juga layak memohon untuk mengundi awal )

Petugas Pilihanraya : 234,905 orang
Bilangan Parlimen : 222 kerusi
Bilangan Dun : 505 kerusi

Bilangan Pusat Mengundi : 8,789
Bilangan Saluran/Tempat mengundi : 26,219
Bilangan Pusat Mengundi Biasa : 8,245
Bilangan Saluran/Tempat mengundi Biasa : 25,337
Bilangan Pusat Mengundi Awal : 544
Bilangan Saluran/Tempat mengundi Awal : 882 

Kos : RM 400 juta

Pembaharuan dalam proses mengundi PRU 13 ini :
1- Penggunaan dakwat kekal :dicalit jari telunjuk kiri mereka sebelum diberikan kertas undi.
2- Pengundian awal oleh anggota polis dan tentera menggantikan undi pos.
3- Membenarkan orang kurang upaya (OKU) membawa orang dipercayai untuk membantu semasa pengundian.
4- Pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik pencalonan.

Mee Udang Pulau Sayak : Tolak Setahun Untuk Aku

Rancangan ini telah ditaja oleh isteri aku (sebut dengan penuh semangat macam pengacara konsert). Bersempena aku telah cukup setahun umur ditolak. Cerita nei terjadi awal bulan Mac yang lalu, semua dah jadi organik.

Hari istimewa, belanja mestilah tempat yang spesial. Kalau boleh jauh sikit dari rumah. Jadi jalan-jalan cari makan cinta kolestrol kat Pulau Sayak, pekena mee udang yang terfemes didunia tuuu. Kami tak biasa pi, jalan pun tak tau dan kedai yang mana sedap pun tak tau. Jadi kita tanya sama itu En Google.

Dalam dok search tu jumpalah jalan ke Pulau Sayak walau google map tu pun fenin-fenin juga. Jalan dari Tikam Batu ke Kota Kuala Muda dan sebelum sampai Pantai Merdeka ada simpang ke kiri ~ ada papan tanda. Dah jumpa jalan, tiba pula gerai yang mana sedap??. Kat internet aku jumpa hanya 2 gerai mee udang yang banyak ditulis. Dua-dua mendapat markah yang sama, boleh kata seimbang. Siapa makan kat kedai A dia kata yang tu sedap, kalau dia ke gerai B dia kata gerai B sedap. Entahlah. Lagi pun mee udang nie bukan hari-hari kita pi makan. Mungkin seumur hidup sekali ja pi pekena kat situ. Jadi itulah yang sedap. Siapa nak pi banyak-banyak kali? Bukan dekat ooiiiii.... nunnnnn kat hujung dunia.

Makan yang sedap waktu bila?? Jawapan yang senang ialah waktu lapar. Jadi kami bertolak kat sana untuk makan tengahari. Untuk sampai kesana melalui jalan kampung yang sempit sedikit, jadi berhati-hati.

Sampai dah ke situ, tak tau nak pilih yang mana satu ~ sebab ada dua kedai. Jadi pilih yang di hadapan sikit entah sebab apa tak tau. Kona masuk depan kedai. Pengunjung masih tak ada, kalau oder mesti cepat. Tanya tukang masak, dia kata tak siap lagi. Patutlah orang tak dak. Kat depan kedai tu ada sebuah Makam Diraja, ambil gambar sekeping dua.

DSC_2688
Makam Tunku Haidar Ali Shah
Lepas tu kona ke kedai sebelum nie. Usof Mee Udang Laut Pulau Sayak tertulis kat papan tanda depan lorong masuk ke kedai. Ada kawasan lapang depan kedai, parking kat situ.
DSC_2786
 Berhenti depan kedai, keluar kereta cari port yang menarik.Tiga ke empat meja dah diisi pengunjung. Kedai makan tepi laut kenalah dok kerusi tepi laut juga. Pilih wakaf  kat situ mudah fatini dan firas berjalan.
DSC_2713
Duduk kat wakaf ~ baru terasa macam dok kat kampung.
 Dok tak lama pelayan datang. Kami minta menu kat dia. Dia kata tak dak menu sabab menu dia simple saja... mee udang, nasi goreng udang, udang goreng kunyit, udang masak sos. Jangan dok minta benda pelik-pelik, nie bukan kedai tom yam atau western.
DSC_2779
Menu udang sahaja
 Apa lagi oder mee udang, nasi goreng udang dan udang goreng kunyit. Kami oder saiz biasa ja, sebab pelayan tu kata jika spesial cuma udang sahaja lebih. Cukuplah kolestrol yang ada nie.
DSC_2691
Sementara hidangan sampai layan dulu pemandangan yang menarik kat sini. Gerai ini betul-betul ditepi laut. Pantai kat sini tak nampak orang mandi. Sampan banyak berlabuh di sini.

DSC_2695
DSC_2707
DSC_2708
DSC_2775

Tak lama dah dah sampai. Jeng...jeng... . Aku oder nasi goreng udang. Nasi goreng datang dengan udang besar 3 ekor dengan sebiji telur goreng mata. Nasi goreng memang sedap, udang pula seperti direbus dan digoreng asing dan di tuang sos atasnya. Terasa kesegaran isi udang terebut.
DSC_2738
Nasi goreng udang
Nie mee udang pula, Mee kuah yang diletakkan 3 ekor udang besar dan di tuang sos atasnya. Kuah mee terasa biasa sahaja, rasa manis-manis pedas dan ceroi. Diletakkan juga telur separuh dan sedikit sayur. Udang serupa nasi goreng juga dimasak asing dan diletakkan atas mee.
DSC_2741
DSC_2740
Mee udang
Nie pula udang goreng kunyit, ada 5 ekor udang kalau tak silap.

DSC_2736
Udang goreng kunyit
 Harga untuk mee udang dan nasi goreng udang RM 8.00 sahaja, kalau special RM 11.00. Dari segi saiz hidangan berbanding harga memang berbaloi. Rasa pula kira OK sahaja. Tak berapa menarik sikit sebab udang dimasak asing dari kuah mee atau nasi goreng. Udang yang disediakan ada yang telah dibuang urat hitam kat belakang dan ada juga yang masih ada.  Yang menarik ialah kita dapat menikmati pemandangan laut yang cantik dan suasana perkampungan yang tenang sambil mengopek udang ~ boleh bersajak kat sini.
DSC_2747
Fatini dan Firas makan udang goreng kunyit.
Dok tengok pemandangan luar lupa pulak suasana kedai. Kedai masa aku pi bersih. Tempat makan di buat bumbung tanpa dinding jadi pengunjung boleh menikmati angin laut sambil bersajak.

DSC_2732
DSC_2731
Luas dan selesa. Kena angin laut.
Menurut yang jaga kedai, udang dapat segar dari nelayan. Ketam pula tak tentu, ikut kepada tangkapan nelayan. Masa aku datang ketam tak ada ~ melepas. Ikan pula seperti siakap kena tempah baru dia cari.

DSC_2772
Terima kasih kat isteri aku, belanja makan mee udang.
DSC_2782
Usof Mee Udang Laut Pulau Sayak.

Kedai Usof Mee Udang Pulau Sayak dibuka setiap hari kalau tak silap dari jam 8 pagi sampai 11 malam. Lokasi kedai disebelah kiri selepas jumpa Institut Akuakultur Marin Pulau Sayak (IAMPS), Jabatan Perikanan Malaysia. Nak senang lihat google map kat bawah. Google map tak boleh guna option map sebab jalan tak sampai, serupa dok dalam hutan. Kena guna satelit, baru jelas.

View Usuf Mee Udang Laut Pulau Sayak in a larger map

p/s : Susah jumpa kedai makan yang dibuang urat hitam kat belakang udang.

Setiausaha :: Jawatan Kosong Menarik

Bersempena dengan minggu setiausaha dalam bulan April 2013 nie, saja aku tempek keratan iklan nie. Adalah dalam beberapa minggu lepas ada seorang kawan tempek keratan akhbar iklan jawatan kosong di FB. Aku pun tempek kat sini, keratan akhbar jawatan kosong Pembantu Peribadi. Pembantu peribadi dengan setiausaha sama ka? Suka hati akulah. Ada berbagai komen mengenai iklan nie ada yang sokong dan tak kurang juga yang tak berapa setuju.
Pembantu Peribadi

Dari pendapat akulah iklan nie memang terbaik dari seorang yang otak bergeliga boleh buat batu cincin kerana mencari seorang pembantu peribadi dan juga akan menjadi isteri dia. Sebab apa terbaik?

1-  Sebagai pembantu peribadi nie memang kena selalu berkepit dengan bos. Peringat bos meeting sana meeting sini. Kalau pembantu peribadi nie anak dara atau bini orang. Sesuaikah nak berkepit kehulu kehilir dengan bos lelaki? Jika dah jadi isteri, senanggg. Mudah kerja walau berdua-duaan dan bila-bila masa sekali pun. Tak dak sapa yang halang. Iblis pun boleh lena.

2- Dah boleh berkepit sana sini kalau kena out satation memang mengurangkan belanja syarikat. Tak perlu sewa sampai dua bilik. Satu pun cukup. Boleh bawa anak-anak lagi. Kalau berdua saja boleh anggap berbulan madu kali ke XX.

3- Dah jadi bos besar, kadang-kadang kesana-sini sampai rumah jadi hotel. Jadi jika pembantu peribadi tu isteri bolehlah bawa sekali. Aman rumah tangga. Hari-hari dapat tengok.

4- Pembantu Peribadi nie pun dapat mengurangkan perbelanjaan, asal makan saja bos yang tanggung. Kena guna duit boslah, jangan balun duit syarikat pula.

5- Mata pun tertutup jugalah, maklumlah dua-dua kerja sekali. Tak jadilah bos dok pandang orang lain. Silap pandang kena amaran.

6- Usaha untuk memajukan syarikat pun akan terletak dibahu suami isteri. Jika syarikat maju sama-sama dapat faedah. Jadi sama-sama paham dan berusaha untuk meningkatkan pencapaian syarikat.

7- Kalau minggu setiausaha nie ada konsert artis, ceramah motivasi, ceramah agama atau makan malam bolehlah setiausaha berkepit dengan bos.

Banyak juga baiknya isteri jadi pembantu peribadi. Tapi kena juga beringat, pertengkaran atau perselisihan kat tempat kerja jangan dibawa masuk rumahtangga dan begitu juga perselisihan dalam rumahtangga jangan masuk dalm pejabat dan juga jangan pula asyik 24 jam ingat pasai kerja, rumah pun jadi serupa pejabat.

p/s: siapa nak bodyguard from Beijing?

Kuliah Ilmu April 2013

Parlimen dibubarkan dah kelmarin 3hb April 2013 bersamaan dengan DS Najib angkat sumpah menjadi PM pada 3hb April 2009. La nie nak tunggu penamaan calun dan seterusnya tarikh pilihanraya. Jadi sementara dok tunggu semua tu, takkan nak dok kat kedai kopi berkempen atau dok pi dengaq ceramah politik saja. Apa kata pi dengaq ustaz-ustaz bagi kuliah sikit. Haaaa... apa lagi jom pi masjid yang ada kuliah agama. Dapat ilmu, dapat pahala dan dapat duduk ditaman syurga. Kat bawah aku letakkan jadual kuliah bulan April 2013 masjid dekat rumah aku :-

1)  Masjid Abdullah Fahim, Bertam, Kepala Batas.


2) Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, Kepala Batas.


Jom ramai-ramai....

* sebarang perubahan bergantung kepada masjid berkenaan.

e-Rokok :: Haram, Makruh atau Sunat?

25/3/2013, Isnin lepas aku pi ke JPJ Seberang Perai. Sebelum masuk ke bahagian lesen, dikaki lima bangunan ada beberapa booth atau meja yang dibuat berbagai jualan. Mungkin disewakan kepada peniaga. Salah satu booth tu ada jual racun serangga dan disebelahnya dijual e-rokok nie. Selamberrr.. ja dia jual secara terbuka.  Boleh pulak dalam premis kerajaan jual e-cig. Bos JPJ tolong jawab? Aku pun konpius, sama ada benda nie haram, makruh atau sunat dengan undang-undang Malaysia.
Gambar dari internet

Dibawah aku tampal petikan dari ruang Forum Utusan  Malaysia pada  27hb Mac 2013. Diulas mengenai rokok elektronik nie dengan menarik:

Rokok elektronik lebih bahaya daripada rokok asli?

SITI NUR HAFIZAH ZAKARIA
USIM, Nilai

MENURUT Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, penjualan bahan dan produk e-rokok adalah salah mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu dan cecair nikotin untuk kegunaan rokok e-elektronik boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.

Rokok elektronik ataupun e-rokok adalah satu percubaan untuk menghasilkan sejenis rokok yang kononnya mampu mengurangkan kadar penagihan rokok sedia ada yang dihasilkan menggunakan tembakau.

Tembakau adalah faktor utama masalah berkaitan jantung dan seumpamanya. Biarpun risiko penggunaan tembakau ke atas kesihatan sudah diketahui umum, usaha mempromosikan hidup bebas rokok masih tidak begitu berkesan.

E-rokok dikatakan selamat digunakan kerana tidak mempunyai kandungan tembakau. Walaupun rasanyanya agak sama seperti merokok rokok asli, ia tidak mengeluarkan sebarang asap, karbon monoksida dan sudah tentu tidak menghasilkan abu.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 4,400 kanak-kanak menjadi perokok tegar apabila menginjak dewasa. Sehubungan itu, pelbagai kaedah dicipta termasuklah rokok elektronik ini bagi membantu perokok.

Rokok e-elektronik atau e-rokok ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur, tanpa disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada pelbagai jenis penyakit kronik.

E-rokok sebenarnya menggunakan sejenis cecair dan seterusnya menghasilkan wap air. Tetapi tahukah anda cecair nikotin juga terkandung di dalam e-rokok? Kandungan nikotin akan meningkatkan ketagihan untuk merokok.

Ini menunjukkan e-rokok yang dikatakan selamat itu juga mampu merosakkan paru-paru seperti rokok biasa. Nikotin juga akan meningkatkan kadar denyutan nadi dan pembebasan hormone adrenalin serta melambatkan sistem saraf.

Nikotin boleh memberi tindak balas terus ke atas otak dengan memberi kesan rangsangan yang disokong oleh pelbagai faktor lain. Ia mempunyai nikotin bervariasi seperti nikotin pelarut, propilenglikol, dietilenglikol, dangliserin yang menghasilkan nitrosamine apabila dipanaskan. Larutan nitrosamine ini akan menjadi faktor terhasilnya kanser.

Satu kajian saintifik mendapati rokok-e mengandungi karsinogen dan bahan-bahan kimia bertoksik seperti diethylene glycol.

China sebagai penemu awal rokok elektronik ini pada tahun 2003 juga melarang penggunaan rokok ini kerana dipercayai menjejaskan kesihatan. Ia juga didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah sehingga mewujudkan peningkatan mendadak dalam rintangan udara paru-paru.

Alat elektronik ini diimport dari China dan dikatakan tidak menjalani sebarang pemeriksaan keselamatan sebelum dijual kepada orang ramai.

Rokok elektronik mempunyai bateri, atomizer, dan katrij nikotin. Cip elektronik akan mengesan pergerakan udara di dalamnya apabila pengguna menyedut rokok itu. Nikotin cair dan udara kemudiannya akan dicampurkan menerusi atomizer yang dihidupkan oleh microprocessor.

Proses ini akan menghasilkan wap yang kelihatan sama dengan asap rokok biasa. Ia tidak mengandungi karbon monoksida dan tidak berbau. E-rokok juga dilengkapi LED yang berwarna oren jika dinyalakan oleh microprocessor, yang kelihatan seperti rokok yang terbakar ketika dihisap.

Di sebalik kecanggihan penciptaan rokok moden ini, ia juga dikatakan lebih berbahaya daripada rokok biasa jika dikaji bahan-bahan yang menghasilkan proses pengewapan sepertimana yang di atas.

Rokok versi digital ini semakin mendapat sambutan dan dijual secara berleluasa di negara ini. Rakyat seharusnya sedar akan bahayanya penggunaan rokok sama ada rokok biasa atau rokok elektronik. 

p/s: Selepas keluar JPJ, dalam perjalanan ke Carrefour ada kereta-kereta yang beri beam dan hon kat aku. Ingat suka-suka hati ja. Rupa-rupanya nak beritahu pintu kereta tak tutup rapat. Terima kasih kepada yang prihatin.