Langkawi - Hari 1 : Langkawi Roro Atau Feri Biasa?

Lama juga bersusah payah mak penakan dan ipar duai aku merancang nak buat Perjumpaan Anak Cucu Tok Minah, nak merapat dan berkenal-kenalan balik antara cucu cicit. Yang menjadi ketua ialah Mak Nyang aku lah. La nie anak cucu cicit dok merata, kadang-kadang dah macam tak berapa nak kenai. Arwah Tok Minah nie adalah tok sebelah arwah mak aku, dok kat Beras Terbakar, Padang Maksirat. Pusing sana pusing sini maka dengan rasminya terpilihlah 12 dan 13hb Disember 2014 hari Jumaat untuk dibuat program. Boleh kata hampir semua bersetuju nak datang. Boleh tahan ramai juga kaum kerabat.


Dah alang-alang nak sampai Langkawi, apa lagi masuk sekalilah pekej jalan-jalan bersama keluarga ke sana. Jimat sikit tambahan pula anak-anak cuti sekolah akhir tahun. Jadi kami set dok Langkawi 4 hari 3 malam, 12 hingga 15 Disember 2014. Sekarang dah ada perkhidmatan bawa kenderaan bersama penumpang ke sana, kami baru tahu. Macam menarik juga. Oleh kerana perjalanan dengan bala tentera seramai 6 orang dok congak-congak untuk kesana dengan bawa kereta sekali atau naik feri biasa saja.

Search kat internet, dapatlah syarikat Langkawi Roro menyediakan perkhidmatan tersebut. Boleh booking online. Tak silap aku return ticket dalam RM360.00. Driver naik percuma tapi setiap penumpang dewasa kena RM36 dan kanak-kanak RM26 dan bayi RM6 (lihat gambar kat atas). Kena buat matematik la pulak.
Harga perkhidmatan Langkawi Roro. Gambar dari blog sumijelly.com

  • MPV = RM360.00
  • Driver = RM0 - aku lah tu, percuma
  • Isteri = RM36.00 - dah tentu terlebih umuq
  • Anak-anak = RM26.00 x 4 orang = RM104.00
  • Jumlah semua = RM 500.00

Tak pa lah lepas tu cari pula feri biasa. Abang aku telah beli tiket online saja. Jadi aku pun rasanya kena cari yang online juga lah sebab masa cuti sekolah orang ramai. Nak beli on the spot kadang-kadang kena beratur panjang. Langkawi Ferry Line Venture menyediakan booking feri online. Dok tengok jalan sehala saja. Nanti balik beli lainlah. Mana tau kot-kot nak tambah hari lagi. Mathematik lagi...

  • Dewasa = RM 18.00 x 2 orang = RM 36.00
  • Kanak-kanak = RM 13.00 x 4 orang = RM 52.00
  • Convenience fee = RM 22.00 (Nie kad kredit punya untung)
  • Sewa kereta 3 hari = RM 300.00 (Anggaran saja. Hari pertama tak ambil. )
  • Jangan lupa parking kat Kuala Perlis kena bayar, anggaran 4 hari = RM 40.00
  • Tiket balik untuk sekeluarga = RM 88.00 (Bayar tunai tak perlu convenience fee)
  • Jumlah semua = RM 538.00

Jumlah bayaran hampir sama. Sekali lagi dok congak sana congak sini baik buruk antara kedua kaedah tu.

Kebaikan Roro:
  1. Dapat bawa kereta dan penumpang terus ke Langkawi jadi tak perlulah kalut-kalaut punggah barang sana sini.
  2. Tak perlu kalut cari kereta sewa. Musim cuti sekolah harga kereta sewa berlipat harganya.

Manakala keburukan menaiki Roro ialah:
  1. Kena  berada di jeti 2 jam awal. Dalam percutian, masa amat berharga.
  2. Kena buat booking sekurang-kurannya 3 hari awal (bukan boleh beli on the spot). 
  3. Perjalanan yang lama di dalam Feri. Kalau ada anak kecil bawalah apa-apa yang patut.
  4. Sesuai jika yang nak bermalam lebih dari 4 hari.
  5. Setiap hari ada satu trip saja. Kalau terlepas alamat dok lah semalam dua smentara nak dapat yang lain.

Kebaikan guna feri:
  1. Bilangan perjalanan yang banyak setiap hari. Boleh pilih tarikh dan masa yang sesuai.
  2. Tiket boleh dibeli di jeti atau secara talian.
  3. Tak perlu berada sangat awal di jeti sebelum berlepas.
  4. Masa perjalana yang singkat lebih kurang 30 minit saja.

Manakala keburukan jika menggunakan feri biasa:
  1. Kenderaan terpaksa parking di jeti Kuala Perlis/Kuala Kedah. Harga ketika musim cuti boleh tahan mahal.
  2. Tempat menunggu feri kadang-kadang sesak terutama musim cuti. Kadang-kadang terpaksa berdiri sebab manusia lebih ramai dari kerusi.
  3. Barang-barang yang nak dibawa kena angkut naik turun feri. Yang nie memenatkan tambahan dengan bebudak kecil.
  4. Sampai Lnagkawi terpaksa cari teksi atau kereta sewa. Serupa juga musim cuti sekolah harga boleh tahan mahal.
Cetakan tiket feri.

Campur sini tolak sana kami pilih feri biasa saja sebab masa. Kena berada di jeti dua jam awal dan juga masa berada dalam feri yang agak lama. Lagi pun kalau nak sambung cuti sukar nak tukar tarikh. Sebelum bertolak juga kami dah cari kat internet syarikat-syarikat dan orang-orang yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa. Nanti sampai sana boleh hubungi.

 Jadi awal pagi 12hb Disember kami ke Jeti Kuala Perlis. Tiket sehala sahaja dah di booking dua hari sebelum bertolak dan dah di cetak tiketnya.
Sarapan pagi kat Kuala Perlis, boleh tahan mahal.

Sesampai di Jeti, macam biasa ada tonto jaga parking yang menyapa, suruh parking tempat mereka. Ikut sajalah, musim cuti sekolah harga parking bukan boleh tawar manawar sangat. Lepas hantar isteri ngan anak-anak ke jeti aku pandu ikut tonto ke tempat parking. Tak jauh pun, dekat sebuah hotel berhadapan jeti saja.
Park kereta kat belakang Kuala Perlis Seaview Hotel.

Orang boleh tahan ramai, nasib baik beli tiket online, tak payah nak beratur beli tiket. Nie pertama kali beli dalam talian jadi pi ke kaunter tanya dulu macam mana nak guna tiket yang kami print tu. Dia kata tunggu saja feri tu datang dan tunjuk saja kertas tu, senang.
Langkawi Ferry Line Venture, syarikat yang menyediakan perkhidmatan pembelian tiket secara online. Boleh beli tiket secara dalam talian atau terus saja ke kaunter.

Kat dalam ruang menunggu, manusia boleh kata ramai juga tapi tempat duduk masih ada yang kosong. Sampai sini serupa berjanji, jumpa sepupu yang bertujuan yang sama dan naik bot yang sama ke Langkawi.
Ruang menunggu feri.

Bot yang kami nak naik tu sampai boleh kata tepat mengikut masa yang kami booking. Tak perlu tunggu lama-lama. Paham-paham je la bawak bebudak kecik Fatini dan Firas. Dah jemu macam-macam idea kreatif datang. Jadi bila nak naik bot kami tunjukkan saja cetakan tiket saja.
Cetakan tiket di gunting. Terasa macam VIP potong riben merasmikan majlis pulak.


Sampai Jeti Kuah, terus saja cari teksi ke Padang Matsirat. Kat sini kami ambil homestay. Mula-mula nak tidur rumah tok saja tapi memandangkan ramai yang akan hadir, kami rasa untuk tidur kat rumah tok tak berapa sesuai. Jadi sebelum nie dah minta tolong Mak Teh untuk cari homestay yang dekat-dekat.

Hari pertama dengan kedua tak payah sewa kereta, jalan kaki saja lah.  Nanti petang hari kedua baru pikiaq nak cari kereta sewa. Nombor telefon penyewa-penyewa kereta aku dah dapatkan kat internet sebelum datang sini. Tapi dalam dok jalan-jalan tu ada dua tiga orang yang ofer kereta sawa, kami ambil jugalah no telefon mereka. Mana tau kot-kot berguna.

Alhamdulillah dah sampai ke Jeti Kuah, Langkawi.

Ada lagi ka orang yang dok beli banyak-banyak kain batik?  Zaman dulu-dulu memang banyak.

Dalam jam 1 tengahari kami sampai ke Padang Matsirat. Adik beradik sepupu-sepapat dah ramai ada kat sini. Acara akan bermula malam nie dengan tahlil dan yasin, jadi siangnya pakat sebok memasak apa yang patut. Hari nie hari Jumaat, apa lagi gegas ke masjid sembahyang dulu lah.


Selesai solat Jumaat, minta tolong sepupu untuk tunjuk jalan ke homestay. Ingat boleh jalan kaki, rupanya jauh juga kena naik kenderaan. Kalau macam nie kena cari kereta sewa jugalah. Ramai adik beradik yang biasa kat sini cakap harga kereta sewa kat Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi lebih murah dari kat Jeti.

Apa-apa pun kami ke homestay dulu untuk simpan barang-barang. Naik kereta tak berapa minit pun dah sampai. Nie dia Teratak Sireh Lagenda. Homestay nie berkonsep seperti rumah tradisonal Melayu bersesuaian dengan pemandangan dibelakannya sawah padi. Terasa seperti dok kat kampung, tenanggg saja dok kat sini. Nanti aku letakkan gambar Homestay kat entry akan datang.
Penginapan Teratak Sireh Lagenda, Mukim Bohor.

Selesai punggah semua barang-barang, aku dan sepupu ke komplek lapangan terbang, dekat saja. Masuk dalam komplek, dok tercangak-cangak cari kot-kot ada kaunter sewa kereta, tapi tak jumpa ~ tak maulah yang kereta ada cop airport,  mahal. Nampak dua tiga orang mamat yang dok lepak-lepak kat situ. Tanya kat mereka, kat mana boleh dapat kereta sewa. Memang tak salah, dia lah yang aku dok cari. Dia buat perkhidmatan kereta sewa. Nama dia Bang Cik (rupanya dia salah seorang dari senarai nama pemilik kereta sewa yang aku cari kat internet).

Bla...bla...bla.. dia ofer kereta Nisan Sentra lama. OKlah malas nak pilih-pilih, lagi pun harga dah OK. Pi tengok dan test, kira jadi. Dapat untuk empat hari tiga malam sebanyak RM 270.00. Nak hantar balik jam berapa pun tak pa. Masa nak pulangkan tak perlu hantar ke airport, hantar ke jeti pun boleh, cuma talifon dia saja. Alhamdulillah dapat dah kereta sewa. Balik semula ke Homestay, mandi apa yang patut dulu baru ke rumah tok semula.


Pautan lain dalam siri Langkawi 12 - 15hb Disember 2014:

1. Langkawi : Roro atau Feri Biasa
2. Langkawi : Perjumpaan Anak Cucu Tok Minah Tok Saad
3. Langkawi : Kilim Geoforest Park
4. Langkawi : Pantai Cenang dan HIG Kompleks


6 comments:

  1. betul tu...

    nak ke Langkawi merancang lah.. sbb ada kebaikan keburukan naik feri biasa atau yg bawa kenderaan...

    yang penting anak2 seronokkan?

    sumi pun nak ulang balik ke langkawi..tp memang tunggu anak2 besar lg... sbb senang nak kerah angkat barang pembelian ibunya di langkawi...wakakaka

    Sumijelly.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tuuu dia tunggu anak besaq nak buat kerahan tenaga... teringat dulu-dulu pi langkawi naik bot tak dak dinding... memang kenangan terbaik

      Delete
  2. Replies
    1. Saya naik feri biasa saja... no seat ikut turutan

      Delete
  3. Replies
    1. tak... bawa saja kertas print tu... nanti staf sana kan koyakkan.

      Delete