Dividen Bank Rakyat 2020


Alhamdulillah, dividen Bank Rakyat yang berakhir Disember 2019 sebanyak 14%.

Bayaran dividen akan di buat esok. Waw cepatnya.. tapi esok Ahad.

PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI PRIHATIN RAKYAT (PRIHATIN) - COVID-19

Simpan sini sebagai sejarah keperihatinan kerajaan terhadap rakyat yang menghadapi wabak COVID-19. Ucapan PM pada 27hb Mac 2020. Jadi tolong jangan keluaq melilau tak arah tujuan yang penting. Sesiapa yang cari Mak Cik Kiah, haaa ada kat kat bawah tu.


TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI PRIHATIN RAKYAT (PRIHATIN)

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi, Apa khabar semua?

Seperti yang saya janjikan, hari ini saya akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada anda semua.

Daripada jumlah ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara. Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua. Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang. Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind.

Keutamaan kerajaan pada waktu ini ialah untuk membendung penularan wabak COVID-19. Untuk itu, saya telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi meningkatkan lagi keupayaan Kementerian, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi COVID-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

Selain itu, bagi menyokong usaha KKM untuk menjalankan lebih banyak ujian COVID19, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta untuk menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan oleh KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta. Di samping itu, syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak ini.

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang pertama, Kerajaan telah bersetuju memberikan elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak ini. Saya sedar dalam situasi getir pada waktu ini, kakitangan kesihatan kita sedang bekerja bertungkus lumus dalam keletihan dan keadaan yang agak tertekan. Namun mereka terus cekal berjuang mengharungi cabaran yang hebat ini.

Sebagai menghargai pengorbanan mereka, Kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak ini berakhir. Pada masa yang sama, Kerajaan juga bersetuju memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir. Dianggarkan seramai 169,000 kakitangan tambahan akan mendapat manfaat ini.

Saya faham bahawa dalam keadaan bencana seperti yang kita sedang hadapi ini, sebahagian besar daripada saudara-saudari terjejas dari segi sumber pendapatan. Untuk meringankan beban anda, kerajaan akan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion, dan buat pertama kalinya akan disalurkan juga kepada kumpulan M40. Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.

Jumlah bayaran yang akan dibuat ialah:

• Pertama: RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.

• Kedua: RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.

• Ketiga: RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020 dan baki RM300 pada bulan Mei 2020.

• Keempat: RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April 2020 dan baki RM250 pada bulan Mei.

Di samping itu, baki pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada bulan Julai 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.

Saya juga tidak lupa kepada para pelajar institusi pengajian tinggi. Anda juga akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada bulan Mei 2020. Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.

Begitu juga dengan golongan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya atau OKU, golongan gelandangan dan orang asal. Kerajaan akan bekerjasama dengan NGO dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka dengan peruntukan sebanyak RM25 juta.

Sebelum ini, Kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN kepada semua peminjam selama 6 bulan melibatkan kutipan sebanyak RM750 juta. Kini, Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh yang sama kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan anggaran kutipan sebanyak RM149.2 juta. Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 174,500 orang peminjam.

Pada masa ini, mySalam menyediakan manfaat kepada golongan B40 yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan COVID-19. Pesakit boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari. Sebagai tambahan kepada inisiatif ini, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan manfaat ini kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI).

Saya sedar bahawa ada di kalangan saudara-saudari yang menabung untuk simpanan hari tua dalam Skim Persaraan Swasta atau PRS. Dalam keadaan yang sukar pada waktu ini, tentulah saudara-saudari memerlukan wang tunai daripada apa jua bentuk simpanan untuk digunakan bagi menampung perbelanjaan harian. Sehubungan itu, Kerajaan membenarkan pengeluaran pra-persaraan dari akaun B Skim Persaraan Swasta sehingga jumlah RM1,500 bagi setiap ahli tanpa sebarang penalti cukai dalam tempoh bulan April hingga Disember 2020.

Saya juga tahu keperitan yang dihadapi oleh golongan B40 di kawasan bandar, terutamanya mereka yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan pengecualian pembayaran sewa bagi PPR daripada sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada enam bulan dengan jumlah kos sebanyak RM3 juta ditanggung oleh kerajaan.

Pengecualian pembayaran sewa ini melibatkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Bagi unit sewa untuk milik pula, penangguhan pembayaran bulanan diberikan selama enam bulan bagi pembayaran balik pembiayaan bermula bulan April hingga September 2020. Penangguhan pembayaran ini melibatkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit rumah.

Manakala bagi Perumahan Awam pula, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memberi pengecualian yang sama yang memanfaatkan lebih 40,000 penyewa. Saya menyeru kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan lain supaya memberikan pengecualian yang sama bagi meringankan beban penghuni PPR di negeri masing-masing.

Kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain. Ini termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun Kerajaan Persekutuan. Saya juga menggesa agar Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan GLC memberikan pengecualian yang sama.

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang lepas, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi tujuan pemberian diskaun 15% ke atas bil elektrik sektor pelancongan dan 2% bagi sektor komersial, industri, pertanian dan isi rumah di Semenanjung Malaysia mulai 1 April 2020. Sebagai tambahan, Kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad akan menambah peruntukan sebanyak RM530 juta lagi untuk memberikan diskaun berperingkat antara 15% hingga 50% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan. Diskaun 50% akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt, 25% bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt dan 15% bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt. Diskaun ini akan berkuatkuasa bagi tempoh enam bulan mulai bil bulan April 2020. Sementara itu, diskaun sebanyak 2% seperti dimaklumkan sebelum ini akan terus dinikmati oleh semua pengguna isi rumah.

Bagi industri telekomunikasi dan multimedia, beberapa pakej khas akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi. Antara pakej khas yang akan ditawarkan ialah internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan tamat. Selain itu, tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan.

Kerajaan juga tidak lupa menjaga kebajikan semua penjawat awam yang terus setia menjalankan amanah kepada negara. Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan akan memberikan bantuan tunai sebanyak RM500 secara one-off kepada lebih 1.5 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk mereka yang bekerja secara kontrak. Bayaran akan dibuat pada bulan April 2020. Sumbangan pesara Kerajaan juga tidak dilupakan. Dengan ini, Kerajaan akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada lebih 850,000 pesara Kerajaan juga pada bulan April 2020.

Dalam tempoh kritikal ini, adalah penting untuk memastikan bekalan makanan kekal terjamin dan mencukupi. Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion kepada Dana Jaminan Makanan. Selain itu, Kerajaan juga akan terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada petani, penternak dan nelayan termasuk dalam bentuk bantuan input pertanian, ternakan dan perikanan untuk menggalakkan pengeluaran domestik.

Kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menyediakan kemudahan infrastruktur tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman. Sebagai langkah tambahan, Kerajaan akan menyediakan dana khas antara RM100,000 hingga RM200,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan dan Pertubuhan Nelayan Kawasan yang berdaya maju untuk membangunkan projek agromakanan jangka pendek yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh 3 hingga 6 bulan. Ini untuk memastikan bekalan makanan terjamin. Langkah ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM64.4 juta.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja. Dalam keadaan yang sukar ini, saya tidak mahu lihat pekerja dibuang kerja dan hilang pendapatan. Menerusi program ini Kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan. Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari 2020. Majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan. Selain itu, majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada perkerja. Langkah ini dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang pekerja dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion.

Saya tahu pendapatan harian pemandu e-hailing sepenuh masa turut terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Bagi meringankan beban mereka, Kerajaan akan memberikan bantuan secara one-off sebanyak RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing dengan peruntukan sebanyak RM60 juta. Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pemandu teksi akan menerima bayaran one-off sebanyak RM600 mulai 1 April 2020.

Bagi memastikan kebajikan pekerja yang terlibat dengan kontrak perkhidmatan seperti perkhidmatan pembersihan dan bekalan makanan bermasak di sekolah, IPTA, institusi latihan awam serta agensi-agensi lain Kerajaan termasuk badan berkanun, Kerajaan bersetuju untuk membayar gaji yang ditanggung oleh kontraktor yang terlibat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan walaupun pekerja tidak hadir bekerja. Lebih 80,000 pekerja akan menerima manfaat daripada inisiatif ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM110 juta. Selain itu, Kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh kontrak perkhidmatan yang berkenaan selama sebulan sebagai trade-off dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana, termasuk usahawan mikro, Kerajaan dan Bank Negara Malaysia akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion yang merangkumi lima inisiatif utama.

• Pertama: Menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas atau Special Relief Facility untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion. Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.

• Kedua: Meningkatkan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

• Ketiga: Menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah. Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2% sahaja tanpa cagaran. Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi. Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan. Inisiatif ini adalah terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.

• Keempat: PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada 4 tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

• Kelima: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70% kepada 80% bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

Menerusi inisiatif-inisiatif di atas, saya percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini.

Saya juga prihatin dengan nasib pemilik-pemilik syarikat yang mengalami masalah aliran tunai. Untuk membantu saudara- saudari yang tertekan dengan masalah ini, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah.

• Pertama: KWSP akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April 2020. Perkhidmatan ini merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan. Langkah ini dijangka memberikan penjimatan aliran tunai kepada majikan yang dianggarkan berjumlah RM10 bilion. Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 480,000 PKS dan syarikat yang terjejas, di samping menyelamatkan lebih 8 juta pekerjaan.

• Mengecualikan pembayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi semua sektor untuk tempoh enam bulan mulai bulan April 2020. Langkah ini dijangka membantu aliran tunai syarikat dengan penjimatan keseluruhan bernilai RM440 juta;

• Ketiga: Dengan rasa peduli terhadap masalah yang dihadapi oleh kira-kira 750 ribu PKS, Kerajaan juga membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua PKS untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April 2020. Ini adalah tambahan kepada langkah yang diumumkan terdahulu di mana Kerajaan telah memberi penangguhan bayaran ansuran cukai kepada perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan selama enam bulan bermula 1 April 2020. Bagi sektor lain yang turut terkesan, mereka dibenarkan untuk meminda jumlah cukai pendapatan yang dikenakan pada bulan ketiga, keenam dan kesembilan ansuran dalam tempoh asas perniagaan.

Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, bagi membantu PKS serta individu, Kerajaan menyambut baik kesanggupan institusi perbankan untuk menawarkan penangguhan atau moratorium bayaran pinjaman selama enam bulan, penukaran baki kad kredit kepada pinjaman berjangka dan penstrukturan semula pinjaman korporat. Langkah ini adalah penting untuk membolehkan syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing. Inisiatif ini melibatkan jumlah keseluruhan sekurangkurangnya RM100 bilion. Saya pasti anda yang meminjam dengan bank untuk membeli kereta, rumah dan lain-lain boleh menarik nafas lega sedikit dengan inisiatif ini. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah.

Saya bagi pihak Kerajaan amat berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia dan industri perbankan yang menawarkan kelonggaran ini. Sebagai balasannya, Kerajaan bersetuju supaya pendapatan pihak bank dari faedah atau keuntungan ke atas pinjaman atau pembiayaan yang terlibat dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan ini, hanya dikenakan cukai apabila pendapatan tersebut diterima selepas tempoh moratorium.

Selain itu, langkah moratorium akan dipanjangkan dan dilaksanakan bagi pinjaman dengan TEKUN, MARA dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS mulai 1 April 2020.

Bagi membantu usahawan B40 dan rakyat yang hilang mata pencarian, satu program kewangan sosial akan diperkenalkan dengan kerjasama antara institusi perbankan Islam, Majlis Agama Islam Negeri dan rakan-rakan pelaksana utama. Sumbangan kewangan sosial akan disalurkan dalam bentuk modal permulaan bagi usahawan mikro menggunakan dana zakat dan dipadan dengan pembiayaan mikro pada kadar yang berpatutan.

Fasa pertama yang melibatkan kerjasama antara Bank Islam Malaysia Berhad dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan akan bermula dalam bulan Mei 2020. Usahawan yang layak akan diberi latihan keusahawanan, pengurusan kewangan dan sokongan untuk membangunkan perniagaan yang dipilih.

Saya faham sektor korporat juga terjejas dengan situasi yang kita hadapi pada waktu ini. Sektor ini tidak akan diabaikan. Justeru, Kerajaan menyambut baik usaha institusi perbankan yang bersedia untuk menstruktur semula bayaran balik pinjaman sektor korporat bersesuaian dengan prestasi perniagaan mereka.

Selain itu, Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan skim jaminan berjumlah RM50 bilion dengan jaminan sehingga 80% daripada jumlah pinjaman bagi tujuan membiayai keperluan modal kerja. Skim ini akan diuruskan dan tertakluk kepada penilaian kredit oleh Danajamin. Kemudahan ini disasarkan kepada perniagaan yang berdaya maju dalam semua sektor yang menghadapi kesukaran akibat wabak COVID-19.

Saiz minimum pinjaman yang layak dijamin ialah RM20 juta bagi setiap perniagaan. Kemudahan ini akan disediakan untuk pemohonan mulai 1 Mei sehingga 31 Disember 2020, atau sehingga dana jaminan digunakan sepenuhnya.

Daripada semua bantuan kerajaan ini, saya nak beri satu contoh mudah supaya saudara-saudari senang kira. Contohnya, Makcik Kiah penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab. Anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isirumah Makcik Kiah di bawah RM4000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Makcik Kiah akan dapat.

Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500 dan bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500. Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM 200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3400.

Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama 6 bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama 6 bulan sebanyak RM1800, penjimatan bayaran bil elektrik selama 6 bulan sebanyak RM120.

Anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama 6 bulan sebanyak RM1200.

Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600.

Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.

Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864. Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Langkah yang telah diperkenalkan dalam Pakej ini juga bertujuan untuk memastikan aktiviti ekonomi negara berterusan, terutamanya dengan penyaluran tunai melalui Bantuan Prihatin Nasional. Di samping itu, Kerajaan akan memberi tumpuan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan mengekalkan pekerjaan.

Untuk tujuan ini, Kerajaan telah mengenal pasti beberapa projek kecil seperti menambah baik jalan, menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, membersihkan rumah ibadat dan balai polis, serta meningkatkan kemudahan pelancongan yang akan memanfaatkan kontraktor kelas G1 hingga G4. Bagi tujuan ini, peruntukan sebanyak RM2 bilion akan disediakan.

Pada masa yang sama, projek kecil bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam pakej sebelum ini akan mula dilaksanakan pada bulan April 2020. Projek-projek ini termasuk

projek infrastruktur kawasan FELDA bernilai RM600 juta, projek membaik pulih sekolah daif di Sabah dan Sarawak bernilai RM350 juta dan projek membaik pulih perumahan rakyat termiskin bernilai RM150 juta.

Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 termasuk ECRL, MRT2 serta Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara. Usaha ini selaras dengan fokus Kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Pakej PRIHATIN ini merupakan manifestasi Kerajaan yang mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan membuat suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang sukar ini. Strategi dan langkah yang akan dilaksanakan adalah berdasarkan kepada keupayaan fiskal semasa dan ketersediaan mudah tunai pasaran kewangan domestik yang mencukupi.

Kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi. Hampir semua langkah ini adalah secara one-off supaya tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana. Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan. Sehubungan itu, Kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang.

Sepertimana yang telah diumumkan semalam, untuk menzahirkan keprihatinan dan kepedulian pimpinan kerajaan terhadap keperitan rakyat pada masa ini, saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri bersetuju agar dua bulan gaji kami semua dipotong dan disalurkan ke dalam Tabung COVID-19. Tabung ini akan digunakan untuk membantu saudara-saudari yang terjejas dengan penularan wabak COVID 19.

Selain itu, saya juga telah mengarahkan semua Kementerian mengkaji semula belanjawan masing-masing untuk mencari penjimatan agar ianya dapat digunakan untuk menampung langkah-langkah jangka sederhana bagi menangani wabak virus ini.

Saya juga telah mengarahkan Kementerian Kewangan melalui Unit LAKSANA untuk memastikan pakej PRIHATIN bernilai RM250 billion ini sampai kepada saudara dan saudari semua dengan cepat.

Saya tahu saudara-saudari yang berada di rumah-rumah panjang di Sarawak, di penempatan orang asal, di kawasan- kawasan yang jauh di pedalaman di segenap ceruk rantau negara ini, mungkin bimbang bantuan yang disediakan oleh kerajaan lambat sampai. Untuk itu, Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, khususnya di Sabah dan Sarawak, untuk pastikan semua bantuan yang disediakan oleh kerajaan sampai dengan cepat.

Saudara-saudari yang saya kasihi,

We are a nation at war with invisible forces. The situation we are now facing is unprecedented in history. And, this government may not be the government that you voted for. But I want all of you to know that this government cares for you. I accepted to the fact that I came in as your Prime Minister not at the best moment. I face political, economic and health crisis all at the same time.

This unprecedented situation of course requires unprecedented measures. So, my dear brothers and sisters, and the children of this beloved country, whether you are a Malay, Chinese, Indian, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, orang asal, please bear with me and my friends in the cabinet and the government. We are not perfect, but we are doing the best we can to pull through this crisis together, as one nation. God willing, we will come out stronger when this crisis ends and the dust settles. InsyaAllah.

Saya minta sokongan daripada saudara dan saudari sekalian, marilah kita berganding bahu mengharungi krisis ini bersama- sama.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Perutusan PM perlanjutan PKP Fasa 2 COVID 19

Fasa Pertama PKP akan berakhir, kini disambung dengan Fasa Ke 2. Harap Covid 19 ini menurun. Perdana Menteri siap berdoa lagi moga wabak ini berakhir. Harap semua patuhi arahan kerajaan.


TEKS PERUTUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI

25 MAC 2020, 1 PETANG

Bismillahirrahmanirrahim Assalamuálaikum wa rahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi. Apa khabar?

Hari ini adalah hari kelapan perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa. Saya mendapat laporan daripada pihak polis lebih 95 peratus rakyat telah mematuhi perintah ini. Jalan-jalan raya lengang, pusat-pusat membeli belah ditutup, pusat-pusat rekreasi awam juga lengang dan ramai yang telah mematuhi nasihat duduk diam-diam di rumah.

Hanya ada beberapa insiden kecil pelanggaran perintah ini di sana-sini. Pihak polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan. Ini termasuk menutup tempat-tempat awam yang masih dikunjungi oleh ramai orang dan menahan individu-individu yang ingkar.

Tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihak berkuasa demi memastikan perintah larangan pergerakan ini dipatuhi dan tindakan ini mencapai hasil yang dihasratkan, iaitu membendung penularan wabak COVID-19. Saya hendak mengingatkan, jika perintah ini tidak dipatuhi, maka ianya tidak akan membawa apa-apa kesan positif dan segala tindakan kita akan menjadi sia- sia.

Apa pun, yang paling utama ialah kesedaran kita sendiri. Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara- saudari sekalian yang rata-ratanya mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan untuk duduk di rumah atau stay at home.

You follow my instruction. You know that this is good for you, your family and the people around you. Your awareness and sincerity in abiding by the rules imposed by the government during this Movement Control Order period is highly commendable.

Saya tahu, bukan mudah untuk saudara-saudari duduk diam-diam di rumah untuk satu tempoh masa yang agak lama. Pastinya banyak cabaran yang saudara-saudari hadapi pada waktu ini. Tiba-tiba gaya hidup kita berubah dengan sekelip mata.

Tetapi saya lihat ramai yang kreatif. Saya tengok di facebook, ada yang dah mula bersenam di rumah. Ada yang menggunakan skype untuk berhubung dengan rakan-rakan sekerja. Saya sendiripun menggunakan face time untuk berbual dengan cucu saya. Maklumlah, mereka tak dapat nak berkunjung ke rumah Tok Ayah seperti biasa.

Ibu-ibu pun, kerana ada banyak masa di rumah, mencuba pelbagai resipi masakan baharu untuk hidangan seisi keluarga. Tak kurang juga para bapa yang menggunakan peluang duduk di rumah untuk bersolat jemaah dengan isteri dan anak-anak.

Ringkasnya, kita semua mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Apa pun cabaran dan dugaan yang kita hadapi, tidak sekali-kali melemahkan semangat kita untuk meneruskan kehidupan. Ya, seperti ungkapan yang sering kita dengar, when going gets tough, only the tough gets going. Apabila keadaan menjadi sukar, hanya yang tabah akan dapat mengharunginya.

Saya hendak menyebut di awal-awal ini bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar. COVID-19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini. Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan kita akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita, tetapi di seluruh dunia. Kadar jangkitannya begitu cepat. Hari ini seramai 422,829 orang telah dijangkiti wabak ini di seluruh dunia dengan 18,907 kematian.

Di negara kita, daripada kes pertama jangkitan COVID- 19 dikesan, sehingga jam 12 tengahari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini.Tujuh hari yang lalu, jumlah keseluruhan kes COVID-19 ialah 673 kes. Ini bermakna, kes positif COVID-19 telah meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu.

Jumlah kematian juga telah meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga roh mangsa dicucuri rahmat Ilahi.

Saya diberikan taklimat oleh pihak Majlis Keselamatan Negara bahawa peningkatan kes-kes positif COVID-19 dijangka meningkat lebih tinggi sekiranya kita tidak melakukan apa-apa. Jumlahnya mungkin meningkat berkali-kali ganda lagi seperti yang berlaku di beberapa buah negara lain. Dari satu segi perintah kawalan pergerakan yang kita ambil telah sedikit sebanyak berjaya mengawal penularan wabak ini.

Namun, kita tidak boleh berpuas hati dengan langkah- langkah yang kita ambil pada masa ini sehinggalah kita berjaya mencatatkan sifar kes baharu. Pada masa ini kes-kes baharu masih dicatatkan walaupun dalam tempoh beberapa hari yang lalu jumlahnya agak mendatar.

Kerajaan menjangkakan kes-kes baharu akan terus dicatatkan dalam masa yang terdekat. Oleh itu, Kementerian Kesihatan telah melakukan persiapan. Ini termasuk menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital di seluruh negara untuk menerima pesakit-pesakit COVID-19. Pada masa ini 34% daripada kapasiti katil hospital telah digunakan, dengan baki sebanyak 66% lagi yang masih boleh menampung pesakit. Jika berlaku pertambahan jumlah kes positif COVID-19 melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat telah dikenalpasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara.

Usaha-usaha akan terus dibuat untuk mencegah penularan COVID 19 sehinggalah kita benar-benar dapat membendung wabak ini dengan cara memutuskan rantaian jangkitan sepenuhnya.

Ini bermakna, pergerakan orang ramai mesti terus dikawal. Strategi kerajaan ialah untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit COVID-19. Kementerian Kesihatan akan meningkatkan kapasiti untuk melakukan ujian saringan pada skala yang lebih besar. Ini termasuk melakukan mass testing khususnya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.

Dengan kata lain, kita ingin mencegah jangkitan. Strategi ini akan berjaya sekiranya orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan virus ini menerusi pergaulan harian. Justeru, saudara-saudari mesti bersedia secara mental dan fizikal untuk duduk diam-diam di rumah bagi tempoh yang agak lebih lama. Just be mentally and physically prepared to stay at home for a reasonably longer period of time.

Saya telah diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Trend semasa menunjukkan kes-kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku. Trend ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan bagi satu tempoh masa yang lebih lama.

Sehubungan itu, kerajaan telah memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara saudari lebih bersedia.

Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu. Pejabat-pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka lagi. Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak menguruskannya.

Please stay calm and don’t panic. Even though we have extended the Movement Control Order, you don’t have to unnecessarily stock up on food because the supply is sufficient. I assure you that food is enough for everybody.

I know you feel burdened but I don’t have a choice. I have to extend the Movement Control Order for your own safety.

Selain itu, tempoh kuatkuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa. Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan buat pengumuman mengenainya. Yang penting saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.

Saya juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa. Yang penting semua keperluan asas mestilah sentisa tersedia dan mencukupi. Ini termasuk bekalan makanan, elektrik dan air, perkhidmatan kutipan sampah dan pembentungan, kemudahan komunikasi dan logistik serta keselamatan dan ketenteraman awam.

Saya juga tahu bahawa dalam keadaan ini, ramai pihak yang memerlukan sokongan dan bantuan. Semalam saya telah umumkan beberapa inisiatif untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi situasi yang sukar ini. Hari ini, satu lagi inisiatif iaitu penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat telah saya umumkan.

InsyaAllah, pada hari Jumaat nanti saya akan umumkan satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh. Pegawai-pegawai saya di Kementerian Kewangan sedang bekerja bertungkus lumus menyediakan satu pakej rangsangan ekonomi yang akan memberikan manfaat kepada semua. Samada anda pemandu teksi, pemandu grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat. InsyaAllah, no one will be left behind.

Selain itu, saya juga berharap pusat-pusat pungutan zakat di setiap negeri turut memainkan peranan secara lebih proaktif untuk membantu para asnaf yang saya percaya sedang menghadapi keadaan hidup yang agak lebih sukar pada masa ini. Berilah bantuan kepada mereka. Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf, tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas pada masa ini, mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat.

Dalam mesyuarat kabinet hari ini, saya telah mengarahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera. Saya berharap pusat pungutan zakat di negeri-negeri lain juga dapat melakukan perkara yang sama.

Organisasi-organisasi kebajikan atau charity organizations juga boleh memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. I call upon all charity organizations in this country to rise to the occasion by helping the needy regardless of race and religion during this trying moment. The difficulties they are facing are unprecedented. And I believe all of you can do something meaningful to ease their burden.

Saya sedar, sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan saudara-saudari. Ini amanah yang saya pikul. Sebagai manusia saya tidak sempurna, tetapi saya berjanji akan melakukan yang terbaik. InsyaAllah, dengan izin Allah s.w.t. kita akan dapat bersama-sama mengharungi dugaan besar ini.

Kepada petugas-petugas di barisan hadapan, saya doakan saudara-saudari terus cekal. Situasi yang dihadapi oleh saudara-saudari bukan mudah.

Saya tahu para doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini. Saya telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya memberikan sedikit masa untuk petugas-petugas kesihatan kita mengambil cuti rehat secara berperingkat sebelum mereka kembali bertugas semula. Sementara itu, tenaga sukarela dari kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan-badan sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas mereka buat sementara waktu.

Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara.

Kita telah berikhtiar sedaya upaya kita untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini. Jangan kita lupa, penentu kejayaan kita ialah Tuhan Yang Maha Kuasa.

Justeru, saya ingin mengajak saudara-saudari sekalian manadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. agar diri kita, keluarga kita, negara kita dan seluruh umat manusia dilindungi oleh-Nya.

Kepada penganut agama bukan Islam, saudara-saudari bertafakkur dan berdoalah mengikut ajaran agama masing-masing.

Al-Fatihah ……..

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. حَمْدًا يُوَافِيْ نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيْدَهُ يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِيْ لِجَلاَلِ وَجْهِكَ الْكَرِيْمِ وَعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Engkau ampunilah dosa-doa kami Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami dan negara kami

Engkau lindungilah hamba-hamba Mu yang kerdil ini dari segala musibah.

Engkau jauhilah diri kami dari penyakit yang merbahaya dan wabak yang mengancam nyawa.

Engkau hindarilah kami dari bala yang berat dan takdir yang buruk

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan-Mu yang berat ini.

Engkau tiupkanlah ketenangan dalam jiwa kami Sesungguhnya setiap dugaan yang Engkau turunkan kepada kami Ya Allah tiadalah ia melainkan untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kami kepada Mu.

Ya Allah Ya Rahman Ya Syaafi

Engkau berilah kesembuhan kepada saudara-saudara kami yang dijangkiti wabak Coronavirus walau di mana sahaja mereka berada.

Sesungguhnya tiada penyakit yang tidak dapat Engkau sembuhkan Ya Allah

Tiada mara bahaya yang tidak dapat Engkau jauhinya dari kami Ya Allah

Kami bermohon kepada-Mu Ya Allah Lindungilah kami Selamatkanlah kami Sejahterakanlah hidup kami

 بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ  رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Amin.

PERUTUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI MENGENAI COVID-190 - PKP Fasa 1

Hari ini aku masukkan perutusan PM kita mengenai Perintah Kawalan Pergerakan pada 16hb Mac 2020. Ini merupakan sejarah sebab kali pertama Malaysia melaksanakan perintah ini.



PERUTUSAN KHAS

YAB PERDANA MENTERI MENGENAI COVID-19

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Malam ini, sekali lagi saya berada di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memaklumkan situasi semasa ancaman wabak COVID-19 yang telah menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia.

Sehingga kini, wabak COVID-19 telah merebak di 135 buah negara. Seramai 162,711 orang telah disahkan positif COVID-19 di seluruh dunia. Daripada jumlah ini, seramai 6,443 orang telah meninggal dunia.

Di Malaysia, telah berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak, iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih.

Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua. Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.

Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi;

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh Kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian. Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini.

Kita telah melihat peningkatan wabak COVID-19 secara mendadak daripada puluhan orang yang dijangkiti virus ini kepada ribuan orang dalam masa yang singkat di beberapa buah negara lain. Sudah pasti saudara-saudari tidak mahu keadaan yang sama berlaku di negara kita.

Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih meruncing. Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai. Inilah satu-satunya cara untuk kita mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa.

Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang. Saya percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan, kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat.

Kita telah melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah yang agak drastik untuk mengawal penularan wabak ini seperti negara China yang telah menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan COVID-19.

Saya juga ingin memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi. Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalah Pergerakan ini berkuatkuasa.

Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak COVID-19. Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak COVID-19 dari semasa ke semasa.

Jika saudara-saudari mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, saudara-saudari boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membendung wabak ini.

Saya berdoa agar saudara-saudari sekalian terus cekal dan tabah dalam menjalankan tugas untuk negara demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini sentiasa terpelihara.

Akhir sekali, saya berdoa agar saudara dan saudari sekalian sentiasa diberikan perlindungan oleh Allah S.W.T.

Wabillahitaufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Oxford Street :: Notting Hill

HARI KE LAPAN

27hb Disember 2019, Jumaat.

Apa nak buat hari ini? Hari ini kita ke Kota London lagi dan lebih tepat ke Oxfod Street. Apa yang menariknya Oxford Street ini?? Haaa ini tempat untuk habis kan saki baki pound yang ada, esok dah nak balik. Hari ini kita shopping. Dengar macam meriah saja.

Oxford Street, boleh rambang mata dengan kedai-kedai berjenama disini. Janji bawa pitih lebih.
Dalam jam 11 pagi kami sampai ke Oxford Street. Sampai sini kami dah jadi blur. Tak tau nak singgah mana dahulu. Dari hujung ke hujung jalan kedai berjenama. Apa-apa pon kami singgah di kedai cenderamata dahulu.
Semua sendermata ₤1. Nampak macam murah tapi bila di congak menjadi RM5.50 sebiji 😅😅😅.
Kawasan ini memang menjadi tumpuan untuk memburu barangan berjenama. Katanya potongan harga yang ditawarkan pun memang gila-gila. Jadi kalau masuk butik yang femes boleh tahan bersesak.

Alhamdulillah masa kami di London tak ada lagi wabak Coronavirus. 

Kami pun buat sebok.
Lihat bangunan hadapan kami macam antik saja, jadi kami masuk ke Selfridge. Luar nampak klasik, tapi dalam serba moden. Berbagai butik jenama terkenal ada dibawah satu bumbung. Kalau nak lawat disini pun boleh tahan lama. Jadi kami jamu mata serba sedikit sampai ke tingkat atas. Disini ada sedikit barangan kanak-kanak. Dapatlah beli ole-ole untuk anak-anak yang kecil, Smiggle. Harap mereka hargai, bukan morah oooo.

Selfridge

Dihadapan Selfridge.

Masuk Selfridge hidung diterjah dengan bau minyak wangi dahulu. Berbagai jenama ada.
Kau jangan sesekali conteng pensil box ini anak ku.

Kami di Oxford Street tak boleh lama sebab nak solat Jumaat. Jadi geng lelaki naik bas ke Park ln dan jalan kaki ke sebuah masjid di Hertford Street. Kami sampai ke Mayfair Islamic Centre, sebuah masjid yang menumpang di sebuah bangunan empat tingkat. Geng perempuan meneruskan acara shopping.
Mayfair Islamic Centre. Masjid di Hertford Street.
Masjid ini sempit sahaja dan jemaah bersembahyang di setiap tingkat. Jemaah boleh tahan ramai. Ada yang bersembahyang di tepi-tepi tangga, asal ada ruang kosong kira jadi. Habis solat bila keluar, ada lagi jemaah yang sedang tunggu giliran untuk masuk. Disini dilakukan solat jumaat  dua kali bagi memenuhi bilangan jemaah yang ramai.
Tingkat atas dapat dengar khutbah melalui CCTV. Masa ni dah selesai solat Jumaat.

Walaupun sempit tapi segala kemudahan ada seperti bilik air.
Selesai solat, kami tak ke Oxford Street semula. Dah janji dengan geng perempaun untuk berjumpa di Notting Hill. Dalam 30 minit kami sampai ke sana.

Apa yang menarik disini? Kepada yang pernah nonton filem Notting Hill yang Julia Roberts dan Hugh Grant. Inilah salah satu tempat yang menjadi lokasi pengambaran filem tu. Sebelum sampai kami melalui Pembridge Road. Disini pun dah jumpa banyak kedai-kedai jual cenderamata dan pakaian.

Cabmen's Shelter di Kensington Park Road. Seperti sebuah pondok yang dijadikan cafe. Ia di buat bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pemandu teksi untuk makan dan rehat sekejap. Pemandu ketika itu tidak dibenarkan meninggalkan teksi tanpa orang yang menjaganya ketika mereka pergi makan oleh itu shelter ini yang dibina memudahkan pemandu teksi mendapatkan makanan. 

Pembridge Road.

Disini pun ada juga bubble.










Haaa sekarang baru masuk ke Portobelo Road. Jadi jom cari mana rumah yang menjadi tempat Hugh Grant tinggal dalam filem Notting Hill. Tak tahu pun tak apa tak ditanya dalam peperiksaan. Yang pasti rumah-rumah disini dihias cantik dengan warna-warna pastel. Ramai pelancong yang datang bergambar depan pintu rumah disini, termasuklah kami. Tuan-tuan rumah disini memang terbaik, tak ada yang keluar bawa penyapu.



Adakah ini rumah yang dalam filem Notting Hill tu. Lantak kau lah.


Mentang-mentang tuan rumah tak kacau, buat macam rumah sendiri pula.

Portobello Road.
Portobello road ini panjang. Masa masuk tadi kami melalui kawasan perumahan yang berwarna warni dan selepas itu akan melalui kawasa perniagaan. Disini juga menjadi salah satu tarikan di Notting Hill.


Tempat ini bukan terkenal disebabkan filem tersebut. Lagi pun sekitar London ini berbagai tempat dijadikan lokasi pengambaran. Kawasan Notting Hill ini terkenal kerana ada pasar pada setiap hari Jumaat dan Sabtu disepanjang Jalan Portabello diberi nama Portabello Market. Banyak barang-barang lama dan antik di jual disini disamping barangan lain seperti pakaian, makanan dan cenderamata.



Berbagai barangan di jual.


Alice's, antara kedai yang menjual barangan antik. 

Macam-macam barangan lama ada di sini Alice's. 



Kedai topi.

Kalau ikutnya hari yang kami sampai ini, hari Jumaat akan ada pasar tetapi macam suram sahaja. Sedikit sahaja gerai-gerai dibuka berkemungkinan peniaga masih menyambut Krismas.


Yaaahhhh dah jumpa kedai buku dalam filem Notting Hill. Tapi dah jadi kedai cenderamata. Warna biru masih dikekalkan.


Dah jumpa kedai buku dala filem Notting Hill. Tapi sekarang jadi kedai cenderamata.

Panjang juga Portobello Street ini, lenguh juga kaki berjalan sambil ambil gambar yang entah berapa puluh keping sambil masuk ke kedia-kedai yang masih dibuka. Sehingga sampai ke sebuah restoran Kebab, Zaytoun Turkish Grill. Oleh kerana tengaharai tak makan lagi, jadi memang sedap pekena kebab kambing.

Zaytoun Turkish Grill



Roti pita di buat secara traditional diatas pungkoq kuali.

Kebab kambing. Kami beli sebiji sahaja di potong dua sebab besar.
Kami jalan hampir 1Km dan kedai-kedai pun dah nampak berkurangan sehingga sampai ke bawah satu jejambat. Tiba-tiba jeng... jeng... jeng... ternampak kedai yang namanya macam kenal sahaja. Tertulis "MAKAN", woww perkataan Melayu. Kami singgah sekejap buat rehatkan kaki.
Makan Cafe Portebello Road.
Bila masuk dalam ni tengok sahaja dah terpampang tray lauk pauk, perghhh ini bukan cheese dan butter lagi. Ini masakan ala kampung. Layan gambar dibawah.




Aduhhh.. masakan ala kampung.
Disamping itu ada juga laksa, bihun goreng, mee goreng, nasi goreng dan sebagainya. Kuih pun ada seperti karipap, cucuq kodok,, samosa, keropok dan sebgainya.
Antara menu ala cart yang disediakan seperti laksa, bihun goreng, mee goreng, nasi goreng dan sebagainya

Samosa dan karipap.

Tuuu dia nama orang putih, Cok Kodok jadi Banana Button, Cok Jagung jadi Sweetcorn Bhaji
Kami oder Murtabak, Mee Goreng Mamak dan Teh Tarik. Mee goreng mamak memang sedap, serupa makan di Tanah Air. Murtabak pun kena dengan selera. Teh tarik ada kurang sikit mungkin disini menggunakan susu tepung.

Tak lama kami lepak-lepak dalam kedai keluar sorang lelaki Melayu separuh abad menegur kami. Inlah tokeynya, En Razak. Ramah orangnya. Beliau sebelum ini mendapat tender di Malaysian Hall. Selepas itu ada rezeki dia buka kedai sendiri di sini.

En Ishak pemilik Makan Cafe.

Bersama En RAzak tokey Makan Cafe.
Sembang punya sembang baru tahu dia orang Utara, ada sangkut paut dengan jiran di Kepala Batas Penang. Dalam dok sembang di bawanya cucuq kodok dan keropok buat bertambah lagi lama kami lepak di kedai. Dalam dok perhati pengunjung yang datang. Rasanya kamilah orang Melayu yang ada. Kebanyakannya dikunjungi oleh penduduk setempat. Pandai mereka makan citarasa Malaysia terutama mee goreng.

Banana Button - Cok Kodok.


Makan Cafe.
Kepada rakyat Malaysia yang rindu masakan ala kampung boleh datang sini. Tak mengecewakan. Moga perniagaan En Razak bertambah maju. Dibawah sedikit maklumat.

Makan Cafe
270 Portobello Rd,
London W10 5TY, United Kingdom

Dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 9.30 malam setiap hari.

Lokasi GPS:
51°31'07.5"N 0°12'25.8"W
51.518740, -0.207172

Barang dah penuh ditangan, jadi petang ini kami ke rumah Kak Yat. Tumpang simpan barang disitu sekajap. Perjalanan diteruskan ke Oxfor Street semula. Sambung balik shopping yang pagi tadi tergendala. Jom sebok kan diri di Oxfor Street. Sebelum terlupa masa beli belah barangan disini jangan lupa minta borang tuntutan VAT dan jangan lupa bawa pasport sekali. Ada juga butik yang boleh bagi tunai serta merta kepada pelanggan. Ikutlah yang mana berkenan. Malam di sini lagi cantik dengan lampu hiasan.



Terasa macam dok kat Malaka pula ada beca berhias.
OKlah setakat ini sahaja cerita untuk hari ini. Esok dah nak berangkat balik, malam ni kena pack barang.

[ Pautan Jalan-jalan Bercuti ke Liverpool dan London pada 20 - 28 Disember 2019. Kepada yang dah baca komenlah sikit TQ 😁😁😁]

1. Dari Bertam ke Heathrow
2. Persiapan Awal ke London
3. Heathrow Airport - Landing Time
4. Perjalanan dari Heathrow ke Liverpool
5. The Kop - Stadium Aanfield
6. Manchester United FC dan Royal Albert Dock
7. Bicester Village Outlet dan Oxford Universiti
8. Istana Buckingham dan Tower Bridge London
9. Borough Market dan Brixton Market
10. BBQ di Croydon
11. Boxing Day dan Winter Wonderland
12. Oxford Street dan Notting Hill
13. Tuntutan VAT di Heathrow Airport
14. Dari Heathrow ke Nasi Kandar Mohamed Raffee