PASUKAN Politeknik Ungku Omar gembira selepas menjuarai perlumbaan Perodua Eco-Challenge 2011 di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh, baru-baru ini. |
IPOH 5 Julai - Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini, menjuarai perlumbaan Perodua Eco-Challenge 2011 di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC), Ayer Keroh, 25 Jun lalu.
Pegawai Perhubungan Awamnya, Hasmiza Hussin berkata, kemenangan itu membolehkan PUO memenangi hadiah wang tunai RM20,000, medal dan trofi setelah dinobatkan sebagai juara kategori pemanduan paling jauh.
Katanya, bagi kategori itu, kereta ciptaan pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) berjaya dipandu sejauh 24.07 kilometer menewaskan 12 pasukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain.
"Penyertaan PUO kali ini lebih mencabar kerana pensyarah dan pelajar perlu mencipta dan membina kenderaan yang mampu bergerak sejauh mungkin dalam tempoh lima bulan.
"Selain itu, kemenangan ini juga bermakna apabila kami berjaya menewaskan juara tahun lalu iaitu Universiti Sains Malaysia (USM)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Pertandingan anjuran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) itu ditentukan berdasarkan jarak maksimum yang dapat dicapai dengan hanya menggunakan minyak setengah liter petrol mengikut modifikasi pada enjin.
Perodua Eco-Challenge kali ini mempertandingkan tiga kategori iaitu rekabentuk, kejuruteraan dan pemanduan paling jauh.
Bagi kategori reka bentuk Universiti Malaysia Pahang (UMP) dipilih sebagai juara dan bagi kategori kejuruteraan pula dimenangi Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pada pertandingan itu, Universiti Industri Selangor (Unisel) muncul naib juara pada pertandingan itu dan memperoleh hadiah wang tunai RM10,000 dan tempat ketiga menjadi milik USM dengan membawa pulang hadiah RM5,000.
Menurut Hasmiza, kejayaan tersebut merupakan hasil kerja keras semua pelajar yang memberikan sepenuh komitmen dalam pembuatan kereta dan pengubahsuaian enjin yang memakan masa lebih lima bulan.
"Kami diberikan wang tunai oleh Perodua RM17,500 untuk membina kereta masing-masing dan turut diberikan enjin tiga silinder dan sistem transmisi bagi diubah suai agar mampu meminimumkan penggunaan minyak," katanya.
***petikan dari Utusan Online pada 6hb Julai 2011***
Tercabar USM kalah dengan PUO:
"Selain itu, kemenangan ini juga bermakna apabila kami berjaya menewaskan juara tahun lalu iaitu Universiti Sains Malaysia (USM),"
No comments:
Post a Comment