21hb Mac ini keputusan SPM akan keluar. Tahniah kepada yang akan menerima keputusan cemerlang dalam SPM 2012 ini. Tahniah juga kepada ibu bapa, sekolah, pusat tuisyen, ahli politik dan sesiapa yang menjadi pendorong kepada kejayaan anda.
Gambar hiasan
|
Kepada yang berjaya, siapakah yang membuat anda berjaya? Berbagai pihak akan mengatakan merekalah yang membuat seorang anak itu berjaya.
Ibu Bapa: Pastinya ibu bapa yang paling gembira melihat kejayaan anak-anak mereka. Dengan kemudahan-kemudahan pembelajaran yang baik di rumah seperti bilik bacaan, komputer dangan buku-buku ilmiah yang akan memudahkan anak-anak mengulangkaji. Bukan setakat kemudahan fizikal tetapi juga dari segi masa dimana anak-anak yang akan menduduki peperiksaan akan di lapangkan masanya untuk belajar, jangan suruh sidai baju, basuh pinggan, sapu sampah, jangan pi main bola. Pusat-pusat tuisyen menjadi agenda selapas balik sekolah. Jika cuti penggal pula kem-kem memantapkan akal dan rohani menjadi tujuan. Hadiah-hadiah juga menjadi pendorong anak-anak untuk berusaha. Pastinya di atas sejadah bersaksikan hembusan kalimah doa kepada Illahi untuk kejayaan anak-anak. Ini antara yang akan mendorong kepada kejayaan anak-anak itu.
Sekolah: Pastinya sekolah amat berbangga dengan keputusan pelajarnya yang cemerlang. Cikgu-cikgu pasti tersenyum melihat kejayaan anak murid mereka dan lebih lagilah Guru Besar juga berbangga kalau ramai pelajarnya mempunyai "A". Prestasi sekolah akan meningkat. Apa tidaknya berbagai ganjaran yang guru-guru dan sekolah akan dapat dengan pencapaian tersebut. Menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) hasil kecemerlangan meningkatkan pencapaian sekolah untuk melepasi sasaran yang ditetapkan guru besar dan guru-guru lain akan menerima ganjaran masing-masing (yang nie untuk guru sekolah menengah jaaa ). Berbagai usaha untuk meningkatkan prestasi pelajarnya seperti mengadakan kelas tambahan dan guru-guru memberi sepenuh perhatian kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan.
Ahli Politik: Menteri dan ahli politik terutama yang memegang KPI dalam pembangunan pendidikan negara akan pastinya berbangga jika ramai yang berjaya ketika pemerintahannya. Tambahan pula jika beliau ada membuat perubahan tertentu dalam pendidikan seperti penggunaan bahasa ( sat bahasa inggeris...sat bahasa melayu...sat bahasa entah apa-apa lagi lah ) dan memperkenalkan sistem pendidikan tertentu. Mereka akan cuba menerapkan suatu sistem yang dijangkakan bersesuaian dengan kemajuan yang akan dicapai kemudian hari. Yang pastinya dari dulu sampai sekarang selepas sahaja keputusan peperiksaan di umumkan akan ada kenyataan akhbar bahawa " Pencapaian untuk peperiksaan kali ini amat membanggakan dan telah melepasi jangkaan " atau " Inilah pencapaian yang terbaik dari tahun-tahun sebelumnya ".
Pusat Tuisyen : Tak kurang juga pusat tuisyen yang menyediakan guru-guru yang mantap untuk mendidik pelajarnya. Apa tidaknya jika sesuatu pusat tuisyen tu dapat mengeluarkan ramai pelajar yang banyak "A" maka naik lah nama mereka. Maka di iklankan bahawa merekalah pusat tuisyen yang cemerlang dan boleh memberi kejayaan kepada pelajar. Makin beruntunglah pusat itu. Pemilihan guru-guru menjadi agenda utama, yang pasti guru-guru yang menjadi penggubal bank soalan peperiksaan kementerian akan menjadi rebutan. Harap-harap pelajarnya mendapat soalan bocor.
Pelajar: Anda pastinya yang tergembira sekali setelah melepasi ujian yang getir. Usaha-usaha yang dilakukan seperti mengorbankan masa bermain, memberi tumpuan dalam bilik darjah, mengulangkaji pelajaran, menghadiri kelas tambahan dan sebagainya. Dah tentulah doa dipohon memberkati usaha anda. Setelah berusaha bersungguh-sungguh, sekeping kertas telah membuktikan kejayaan anda. Sekeping kertas yang Insyaallah yang akan membawa kejayaan selepas ini.
Jadi siapakah yang memberi kejayaan itu? Ketahuilah sekeping kertas yang anda dapat itu meruntun berbagai pihak secara langsung dan tak langsung untuk berkorban. Ini bukan kejayaan satu-satu pihak sahaja. Tak ada sesiapa yang boleh mengatakan akulah yang membuat dia berjaya atau aku memang otak bergeliga ( boleh buat batu cincin ) sebab itu aku berjaya. Yang pastinya rangkuman berbagai pihak menjadikan keptusan yang cemerlang.
Jika dilihat di kaca TV dan media massa memaparkan ramai anak-anak dari keluarga miskin dan tak dapat menikmati segala kemudahan mencapai kejayaan yang cemerlang. Mereka tidak dijanjikan dengan hadiah, harian hidup mereka diisi dengan membantu keluarga, tidak ada kelas tambahan, tidak ada ruang tertentu untuk mengulangkaji dan yang dapat ibu bapa beri hanyalah doa. Walau begitu mereka juga mendapat kejayaan yang cemerlang.
Apakah yang membuat mereka berjaya pula? Ramai yang di wawancara mengatakan pendorong kepada kejayaan itu datang dari keinsafan dan ingin membantu keluarga, tak mahu lagi keluarga berada dalam kesusahan dan ingin menjadi pendorong kepada adik-beradik. Walau dalam keadaan daif mereka berlapang dada menerima segala dugaan itu dan terus berusaha dan berjaya.
Yang menerima segala kemudahan pun cemerlang, yang tidak menerima kemudahan pun cemerlang juga. Jadi apa-apa pun kejayaan itu datangnya dari dalam diri sendiri. Kemahuan untuk berusaha dan berjaya dan berdoa.
No comments:
Post a Comment