Dekat sebulan Proton mengeluarkan kereta model terbaru Inspira. Aku tak tengok lagi kat atas jalan. Booking telah boleh dibuat. Dikeluarkan dalam model 1.8 - liter dan 2.0 - liter dalam harga RM 79,880.00 dan Rm 95,000.00. Dari gambar yang aku lihat dalam internet memang cantik dan bergaya.
Apa yang hendak diperkatakan ialah kenapa Proton memilih untuk menukar lencana dari Mitsubishi Lancer ke nama Inspira. Proton telah mengeluarkan kereta pertama ( Proton SAGA ) pada 1985 iaitu hampir 25 tahun sehingga kini dengan sokongan yang padu dari kerajaan. Dalam usia yang sebegitu Proton rasanya sudah boleh mengeluarkan kereta sendiri dengan rekabentuk sendiri. Bukan lagi mengambil model-model kereta lain dan ditukar lencana sahaja. Tambahan pula Proton yang nama penuhnya Perusahaan Otomobil Nasional menggambarkan ia merupakan syarikat pengeluar kereta kebangsaan, jadi perlulah mengambarkan keNASIONALANnya. Ini seolah-olah orang Jepun yang mendapat keluarga angkat di Malaysia, lalu diberikannya nama Melayu supaya bapa dan adik angkatnya dapat menyebut nama dengan mudah, walhal dia masih rakyat Jepun.
Dalam perancangan, bahagian-bahagian kereta ini akan dibuat secara tempatan berperingkat-peringkat tetapi bukanlah sepenuhnya. Tapi bagi pendapat aku lah, apa yang dibuat Proton adalah mengambil acuan dari Jepun dan dikeluarkan secara tempatan. Tidak ada perkembangan kretiviti orang tempatan cuma meniru sahaja. Meniru secara terhormat. Kita sudah meniru model-model terdahulu, kenapa tidak sekarang kita mengorak langkah untuk mengetengahklan hasil kretiviti sendiri. Mungkin untuk merekabentuk kereta yang 100% baru, kos yang besar diperlukan. Oleh itu menggunakan model yang sudah ada dipasaran dan dibuat sedikit pembaharuan kos akan dapat dikurangkan. Dapatlah rakyat tempatan memakai kereta luar jenama tempatan yang lebih murah. Berbanggakah kita??
Bagaimana hendak menjual model-model ini ke pasaran luar sedangkan mereka boleh membeli model asal dari pengeluar asal iaitu dari Mitsubishi. Mungkin kelebihan Proton ialah ia dapat jual barangannya lebih murah dari pengeluar asal, kualiti bagaimana?. Proton juga mungkin boleh mendominasi pasaran jika model yang dikeluarkan telah tidak dikeluarkan oleh pengeluar asal.
Ada orang berkata jika kita mengikut orang dihadapan kita tetap akan berada dibelakannya. Bagaimana kita hendak memintasnya sedangkan kita hanya mengambil hasil yang telah di usakan oleh orang lain dan merebut pasaran yang sama. Kita perlu membuat penyelidikan dan mencari sumber dan cara lain supaya kita kehadapan.
Konsep Blue Ocean Strategy yang di tulis oleh W. Chan Kim and Renée Mauborgne berdasarkan penyelidikan selama 15 tahun. Penulis menggunakan 150 startegi perubahan melibatkan 120 tahun sejarah perniagaan untuk 30 industri. Mengetengahkan cara yang dilakukan oleh syarikat-syarikat besar seperti Canon, Philips, iTune dan ada beberapa lagi untuk melonjak perniagaan mereka tanpa bersaing dalam kelompok yang ramai.
Contoh berikut telah diambil laman web Blue Ocean Strategy . Syarikat Canon, dimana kebanyakan syarikat pengeluar pencetak membina mesin yang besar untuk syarikat-syarikat besar. Tetapi Canon mengambil pendekatan berbeza dengan membina mesin yang kecil denga harga yang jauh lebih murah untuk penggunaan kecil-kecilan atau rumah. Jadi mereka telah keluar dari kelompok tadi dan telah membina kelompok baru untuk pasaran mesin mereka.
Ambil pula contoh iTunes sebuah produk dari Apple. Pada suatu ketika muzik sangat pesat di ciplak di internet dan boleh di muat turun dengan mudah dan percuma. Ini menyebabkan industri muzik jatuh. Apa yang di perkenalkan oleh Apple ialah produk iTune dimana pengguna boleh mendengan preview lagu selama 30 saat dan boleh muat turun dengan harga yang murah dan dengan kualiti yang baik. Pelanggan pula boleh memilih lagu yang disukai untuk muat turun tidak seperti CD yang telah ditetapkan bilangan lagu yang ada didalamnya.
Kita juga melihat Proton telah melaburkan begitu besar untuk Perlumbaan Kereta F1 dan telah membeli Syarikat Lotus dan MV Agusta (telah dijual semula). Hebat, syarikat Hyundai Motor pun tak berani. Apa yang telah Proton dapat? Teknologi apakah yang telah dihasilkan atau telah diambil dari syarikat tersebut untuk memajukan jenama Proton? Ini perlu difikirkan. Mungkin teknologi itu jika diserapkan ke kereta buatan Proton boleh menjadikan harga melambung tinggi. Fokus untuk jualan kepada rakyat Malaysia akan tersasar. Perlulah difikirkan bagaimana strategi Blue Ocean boleh digunakan untuk mencapai keuntungan dan pada masa yang sama membuka peluang kepada rakyat sederhana menikmati keunggulan produk 100% Proton.
Sebagai rakyat Malaysia aku berbangga kiranya dapat melihat kereta buatan Malaysia yang mana menampilkan acuan kita sendiri yang mencakupi rekabentuk, teknologi, kualiti, servis, alat ganti, ketahanan dan kebolehpercayaan. Untuk merialisasikannya bukan tanggungjawab Proton sahaja, tetapi juga kerajaan boleh memain peranan memberi insiantif dan ruang-ruang untuk Proton maju kehadepan dan rakyat Malaysia juga mestilah memberi sepenuh sokongan kepada Proton.
No comments:
Post a Comment