Taekwondo Vs Silat

Sekarang ini, ketika kita lalu dan lihat di tepi jalan, pagar sekolah atau tempat-tempat awam seringkali kita nampak poster iklan untuk belajar seni mempertahankan diri Taekwondo.

Aku pusing punya pusing nak jumpa iklan untuk belajar silat, tapi tak jumpa-jumpa. Pergi kemana pesilat atau lebih tepat pergi mana Mahaguru-Mahaguru silat. Ujud lagikah mereka ini di bumi Melayu ini.

Sekarang ini mudah untuk mengikuti kelas Taekwondo. Di setiap ceruk ada dibuat kelas Taekwondo. Anak-anak Melayu pun dah beralih arah ke seni ini. Silat sudah dipinggirkan.

Ramai lagi anak-anak Melayu ingin belajar silat tetapi sukar untuk dapatkan maklumat tentang kelas-kelas silat. Silat menjadi suatu yang eksotic. Semakin sukar untuk dicari ketika ini. Disekolah ada dijadikan kokurikulum, tapi tak semua sekolah menganjurnya terutama sekolah rendah. Di kampung-kampung dan bandar-bandar pun ada tetapi seolah-olah menjadi rahsia yang perlu di korek. Untuk mencari guru-guru silat dan tempat-tempat belajar silat memang sukar, seolah-olah menjadi barang peribadi.

Ada berbagai silat di Malaysia ini antaranya yang biasa didengar ialah Gayong, Cekak dan Lincah sahaja. Tetapi ujud berbagai jenis silat lain, ada yang sudah didaftar dan ada yang masih berdiam diri. Kenapa silat-silat tidak dikomersial kan seperti Taekwondo? mungkin kerana silat hanya untuk orang Melayu sahaja. Tetapi orang Melayu sendiri pun sukar untuk mendapatkan latihan ini. Disekolah mungkin senang sebab dijadikan kokurikulom tetapi di luar sana??

Tidak seperti Taekwondo yang mempunyai banyak tempat latihan, tak ada gelanggang tanah, blok bangunan kedai pun boleh, pilih sahaja yang mana berkenan dan masa latihan yang pelbagai kalau nak yang ada air cond pun ada. Silat mungkin tidak begitu. Mereka ini mungkin masih berada di dalam kepompong mitos zaman dulu-dulu. Latihan hanya di lakukan pada lewat malam. Lokasi pula mesti jauh dari pandangan orang dan mungkin gelanggang pula mesti ada syarat-syarat tertentu. Mungkin syarat-syarat ini menjadikan ia sukar untuk berkembang.

Pada 10.10.2010 di Dataran Merdeka dianjurkan Jom Silat yang disertai oleh 10,000 pesilat. Program ini seolah-olah menggamit dunia memberitahu bahawa orang Melayu masih ada seni mempertahankan dirinya, masih ada maruah untuk dijulang. Ini mungkin boleh dijadikan titik tolak untuk mengkomersialkan silat.

Mengkomersialkannya bukan bermaksud mengaut keuntungan tetapi untuk mengekalkan kesinambungannya. Silat bukan sebagai pembuka majlis, penyambut tetamu, hiburan, cerita lagenda dan bukan untuk bergaduh. Ini adalah warisan, jati diri, hak dan maruah kita. Silat bukan cedokan dari bangsa luar tetapi adalah garapan seni mempertahankan diri dari nenek moyang Nusantara Melayu.

Kita mungkin mengimport senjata dari negara luar disebabkan kita tiada kebolehan tetapi seni memperthankan diri tak perlulah. Kita masih ada Mahaguru-mahaguru yang boleh menanam kan seni ini kedalam jiwa bangsa Melayu. Tak kurang apa yang ada pada silat dengan seni mempertahan diri yang lain. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Mungkin silat tidak melonjak ke sukan Olympic. Silat bukan barang pertandingan tapi melatih diri menjadi bangsa bermaruah.

Sekarang ini ada juga siri TV yang mengetengahkan seni mempertahankan diri Melayu. Tapi yang aku lihat serupa filem Kung-fu China. Lompat sana lompat sini dengan pedang besar yang macam Power Ranger. Tak ada ciri-ciri silat pun. Mungkin ini salah satu untuk mengkormesialkan silat, tapi ia telah mencemari silat itu dengan gaya-gaya cedokan filem kung-fu. Buat lah filem itu dengan acuan kita sendiri.

Pendapat akulah kalau nak mengaktifkan silat ini perlu ujudkan kelas-kelas latihan silat di bandar-bandar dan kampung-kampung dengan lebih banyak lagi. Buatlah gelanggang yang sesuai dan latihlah anak bangsa Melayu. Ingatlah kita masih ada seni mempertahankan diri sendiri, tak perlulah mengagongkan seni bangsa lain.

p/s: kat Kepala Batas ada guru silat tak??

2 comments:

  1. https://www.lookp.com/malaysia/martial-art perkongsian info.

    Senarai kelas/pusat belajar seni mempertahankan diri.

    ReplyDelete
  2. Setuju dengan posting ini walaupun dah lama.. nama je silat ni seni tanah air, tapi sekolah pun tak iktiraf..

    ReplyDelete