Umrah dan Ziarah 2017 : Ziarah Sekitar Masjidil Haram

Hari ke empat di Makah, 8 hb Disember 2017 merupakan hari Jumaat. Memandangkan Hari Jumaat, jadi tak dibuat ziarah ke mana-mana sebab kena pergi awal ke Masjid. Jika lambat, berkemungkinan dalam masjid penuh, kena sembahyang di dataran sahaja lah. Cuma petang ini Ustaz Erdie bawa jalan-jalan sekitar Masjidil Haram. Berjalan jauh ziarah berbagai tempat sedangkan di sekitar Masjidil Haram berbagai kisah terpahat disini.

Petang selepas solat Asar berkumpul di bawah hotel. Ustaz Erdie beri seorang sebatang kayu sugi. Ini pertama kali aku menggunakan kayu sugi. Rasa kayu sugi ini sedikit pedas.
Kayu Sugi
Selepas itu kami dibawa ziarah sekitar Masjidil Haram. Ditunjukkan tempat kelahiran Rasulullah dimana telah dibina sebuah perpustakaan disini. Begitu juga rumah-rumah sahabat yang telah menjadi bangunan-banguna lain.

Mendengar cerita sejarah sekitar Masjidil Haram
Kami dibawa ke suatu tanah perkuburan lama bertentang dengan Hotel Hilton, Perkuburan Al-Shabeka. Ini adalah perkuburan masyarakat Arab Jahiliyah. Perkuburan ini menjadi tempat bayi perempuan ditanam hidup-hidup sebelum kedatangan Islam.
Perjalanan ke Perkuburan Al-Shabeka
Biasakan dengar lagu Sumayyah ? Nyanyian Kumpulan Hijjaz. Diperkuburan inilah juga Sumayyah binti Khayyat di semadikan. Beliau antara orang terawal yang memeluk Islam dan beliau menjadi wanita Islam pertama yang mati syahid atas keteguhan iman. Cerita sedikit.
Perkuburan Al_Shabeka di pagar dan bertembok dibelakang.
Sumayyah binti Kayyat merupakan hamba sahaya kepada Abu Huzaifah Bin Mughirah dari Bani Makhzum. Beliau dikahwinkan dengan Yasir Bin Amir, seorang Yaman yang menetap di Makah dan bersahabat engan Abu Huzaifah. Selepas berkahwin beliau dikurniakan seorang anak bernama Ammar dan kemudiannya dia dimerdekakan.

Diawalnya, Islam disebarkan secara senyap-senyap. Sumayyah dan keluarganya antara orang terawal memeluk Islam. Dikatakan Sumayah orang ke tujuh memeluk Islam. Mereka melakukan ibadat secara sembunyi-sembunyi sebab ketika itu amat bahaya jika diketahui kaum kafir Quraisy. Mereka akan disiksa dan disuruh kembali ke agama nenek moyang.

Sebuah dataran yang menyimpan sejarah Masyarakat Arab, Perkuburan Al-Shabeka.
KeIslaman keluarga ini diketahui juga oleh Bani Makhzum. Lalu mereka disiksa dengan berbagai cara. Penduduk Makah yang menyaksikan peristiwa tersebut tidak dapat berbuat apa apa kerana takut dengan Bani Mahzum. Rasulullah yang melewati tempat itu turut bersimpati dan bersabda "Bersabarlah keluarga Yasir. Sesungguhnya balasan kamu semua adalah syurga".

Diringkaskan, Walau disiksa Sumayyah tidak sekali-kali untuk kembali ke agama nenak moyang. Berbagai cara masih tak berkesan, yang terakhir beliau di tusuk dengan tombak oleh Abu Jahal sehingga syahid. Menjadikan ia wanita pertama syahid. Seperti biasa kalau nak tahu kisah keluarga Yasir ini tolong buka buku. Menarik kisah keluarga Yasir ini bagaimana mereka menjaga keimanan dan juga kisah anak mereka Ammar yang terlepas dari siksaan.

Lokasi Perkuburan Al-Shabeka:
21°25'21.7"N 39°49'16.8"E
21.422701, 39.821327

Hari semakin gelap, tanda Maghrib semakin mendekat. Satu lagi tempat dibawa oleh Ustaz Edrie. Selalunya kita ambil air Zam Zam di tong-tong atau water cooler yang disediakan di sekitar dan dalam Masjidil Haram. Kali ini dibawa ke sebuah tempat yang menyediakan paip.
Tempat Air Zam Zam di pam.


Bolehlah tadah Air Zam Zam dengan botol besar

Tempat ini disebelah kanan Rumah Rasulullah (Perpustakaan). Jadi bolehlah tadah tong besar atau boleh buat ambil air sembahyang atau mandi 😂😂😂.  Tempat ini berpagar dan ada waktu-waktu dibuka. Dibawah ada sedikit info.

Waktu buka: 6 pagi hingga 12 tengahari dan 5 petang hingga 12 malam.
Lokasi GPS:
21°25'28.6"N 39°49'48.0"E
21.424613, 39.829992

Alhamdulillah dapat mengambil wuduk dengan air zam zam dan tunggu azan Maghrib.

Di sini kepada yang hendak bersedekah memang ada banyak orang yang memerlukan. Kita boleh beli barang-barang dan disedekahkan atau boleh juga minta kedai-kedai makan memberi sedekah bagi pihak kita.
Dihadapan kedai sudah berbaris menunggu dermawan menginfak sedikit buat mereka mengalas perut.

Ada beberapa kedai makan yang menyediakan perkhidmatan ini. contoh kedai makan yang terdapat di lorong atau dataran diantara Bangunan Jam Besar dan Hotel Mellennium (tempat yang selalu jemaah beli ais krim). Disediakan beberapa pekej untuk bersedekah, ada pekej SR3, SR5 dan sebagainya. Pekej ini bergantung kepada harga makanan yang kita hendak beri seperti kebab, roti, air dan sebaginya.

Dihadapan kedai-kedai makan ini akan ada sahaja orang yang berbaris menunggu dermawan-dermawan yang menginfak makanan untuk disedekahkan kepada mereka. Jika ada sedekah untuk 10 bungkus maka 10 orang miskin dapatlah habuan. Yang lain tunggu pula dermawan lain pula yang sedekah.

Hari keempat di tamatkan dengan taklimat keberangkatan balik esok hari, terasa cepatnya hari berlalu. Oklah tamatlah hari ke empat di Makah.


[ Pautan Perjalanan Umrah Keluarga pada 30/11/2017-10/12/2017 bersamaan 11 hingga 21 Rabiulawal 1439H ]

1. Perjalanan Dari KL Ke Madinah
2. Ziarah Sekitar Masjid Nabawi
3. Ziarah Masjid Quba, Ladang Kurma dan Syuhada Uhud
4. Ziarah Istana Urwah dan Kota Yahudi
5. Ziarah Dar AL Madinah Museum
6. Perjalanan Ke Makah
7. Ziarah Kota Taif - Alkur Amusemnet Park, Kereta Kabel
8. Ziarah Kota Taif - Pasar Buah, Kilang Ros, Masjid AbdullahIbn Abbas
9. Ziarah Kota Taif - Masjid Siku, Masjid Addas
10. Ziarah Ja'aranah
11. Ziarah Hudaibiyah
12. Ziarah Sekitar Masjidil Haram
13. Selamat Tinggal Kota Makah
14. Kota Jeddah
15. Pulang Ke Malaysia


Catatan ini merupakan kenangan kami mengerjakan ibadat Umrah dan Ziarah pada tahun 2017/ 1439H. Bukan ditulis untuk berbangga diri atau riak dengan peluang menjadi tetamuNya. Mohon dijauhkan dari sifat-sifat tersebut. Catatan ini juga bukan panduan mengerjakan Umrah dan apa yang ditulis berkemungkinan ada kekurangan dan kesilapan oleh itu diminta sesiapa yang membacanya dapat memberi teguran. Kepada pembaca doakanlah ibadat yang telah kami lakukan diterima oleh Allah SWT dan dijemput lagi kami kesana.


No comments:

Post a Comment