Mesyuarat Agung PIBG SK Bertam Perdana Kali Ke-4

Saja nak tulis sikit mengenai Mesyuarat Agung PIBG SK Bertam Perdana Kali ke-4 yang berlangsung pada hari Sabtu 2hb Mac 2013. Pagi tu hantar Muhd Ammar ke tuisyen dulu dan ambil Siti Sarah dan Ahmad Firas bawa ke menyuarat. Sampai sekolah dalam jam 9.15 pagi.

Daftar di lobi dulu. Acara baru nak bermula. Ibu bapa yang hadir rasanya lebih dari 200 orang. Aku dok tengok kat internet mengenai Mesyuarat PIBG kat sekolah lain, ada yang kehadiran ibu bapa tak sampai 50 orang. Alhamdulillah ibu bapa kat SK Bertam Perdana memberi komitmen yang tinggi untuk kemajuan sekolah dan anak-anak.
cabutan bertuah : 93

 Lihat kat buku aturcara ada dilekatkan nombor. Mesyuarat kali nie mungkin akan dibuat cabutan bertuah, lagi pun lihat atas meja hadapan ada beberapa hamper. Kita lihat siapa yang kenaaa.

Seperti biasa mesyuarat dibahagiakan kepada dua sesi. Dimulai dengan sesi pertama, Majlis Persamian. Bacaan doa dimulai mohon supaya majlis berjalan lancar dan diberkati. Diteruskan dengan ucapan YDP PIBG Tn Hj Abdul Latif Saidin. Beliau memberitahu bahawa SK Bertam Perdana telah menjadi sekolah ke-3 terbaik Parlimen Kepala Batas dan beliau juga berharap ibu bapa memberi sumbangan kepada PIBG supaya PIBG mempunyai cukup dana untuk membantu sekolah menjayakan aktiviti-aktiviti.

Ucapan berikutnya oleh Guru Besar (GB) Tn Hj Ahmad Baker. Beliau menyampaikan maklumat terkini mengenai Plan Pambangunan Pendidikan Malaysia yang mempunyai agenda untuk menyediakan pendidikan terbaik bertaraf dunia kepada pelajar untuk menghadapi masa hadapan. Untuk mencapainya di gariskan 11 anjakan tranformasi:

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.
4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.
5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam

GB juga mencadangkan supaya sekolah dapat mengadakan beberapa buah khemah dengan bantuan PIBG. Dimana khemah-khemah ini dapat digunakan untuk menjayakan aktiviti sekolah dan juga boleh menjana pendapatan dengan menyewakannya kepada penduduk setempat. GB berharap dapat diadakan 4 buah khemah, kalau tak boleh 4, 3 buah,  kalau tak boleh 3, 2 buah pun jadilah (harap YB kat sebelah dengar). Itulah serba sedikit yang aku ingat.

Majlis sudah sampai keacara kemuncak iaitu perasmian oleh YB Dato Seri Reezal Merican. Aku tulis secara ringkas sajalah. Oleh kerana GB tadi seperti mengenen kepada beliau menyediakan khemah maka dengan murah hati beliau bersetuju memberi sebuah khemah dan memberi sumbangan kepada PIBG sebanyak RM 3000.00 (tepukan gemuruh dari ibu bapa).

Beliau meneruskan lagi ucapannya dengan menasihati ibu bapa mengeratkan hubungan dengan sekolah. Ini supaya ibu bapa mengetahui pencapaian dan sikap anak-anak mereka di sekolah. Taklah nanti dekat sekolah sahaja baik tetapi di rumah lain pula jadinya atau sebaliknya.

Beliau berharap umat Islam menimba ilmu untuk melawan kehebatan Yahudi dimana ketika ini umat Islam dipenuhi dengan slogan-slogan sahaja tapi tetapi tidak ada kuasa ekonomi. Dimana ketika ini ekonomi dipegang oleh kaum yahudi melalui syarikat-syarikat gergasi.

(Ahmad Firas dah mula bosan, jadi buku aturcara dan pen aku menjadi mangsa  ~ habis buku tu kena lakaran abstrak)

Beliau juga berharap ibu bapa membuat sumbangan kepada PIBG sebanyak RM50.00 untuk satu keluarga. Seterusnya beliau meminta ibu bapa untuk meningkatkan usaha anak-anak untuk belajar bukan setakat makan kismis sahaja atau ubat-ubat tertentu. Akhir sekali beliau merasmikan Mesyuarat Agung PIBG. Itulah serba sedikit  yang sempat aku catit dan ingat ( kadang-kadang catit pun tak boleh baca ~ tulisan doktor ) .

Acara berhenti rehat seketika dan disediakan sedikit jamuan ringan. Errrr alhamdulillah kenyang. Jam menunjukkan hampir 10.20 pagi. Aku keluar ambil semula Muhd Ammar dan hantar kakaknya pula ke tuisyen. Selepas hantar Ammar balik rumah. Ahmad Firas dah tak mau ikut aku ke mesyuarat lagi.

Sesampai di sekolah, sesi kedua iaitu Mesyuarat Agung PIBG dah bermula. Beberapa usul yang telah disenaraikan dibahaskan. Antaranya meminta PIBG membuat pakir yang tersusun dihadapan sekolah supaya ibu bapa yang menungg anak-anak memakir kereta dengan lebih tersusun dan tak mengganggu lalu-lintas bukan ikut sedap dimana enjin nak berhenti ja.

Diusulkan juga PIBG membelanjakan wang tabung  untuk menaiktaraf kemudahan fizikal sekolah seperti disediakan kerusi batu untuk murid-murid rehat, bumbung antara dewan terbuka dan kantin, awning untuk dewan terbuka supaya air hujan tak tempias. Apa-apa pun pembiayaan untuk pendidikan dan sukan diutamakan. Yang nie boleh habis tabung PIBG tapi dipertimbangkan untuk dibawa ke kementerian untuk memohon bajet. Mana tahu ada sisa-sisa duit lagi kat hujung tahun.

Ketika ini SK Bertam Perdana berjalan dalam dua sesi, pagi dan petang. Disebabkan sekolah ini terpaksa menampung bilangan pelajar yang ramai dari taman perumahan berhampiran. Hairan aku apa yang kementerian buat. Perkara ini dah lama. Di Bertam Putra dengar cerita tapak sekolah dah ada tapi kenapa tak dibangunkan lagi? Nak kata kawasan pembangkang, tak juga. Takkan nak tunggu kubu kena roboh. YB Dato Reezal Merican dah balik ~ patut dia dengar sama. Entahlahhh.... Oleh itu diusulkan PIBG berusaha mencari kaedah supaya dapat dibina bangunan tambahan untuk menampung pelajar supaya dapat dilakukan persekolah satu sesi. Jadi jika ada ibu bapa yang ada kuasa power renjer bolehlah hinggut kat mana yang boleh.

Alhamdulillah dalam dok minta benda-benda fizikal ada yang prihatin dengan kerohanian. Lalu diusulkan PIBG mengadakan siri ceramah agama / motivasi untuk ibu bapa. Bukan setakat pelajar sahaja yang nak diberi kesedaran, ibu bapa pun perlu ada ilmu. Barulah matlamat menjadikan pelajar bertaraf dunia dapat dicapai.

Ada satu usul yang tak tersenarai dibangkitkan mengenai kawasan belukar belakang sekolah. Kawasan luar sekolah yang dipisahkan oleh pagar sahaja yang boleh mengundang bahaya haiwan liar seperti ular. Oleh itu dicadangkan kawasan tersebut dipohon untuk dibersihkan dan diguna untuk bercucuk tanam. Hasil dari tanaman boleh digunakan untuk tabung. Pihak PIBG beritahu kawasan tersebut bukan dibawah kerajaan tetapi dibawah Bertam Properties. Apa-apa pun bolehlah di pohon. Pengusul juga mencadangkan ditanam dengan nangka madu, beliau merupakan pakar tanaman nangka madu ~ siap bagi harga pasaran nangka madu.

Mesyuarat tak habis lagi, aku terpaksa keluar untuk mengambil Siti Sarah yang habis tiusyen jam 12 tengahari dan hantar pulang. Sampai ke rumah rasa macam malas nak hadir mesyuarat semula. Lihat agenda mesyuarat, selepas perbahasan usul akan dilakukan pembubaran AJK PIBG lama untuk lantikan baru. Jadi keputusan diambil untuk mendiamkan diri di rumah sahaja, lagi pun ada program lain akan menyusul. Tak tahulah berapa ususl lagi selepas tu dibahaskan dan siapa dilantik menjadi AJK pula. Apa-apa pun melepas cabutan bertuah. Kalau nombor 93 naik, aku boleh tuntut lagi tak?

Aku tulis nie mengikut apa yang aku paham dan ingat dan buboh aji-no-moto sikit bagi sedap. Kalau ada apa-apa perbezaan atau kekeliruan sila rujuk maklumat dari sekolah, itu yang terbaik.

2 comments:

  1. SALAM,
    SAYA BARU PINDAH KE BERTAM PERDANA, DAN BERCADANG UNTUK MENUKAR ANAK KE SK BERTAM PERDANA. DI SEKOLAH TU ADA PEPERIKSAAN TAK UNTUK MENEMPATKAN KELAS MEREKA DALAM TAHUN YANG BERIKUTNYA?

    ReplyDelete
    Replies
    1. w'salam maaf saya bukan guru kat situ. Setahu saya penempatan untuk kelas ditentukan dari peperiksaan hujung tahun. Kalau pelajar pindah sekolah rasanya baik hubungi pihak sekolah di 04-5741644 atau layari http://skbertamperdana.edu.my/. TQ harap membantu.

      Delete