Kenduri...kenduri...kenduri

Asal cuti sekolah ja....mesti musim kenduri. Macam-macam kenduri ada, kenduri kawin, akikah, doa selamat dan macam-macam lagi lah. Dok lepak-lepak tengok orang kenduri terfikir aku kenduri ini sebagai :

Status

Status juga boleh dikaitkan dengan pembuat kenduri. Lagi grand majlis lagi hebat. Tambah kalau buat kat hotel, lagi tinggilah status pengendurinya ditambah undangan yang datang dato-dato, tan sri-tan sri atau pun artis pula.

Status juga menunjukkan kepada orang yang dapat undangan kenduri. Lagi banyak lagi hebat sebab ramai orang kenal, tambah lagi kalau yang memanggil tu orang yg hebat-hebat. Boleh la bagi tau kawan-kawan, aku dapat 20 undangan kenduri hari nie saja, kena pi semua lalu di ceritalah siapa yang memanggilnya dan dimana dengan perasaan bangga.

Membuka pekung

Kadang-kadang kita lihat terutama perempuan. Hari-hari biasa nampak sopan bertudung ja. Tapi bila hari perkhawinan dia. Haaaaa semua tersembul. Tudung pakai gak tapi kat tangan dan dada kain jarang-jarang, tu tak termasuk yang di belah- belah lagi.

Mengumpat

Kenduri gak manjadi medan mengumpat tak masa kenduri dipilih masa lepas kenduri. Macam-macam la yang nak diumpatkan cam make-up, baju, pelamin. Ada orang dapat bunga telur lain, aku pulak dapat cam lain, lauk kawan nuu sedap mai kat sini tak sedap dan entah apa-apa lagi la.

Pertunjukan Fesyen

Haaaa masa kenduri ni lah nak buat fesyen show ( kenduri kawin ja la, kenduri arwah semua nampak sopan dan warak ). Masa nie la nak melaram pakaian ngan meke-up tebal dan fesyen entah apa-apa  dan macam-macam lagi lah nak tunjuk. ( Hari raya pun buat gak tapi setahun sekali ja ). Kadang-kadang mengalahkan pengantin itu sendiri.

Apa-apa pun kenduri yang dilakukan mestilah bersandarkan kepada syariat.

Petikan dari http://www.ukhwah.com/print.php?sid=919 mengenai mengadakan kenduri kahwin:

APABILA sepasang anak muda selamat diijabkabulkan, maka menangislah syaitan. Maka tidak lagi ia berjaya memainkan hati pasangan itu untuk menuju ke jalan mereka.

Tetapi apakah mungkin tangisan itu akan berakhir di situ saja atau berlarutan hingga tamatnya majlis walimah itu? Hanya Allah saja yang mengetahui. Semuanya bergantung kepada majlis yang kita laksanakan.

Majlis perkahwinan boleh mendatangkan berkat bila suasana yang mendatangkan keberkatan itu dijaga sungguh-sungguh, iaitu dengan menjaga batas syariat - tidak bercampur-aduk antara lelaki dan perempuan ajnabi.

Contohnya, majlis akad nikah seharusnya dibuat di masjid, kerana ia boleh terhindar daripada bercampur lelaki dan perempuan.

Kepada pasangan pengantin, setelah selesai majlis pernikahan, mereka disunatkan sujud syukur dengan sembahyang sunat nikah dua rakaat.

Maka daripada sinilah mulanya bibit perkenalan cinta pandang pertama antara kedua pasangan pengantin yang dirahmati Allah s.w.t itu.

Sekiranya rumah kita kecil dan tidak muat menempatkan tetamu wanita untuk makan di dalam rumah, bolehlah dipasangkan khemah berasingan untuk lelaki dan perempuan.

Dan pelayannya mestilah daripada kaum sejenis. Apa yang penting, kita berusaha mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan, terutama ketika majlis jamuan.

Kadangkala kita tengok tetamu yang hadir tidak begitu ghairah melihat pengantin lelaki, tetapi seronok dengan gadis genit yang melayani tetamu. Lalu berlakulah usik-mengusik antara satu sama lain.

Kenduri kahwin yang dirahmati Allah tidak semestinya dibuat secara besar-besaran seperti di hotel atau di dewan masyarakat dan menjemput tetamu kehormat saja serta diserikan dengan pelbagai acara istimewa, seperti muzik dan tarian.


Memadailah dengan apa yang termampu. Jemputlah jiran yang terdekat. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: “Buatlah jamuan walaupun dengan seekor kambing.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Adakan kenduri kahwin dengan tidak menimbulkan fitnah manusia. Rasulullah s.a.w. suka majlis yang mulia ini dihebahkan kepada masyarakat. Mengadakan kenduri kahwin adalah sunnah Rasulullah, hukumnya sunat dan mendapat pahala.

Selain itu, majlis yang kita laksanakan itu bukanlah untuk bersuka-suka saja, tetapi besar ertinya pada fakir miskin.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan umatnya bahawa jamuan yang paling dicela Allah s.w.t ialah apabila jemputannya terdiri daripada orang-orang kaya saja, sebagaimana sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud:

“Sebusuk-busuk makanan ialah yang dijamukan untuk jemputan orang kaya saja dan dibiarkan orang miskin, yakni tidak dijemput bersama.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebaik-baiknya jemputlah kedua-duanya sekali (miskin dan kaya) supaya menambahkan silaturahim antara kedua-dua golongan itu. Inilah salah satu hikmah mengapa seseorang itu diwajibkan menghadiri majlis walimatul-urus. Hal ini telah diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak hadir ke jemputan (kahwin), maka sesungguhnya derhakalah ia kepada Allah dan RasulNya.”

Bagaimanapun, sekiranya majlis kahwin itu banyak berunsur kemungkaran daripada kebaikannya (seperti bersanding, pergaulan bebas, tari-menari atau kugiran rancak dan sebagainya), memadailah kita jenguk muka sekejap saja.

Berilah alasan yang baik sebab kita tidak datang dan meraikan bersama majlis itu.

Sebagai saudara sesama Islam yang cintakan kebenaran, berdoalah semoga mereka dikurniakan petunjuk sebagaimana doa Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Wahai Tuhan! Berilah petunjuk kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui.”

Mengadakan upacara bersanding satu dosa yang paling berat. Tidak ada keterangan di dalam semua mazhab yang membolehkan bersanding. Hanya agama Hindu yang memestikan penganutnya bersanding.

Kalau tidak bersanding, penganutnya dihukumkan sebagai murtad. Seluruh ahli keluarga memulaukan mereka dan dianggap sebagai derhaka.

Menurut adat Hindu, untuk mendapatkan restu dewa-dewa, maka setiap majlis persandingan mestilah diletakkan dua gunung emas dan pokok emas di kiri dan di kanan pelamin.

Bagi orang Melayu pula, mereka meletakkan pulut kuning, pulut manis dan bunga telur sebagai ganti gunung emas atau pokok emas yang diamalkan oleh orang Hindu.

Oleh itu eloklah dihapuskan upacara yang karut dan sesat itu. Berbincanglah sebaik-baiknya dengan ibu bapa supaya majlis yang kita laksanakan itu benar-benar menepati kehendak syariat Islam yang maha suci. Biasanya orang kita mengadakan iringan muzik atau dijemput khas pemuzik yang kononnya untuk meraikan pasangan pengantin baru. Maka tidak wajarlah majlis yang mulia itu kita cemari dengan sesuatu yang melalaikan. Majlis yang sepatutnya syaitan menjerit dan menangis, akan bertukar kepada syaitan ketawa dan gembira.
Kita boleh memeriahkan majlis dengan lagu memuji kebesaran Allah s.w.t. dan memuliakan Rasulullah s.a.w.

Contohnya mengadakan khatam al-Quran, berzanji, marhaban, qasidah, bertahlil atau nasyid dengan syarat hendaklah diasingkan antara lelaki dan wanita yang ajnabi.

Aku petik dari http://rashid1218.tripod.com/is2.html mengenai menghadiri kenduri kahwin:

Dalam ajaran Islam, menghadiri majlis kenduri perkahwinan, jika dijemput, adalah satu kewajipan. Berdasarkan hadis Rasulullah, kalangan ulama menghuraikan dengan panjang lebar mengenai jenis kenduri dan hukum menghadirinya sama ada wajib, makruh, haram atau harus.

Pada umumnya, kenduri terbahagi kepada dua jenis, iaitu kenduri kahwin dan bukan kenduri kahwin seperti kenduri atau jamuan kesyukuran atau jamuan hari raya.

Menghadiri jemputan dan undangan kenduri kahwin adalah fardu ain, iaitu wajib ke atas setiap individu yang diundang. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim bermaksud:

"Apabila seorang daripada kamu diundang menghadiri kenduri kahwin, maka hendaklah dia menghadirinya."

Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya."

Berdasarkan hadis sahih itu, jelas menunjukkan bahawa menghadiri jemputan dan undangan kenduri perkahwinan hukumnya wajib.

Bagaimanapun, kalangan ulama berpendapat bahawa hukum wajib itu bergantung kepada syarat-syarat tertentu.

Pertama: Yang menjemput atau mengadakan kenduri perkahwinan itu orang Islam.

Kedua: Orang yang dijemput adalah me-nyeluruh tanpa mengira bulu atau kedudukan, yakni tidak membeza-bezakan yang kaya dan miskin.

Ketiga: Jemputan ke majlis perkahwinan itu dibuat secara khusus kepada setiap orang bukan secara umum, sama ada dengan cara menemuinya, melalui kad jemputan atau melantik wakil untuk menjemputnya. Sekiranya jemputan dibuat secara umum seperti berkata atau membuat iklan menjemput penduduk sesuatu tempat itu ke majlis itu, maka tidak wajib menghadiri jemputan berkenaan.

Keempat: Pada lahirnya segala perbelanjaan untuk mengadakan majlis itu daripada wang yang halal.

Kelima: Tidak terdapat di majlis itu orang yang menyakiti orang yang dijemput.

Keenam: Tidak ada di majlis itu sesuatu yang mungkar seperti arak atau majlis tari menari yang haram.

Ketujuh: Tidak ada jemputan yang lebih awal daripada itu.

Kelapan: Tiada sebarang keuzuran yang menghalangnya hadir.

Kesimpulannya, hukumnya wajib atas setiap orang yang mendapat jemputan ke majlis kenduri perkahwinan untuk menghadirinya jika tidak terdapat satu daripada perkara yang bercanggah dan bertentangan dengan syarat-syarat yang disebutkan.

Dengan menghadiri jemputan itu, kita dapat mengeratkan hubungan silaturrahim serta dapat menambah serta memupuk kemesraan, kerjasama, bantu membantu dan mengukuhkan perpaduan sesama kita.

Kalau dalam sehari ada dua tiga jemputan, seboleh-bolehnya hendaklah menghadiri jemputan itu. Kalau tidak, hendaklah hadir ke majlis jemputan yang lebih awal diterima.


Dah habis cuti sekolah, tamatlah musim kenduri. Lepas nie adalah juga cam kata P. Ramlee kadang-kadang ja. Semoga kerja kemduri yang dilakukan mendapat keberkatan.

1 comment:

  1. Pernah jugak ustaz tegoq dalam kuliah ..orang2 yang menydiakan makanan utk kenduri ni kena jaga mulut..sebab setiap umpatan dan kataan tu "masuk" dalam makanan. Lepas tu semua orang makan.

    ReplyDelete