Menjamu Selera di Puncak Mutiara Cafe
BUKIT MERTAJAM 17 Mac - Apabila mendengar cerita rakan-rakan tentang restoran di ladang kambing, penulis tertanya-tanya apa istimewanya menjamu selera di kawasan berbau hamis itu.
Namun sebaik menjejakkan kaki ke Puncak Mutiara Cafe di Kampung Pelet dekat sini, hati penulis mula tertawan dengan suasananya yang menarik dan mendamaikan.
Restoran milik penuh Mutiara Kristal Corporation Sdn. Bhd. itu dibuka sejak 2008 dan berkeluasan lebih dua hektar meliputi pusat ternakan kambing, kolam memancing ikan dan kawasan tanaman.
Ia beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 2 pagi dan menawarkan pelbagai jenis hidangan sama ada makanan ala kampung, ala Thai, Barat dan Cina.
Menurut pengurusnya, Shukri Hussain, sesuai dengan suasana terletak di kawasan ternakan kambing yang mula beroperasi sejak enam tahun lalu, pastinya hidangan istimewa adalah berasaskan daging kambing.
"Selain itu kami juga menyediakan beberapa menu hidangan ayam kampung dan burung puyuh yang dipelihara sendiri di kawasan ini," katanya.
Tambah Shukri, apa yang istimewa di Puncak Mutiara Cafe adalah suasana tempat makan yang berkonsepkan pondok dan pelanggan boleh memilih beberapa jenis pondok yang disediakan.
Jelasnya, terdapat 76 pondok dan tempat makan dengan konsep bersila, pangkin, meja bulat dan meja batu di sediakan di situ.
Lebih menarik pondok-pondok itu dinamakan dengan nama baka kambing seperti Boer, Jamnapari, Dopper, Faral, Kalahari, Saanen dan Kadjang.
"Konsep pondok ini lebih digemari pelanggan kerana menimbulkan suasana santai dan romantis bagi mereka yang datang berpasangan selain menimbulkan nostalgia cara hidup Melayu masa lampau.
"Itulah yang membuatkan restoran ini istimewa di hati pelanggan dan mereka akan terus datang untuk kali kedua dan seterusnya," ujarnya.
Malah jelasnya, Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas yang pernah beberapa kali mengunjungi restoran ini memuji konsep yang ditampilkan itu.
Ditanya sejarah pembukaan restoran itu, Shukri memberitahu, ia bermula apabila pelanggan yang datang membeli kambing mahukan tempat makan untuk mereka melepaskan lelah.
Katanya, ramai pelanggan datang dari luar Pulau Pinang malah ada dari Kuala Lumpur, Melaka serta Johor dan mereka menghabiskan sehari suntuk untuk memilih kambing-kambing yang dibekalkan di situ.
"Atas desakan mereka, kami membina dua pondok yang menyediakan hidangan teh tarik dan juga mi goreng untuk hidangan mereka.
"Bermula dari situ, kami mula membina lebih banyak pondok dan hasilnya, wujudlah Puncak Mutiara Cafe yang pertama seumpamanya di negara ini," katanya.
Antara kemudahan yang disediakan di restoran itu selain pondok adalah bilik berhawa dingin termasuk kemudahan karaoke, surau dan tandas yang selesa serta tempat letak kereta.
Selain itu terdapat kolam ikan yang membolehkan pelanggan memancing sendiri ikan-ikan seperti baung, patin, rohu, talapia, keli dan pacu.
"Pelanggan boleh menyewa joran dengan caj RM5 sehari dan ikan yang ditangkap boleh dibeli dengan harga yang amat berpatutan dan lebih murah daripada harga pasaran.
"Pelanggan juga boleh menikmati buah-buahan seperti rambutan, nangka, durian dan dokong dengan harga yang berpatutan pada musim buah-buahan," kata Shukri lagi.
Mengenai kandang kambing yang menjadi nadi utama Puncak Mutiara Cafe, Shukri menjelaskan kini terdapat hampir 800 ekor kambing pelbagai jenis dipelihara di situ.
Kambing-kambing itu diimport dari Australia dan Indonesia untuk pasaran tempatan dan menjadi pilihan untuk kenduri-kendara serta korban dan akikah.
"Harga yang kami tawarkan untuk kambing-kambing ini amat berpatutan dan pelanggan boleh memilih untuk membawa pulang kambing hidup atau menyembelihnya di sini," katanya.
Pelanggan yang ingin menjamu selera di Puncak Mutiara Cafe digalakkan membuat tempahan awal melalui telefon atau laman web mereka www.puncakmutiara.com kerana ia sentiasa penuh terutama pada hujung minggu dan musim cuti.
***Petikan dari Utusan Online pada 13/3/2010***
P/s: nanti akan aku pi ke sana
No comments:
Post a Comment