Aku bukan nak tulis mengenai hadiah hari guru atau aktiviti yang akan dilakukan. Disini aku nak tulis mengenai aktiviti hujung minggu pelajar. Boleh kata kebanyakan cuti hujung minggu pelajar dihabiskan dengan pelajaran seperti kelas tambahan, kelas mengaji al-quran dan sebagainya. Semuanya menjuruskan kepada kecemerlangan pelajar.
Ada juga aktiviti hujung minggu yang disertai sekali atau dua kali sahaja dalam setahun. Contohnya kem motivasi, kem kerohanian dan sebagainya. Ada lagi satu kem atau seminar yang pelajar amat berminat termasuk ibu bapa iaitu seminar yang dikhususkan kepada peperiksaan seperti UPSR,PMR dan SPM. Seminar ini dilakukan dalam sehari atau dua hari sahaja. Berbagai nama diberikan kepada seminar ini seperti Seminar Kecemerlangan, Seminar Pecutan A+, Seminar Bestari dan sebagainya. Nama seminar mesti bombastik.
Pelajar hadir seminar. |
Dalam seminar tersebut pelajar diajar subjek yang sama seperti disekolah tetapi diberi nafas baru dan didedahkan dengan berbagai teknik pantas dan mudah untuk mengingati fakta, mengeluarkan fakta, menyelesaikan masalah, penghuraian, menjawab soalan dan sebagainya. Matapelajaran yang setahun diajar disekolah dapat disiapkan dalam masa beberapa jam sahaja. Yang penting sekali diakhir setiap matapelajaran pelajar akan diberikan soalan ramalan. Horeyyyy tak payah baca banyak-banyak, cuma tumpukan kepada beberapa bahagian sahaja ~ macam berjudi dengan nasib pula.
Ini kisah yang aku dapat kat sebuah seminar. Sebelum seminar bermula aku sembang dengan seorang tenaga pengajar disitu. Diberitahu dia datang dari KL dan semua tenaga pengajar pun cikgu sekolah di KL juga. Penang dah ketandusan tenaga pengajarkah? Bukan. Inilah kecantikannya, memberikan warna yang baru kepada pelajar dimana mereka mendapat ilmu dari sudut pandangan guru yang berlainan ~ bosan juga dok dengaq bahasa utara nie, ulaq melingkaq ataih pagaq. Mungkin guru-guru di Penang ada yang membuat seminar di KL pula. Ada seorang cikgu habis sahaja mengajar lebih kurang jam 12 tengahari akan bertolak balik ke KL sebab ada kelas lagi pada jam 4 petang disana. Esoknya akan manjalankan kerja hakiki mengajar di sekolah pula. Begitu sebok sekali.
Dalam seminar ini disamping teknik-teknik yang disampaikan, suasana, sistem bunyi dan visual amat dititik beratkan. Kadang-kadang seperti sebuah konsert. Dimana ada ketikanya kedatang cikgu di iringi dengan muzik tema, lampu digelapkan dan pengenalan cikgu menggunakan multimedia, pelajar pula memberi tepukan gemuruh bagai seorang bintang popular. Lokasi kelas juga memainkan peranan dimana untuk menaikkan aura pembelajaran dipilih IPT, seolah memberi inspirasi kepada pelajar. Tak merasa aku ketika bersekolah dulu-dulu.
Guru yang mengajar pula bagai mempunyai aura menarik perhatian pelajar dengan gaya mengajar yang matap. Bicara, jenaka, nasihat dan arahan disampaikan dengan yakin dan jelas dibantu dengan penggunaan berbagai media pengajaran dan pelajar seperti mendapat suatu keyakinan baru dalam pembelajaran. Boleh kata seolah-olah pakar motivasi yang berceramah.
Persoalnnya? ~ buatlah macam ada gema sikit. Adakah teknik belajar, teknik mengeluarkan fakta, teknik menghurai, teknik meringkas, teknik menjawab soalan dan berbagai teknik ini tidak diajar disekolah? Kenapa perlu ada pihak lain yang menyampaikan kepada pelajar (walau yang membuat seminar itu juga seorang guru sekolah)? Jika tidak ada, kenapa sistem pembelajaran di sekolah tak dapat menyerapkan teknik ini? Adakah teknik-teknik ini ada hak ekskusif tertentu?
Perlu difikirkan juga, adakah guru-guru yang mengajar berbagai teknik ini di seminar mengaplikasikan juga kaedah tersebut kepada pelajarnya di sekolah atau adakah ia juga seperti guru-guru lain yang mengajar seperti kehendak kementerian dan menggunakn kebolehannya untuk seminar berbayar sahaja? Tak boleh disalahkan guru-guru tersebut, mungkin teknik yang diperolehinya datang dari penat lelah beliau sendiri dan mungkin juga bukan percuma.
Berbagai teknik pembelajaran yang baru dengan penggunaan alat bantuan mengajar terkini seperti multimedia telah dipelopori (gaya penyampaian guru yang menarik pun memainkan peranan). Profesor dan doktor dalam bidang pengajaran di universiti perlu digembling untuk menghasilkan kaedah pengajaran yang berkesan bersesuain dengan zaman yang semua nak cepat. Teknik konvensional perlulah diubah mengikut aliran semasa. Biar guru-guru dan sekolah menjadi hub ilmu utama tak perlulah mengorbankan masa untuk mencari dari sumber lain ~ benda yang sama kaedah yang berlainan. Betepatan dengan tema Hari Guru tahun ini Guru Malaysia : 1Aspirasi, 1Agenda.
Biarlah pelajar mempunyai masa untuk aktiviti lain dihujung minggu. Kita bukan lahirkan robot tetapi manusia yang mempunyai berbagai deria. Ambil kata-kata dari iklan MILO " Hak bermain, hak kami". Biar masa terluang mereka di penuhi juga dengan aktiviti riadah, berkawan, kemasyarakatan dan sebagainya. Ini juga ilmu berguna dalam kehidupan.
Akhir sekali saya ucapkan selamat Hari Guru kepada semua guru-guru dan sesiapa sahaja yang menurunkan ilmu yang berguna kepada orang lain. Tidak ada apa balasan yang setimpal dengan ilmu yang diberikan hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa kalian.
***** Guru Malaysia : 1Aspirasi, 1Agenda *****
No comments:
Post a Comment