Ni tek ucapan penuh PM kita:
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat wal afiat.
1. Sudah agak lama saya tidak muncul di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memberikan maklumat dan pesanan mengenai situasi terkini COVID-19 di negara kita.
2. Saya percaya sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP dilaksanakan pada 10 Jun 2020, saudara-saudari telah dapat kembali menjalani kehidupan hampir seperti biasa seperti keluar bekerja, berniaga, mengunjungi pusat- pusat membeli-belah dan beriadah bersama keluarga.
3. Selepas larangan rentas negeri ditarik balik, saya perhatikan ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman dan bercuti di dalam negara.
4. Saya sendiri pun pulang ke Muar bersama keluarga beberapa minggu yang lalu. Sempat jugalah saya sekeluarga menikmati asam pedas Muar yang agak popular.
Sambil itu saya perhatikan ramai pelanggan mengunjungi restoran, pusat-pusat membeli belah, pusat penjaja dan kedai-kedai. Keadaan ini amat berbeza sekali berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
5. Saya juga diberitahu hotel-hotel dan tempat-tempat penginapan di seluruh negara menerima banyak tempahan daripada para pengunjung. Ini kita fahamlah kerana hampir tiga bulan berkurung di rumah, ramai dalam kalangan saudara-saudari yang mengambil kesempatan untuk bercuti bersama keluarga. Lebuhraya utama di negara kita juga kembali sesak dengan kenderaan terutamanya di hujung minggu.
6. Ini satu petanda yang baik. Sektor-sektor ekonomi di negara kita yang terjejas akibat COVID-19 sudah mula rancak dan insyaAllah sekiranya trend ini berterusan, ekonomi negara kita dapat pulih dengan lebih cepat.
7. Bantuan-bantuan kerajaan juga telah banyak yang disampaikan. Sehingga hari ini sejumlah RM11.14 bilion telah disalurkan kepada 10.4 juta penerima Bantuan Prihatin Nasional. 1.4 juta pemandu e-hailing telah menerima elaun tunai RM500 dengan jumlah keseluruhan RM34 juta. Seramai 477 ribu pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas telah menerima elaun tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM28.8 juta. 7.7 juta pengguna menerima diskaun 50 peratus bayaran bil elektrik TNB dengan nilai keseluruhan RM312.32 juta dan 1.4 juta pengguna menerima diskaun 15 peratus dengan nilai keseluruhan RM185.75 juta. 65 peratus isi rumah telah menerima manfaat morotarium bayaran balik pinjaman bank dengan nilai keseluruhan RM38.4 bilion.
8. Dari segi bantuan untuk para usahawan, seramai 545 ribu usahawan mikro telah menerima Geran Khas Prihatin dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion. 7 ribu orang menerima kemudahan kredit mikro BSN dengan nilai keseluruhan RM247 juta dan lebih 23 ribu orang menerima kemudahan kredit mikro TEKUN dengan nilai keseluruhan RM177 juta.
9. Subsidi upah bernilai RM7.4 bilion juga telah disalurkan. Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada 834 ribu majikan dan 6.7 juta pekerja di seluruh negara.
10. Saya percaya ramai dari kalangan saudara dan saudari yang terjejas dengan wabak COVID-19 telah sedikit sebanyak menerima manfaat daripada bantuan- bantuan kerajaan. Bantuan-bantuan ini adalah bersifat sementara untuk membantu saudara-saudari menjalani kehidupan dalam keadaan yang sukar. Yang lebih penting ialah bagaimana kita semua dapat keluar daripada krisis dan memulihkan keadaan kesihatan rakyat dan ekonomi negara kita dengan kadar yang segera.
Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,
11. Saya sentiasa memantau keadaan terkini pandemik COVID-19. Wabak ini masih belum berakhir. Kebanyakan negara luar masih mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi. Sehingga semalam, hampir 14.5 juta orang telah dijangkiti virus COVID- 19 di seluruh dunia dengan lebih 600 ribu kematian dicatatkan.
12. Walaupun kes COVID-19 kekal rendah di negara kita, saya agak bimbang dengan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh PKPP. Contohnya Kluster Restoran Kuala Lumpur dalam kalangan pekerja restoran yang dilaporkan sejak 6 Julai 2020 dan Kluster Stutong yang bermula sejak 18 Julai 2020.
13. Selain itu, sejak 7 Julai 2020, terdapat empat kluster baharu yang dikesan berpunca dari mereka yang pulang dari luar negara iaitu Kluster di Sarawak sebanyak 3 kes, Kluster di Melaka 5 kes, Kluster di Terengganu 3 kes dan Kluster di Kuala Lumpur 2 kes.
14. Lebih membimbangkan saya, kes positif COVID-19 telah kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari yang lalu.
15. Situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh kita semua. Saya pasti saudara- saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan lock down sekiranya kes-kes COVID-19 meningkat dengan mendadak. Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu.
16. Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Ekonomi negara kita terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan. Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam kedaan lock down seperti itu.
17. Sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula PKP, impaknya kepada ekonomi amat besar. Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.
18. Ia juga akan menidakkan usaha-usaha Kerajaan, sektor swasta dan NGO di bawah Pakej PRIHATIN dan PENJANA yang bertujuan untuk memulih dan menjana semula ekonomi. Harus diingat bahawa Kerajaan sudahpun mengumumkan pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN Tambahan dan PENJANA yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini. Lebih 2.75 juta pekerjaan telah berjaya diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja.
19. Selain itu, lebih 800 ribu perniagaan, termasuk perniagaan mikro dan PKS, telah menerima manfaat daripada pakej-pakej rangsangan ini. Pakej-pakej PRIHATIN dan PENJANA dianggarkan menyumbang lebih 3 peratus kepada pertumbuhan KDNK negara pada tahun ini
20. Sekiranya PKP terpaksa dikuatkuasakan semula, antara impaknya termasuklah unjuran pertumbuhan KDNK yang dijangka pada tahun 2021 mungkin tidak akan tercapai. Perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran di tahap 5.3 peratus bagi bulan Mei 2020 boleh meningkat secara mendadak. Ini adalah suatu keadaan yang mesti kita elakkan.
21. Jadi, apa yang mesti kita buat?
22. Seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini, kejayaan kita memerangi COVID-19 dalam fasa pemulihan ini adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Ia bergantung kepada kesedaran kita, sikap kita dan amalan kita.
23. Amalan kebiasaan baharu atau new normal mesti kita teruskan. Jangan kerana kes-kes COVID-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Pakai lah. Jangan tak pakai.
24. Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak anda sekurang- kurangnya satu meter dari orang lain. Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan.
25. Saya selalu berpesan supaya saudara-saudari semua elakkan berjabat tangan. Saya tengok sekarang dah ada yang bukan sahaja berjabat tangan, malah berpeluk ketika berjumpa sahabat-handai dan sanak-saudara.
26. Ya, itu bagus untuk eratkan persahabatan dan persaudaraan. Tetapi jangan kita lupa. Kita masih berada dalam fasa pemulihan COVID-19. Jadi amalan-amalan ini walaupun baik dari segi pergaulan sosial, namun ianya amat tidak baik dari segi usaha kita untuk melindungi diri sendiri dan orang-orang di sekeliling kita daripada dijangkiti virus COVID-19.
27. Memandangkan kes-kes positif COVID-19 banyak berlaku dalam kalangan mereka yang pulang atau tiba dari luar negara, Kementerian Kesihatan Malaysia terus memperkukuhkan kawalan di pintu masuk antarabangsa negara. Antara langkah- langkah yang diambil ialah melakukan saringan suhu badan dan gejala jangkitan saluran pernafasan semasa ketibaan, menyemak keputusan saringan PCR COVID-19 yang dilakukan tiga hari sebelum pelawat berlepas ke Malaysia, merujuk kes yang bergejala atau dikesan positif COVID-19 ke hospital, mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah di bawah seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari, memastikan setiap orang yang tiba di Malaysia memuat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera, mewajibkan mereka memakai gelang tangan dan memastikan mereka menjalani ujian pengesanan COVID-19 pada hari ke-13 kuarantin di rumah sebelum diberi pelepasan pada hari ke-14.
28. Saya juga hendak mengingatkan saudara-saudari yang pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dengan penuh berdisiplin. Duduk di bilik yang berasingan dari ahli keluarga yang lain dan jangan sekali-kali keluar dari rumah sepanjang tempoh kuarantin. Anda juga mesti melakukan penilaian status kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala, maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dengan segera. Sekiranya anda gagal mematuhi arahan pengasingan ini, penalti boleh dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika disabitkan kesalahan.
29. Jika perlu, kerajaan akan menempatkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara di pusat-pusat kuarantin untuk mengawal kes-kes import dengan lebih berkesan. Penguatkuasaan undang-undang juga akan ditingkatkan dengan denda yang lebih berat akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
30. Kerajaan juga sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam. Perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.
31. Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP ini, setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners. Ahli keluarga dan anggota masyarakat mestilah sentiasa nasihat-menasihati dan ingat- mengingati antara satu sama lain.
32. Ibu-bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah. Ingatkan mereka supaya jaga penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain- lain. Ingatkan mereka setiap hari. Tak mengapalah kalau dikata berleter pun kerana ini amat penting. Ini kerana kita semua sayangkan keluarga kita.
33. Di tempat kerja, majikan mesti sentiasa ingatkan pekerja supaya patuhi SOP yang ditetapkan. Sentiasalah pantau pekerja anda. Letakkan notis atau peringatan mengenai SOP yang perlu dipatuhi di tempat yang mudah dilihat.
34. Di sekolah, pengetua, guru besar, guru-guru, pengawas dan ketua kelas perlu memainkan peranan yang lebih proaktif. Ingatkan murid-murid dan rakan-rakan anda supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial dan patuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
35. Saya juga nak mengingatkan Ketua-Ketua Kampung, Imam-Imam dan Ketua Komuniti supaya jaga komuniti masing-masing. Ketua Kampung bersama ahli-ahli jawatankuasa kampung misalnya boleh buat lawatan atau rondaan ke tempat-tempat yang sering dikunjungi oleh penduduk kampung masing-masing. Samada di kedai kopi, restoran, pasar pagi atau kedai-kedai menjual barangan keperluan harian. Nasihati mereka supaya memakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial.
36. Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kita akan dapat melalui fasa PKPP ini dengan jayanya.
37. Kita baru sahaja melihat kesan positif daripada tindakan tegas kerajaan dan disiplin rakyat yang tinggi semasa tempoh PKP dilaksanakan. Ekonomi negara kita telah mula rancak kembali dan kita juga telah dapat menikmati semula kehidupan kita dengan mengamalkan kebiasaan baharu.
38. Namun, jangan kita lalai dan alpa. Saya nak mengingatkan sekali lagi pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Jadi sama-samalah kita beristiqamah dalam mengekalkan kejayaan kita melawan wabak COVID-19.
39. Saya doakan semoga kita semua kekal sihat, kekal sejahtera dan kekal aman bahagia.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
No comments:
Post a Comment