PUO - Terima Anugerah Emas Inovasi Nuklear M'sia

PUO Terima Anugerah Emas

Oleh ASLIZA MUSA

utusanperak@utusan.com.my

Sekumpulan tenaga pengajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik
Politeknik Ungku Omar yang memenangi tempat ketiga
pada pertandingan Innovation Conference 2011.
IPOH 2 Ogos - Politeknik Ungku Omar (PUO) muncul juara dan menerima anugerah emas bagi ketegori jemputan pada pertandingan Inovasi Nuklear Malaysia 2011 yang berlangsung di Agensi Nuklear Malaysia baru-baru ini.

PUO yang menghantar pasukan yang diwakili Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) berjaya mengatasi lima pasukan lain yang bertanding iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pertandingan yang merupakan anjuran Agensi Nuklear Malaysia itu berlangsung selama empat hari bermula 18 hingga 21 Julai 2011.

Pensyarah penasihat PUO bagi pertandingan itu, Zulkarnain Jamak berkata, pertandingan tersebut merupakan penyertaan kali pertama PUO selain menjadi satu-satunya politeknik yang menyertai pertandingan yang saban tahun diadakan itu.

Katanya, pelbagai usaha dan idea telah disumbangkan bagi memberi pembaharuan dalam penghasilan produk inovasi nuklear yang berkualiti dan berdaya saing.

"Pertandingan ini menguji kemampuan fizikal, mental dan keupayaan pelajar JKM kerana mereka perlu bersaing dengan peserta lain yang mempunyai pengetahuan luas dalam kajian nuklear.

"Namun, ia bukan halangan malah menjadi penguat semangat kepada pelajar selain dijadikan sebagai permulaan untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin berkenaan teknologi ruang udara dan berkaitan nuklear," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Zulkarnain berkata, dalam pertandingan itu, pasukan PUO telah dinilai oleh barisan juri dari Agensi Nuklear Malaysia.

Katanya, penerangan dan sesi soal jawab berhubung objektif dan matlamat produk yang dihasilkan telah diterangkan kepada juri berdasarkan tema pertandingan itu iaitu inovasi nuklear.

"Pertandingan ini sangat sengit bagi PUO yang tidak mempunyai pengalaman menyertai pertandingan seperti ini, namun ia berjaya diatasi dengan adanya sokongan padu daripada pelajar dan tenaga pengajar PUO yang terlibat," katanya.

Sementara itu, sekumpulan tenaga pengajar dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik berjaya memenangi tempat ketiga pada pertandingan Innovation Conference 2011 (INNOCONF2011) baru-baru ini.

Kumpulan yang dinamakan K-Bistari itu diketuai Kamarul Mohsin Ahmad dan diseliakan oleh Atikah Bakar.

Mereka turut dibantu Asmah Mustapa, Izwah Ismail, Noraini Harun, Azhar Jaffar, Khamsiah Ishak, Norkiah Mat Zaki dan Nor Sa'adah Mahmor.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Hasmiza Hussin berkata, pada pertandingan itu, K-Bistari telah menghasilkan produk Alat Pengujian Papan Litar Bercetak (Probatt) yang mengetengahkan inovasi dalam membantu proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).

Katanya, program yang berlangsung selama dua hari bermula 12 hingga 13 Julai itu telah diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dan merupakan anjuran EduXplore Sdn. Bhd. dan Prominent Line Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) serta Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI).

"Produk ini dihasilkan bagi membantu pensyarah di dalam makmal dengan fungsi utama menguji sambungan litar di antara lubang-lubang protoboard dalam jangka masa yang singkat dan fleksibel.

"Selain itu, ia juga mempunyai fungsi tambahan iaitu untuk menguji tahap kekuatan tenaga bateri di antara 1.5 dan 9 voltan," katanya.

Hasmiza berkata, beberapa diod pemancar cahaya (LED) digunakan sebagai penunjuk aras tahap kekuatan bateri dan juga keterusan litar protoboard.

"Probatt ini direka supaya mudah dibawa dan juga mesra pengguna," katanya.

***petikan dari Utusan Online pada 3hb Ogos 2011***

No comments:

Post a Comment