Awal Ogos ini terbaca akhbar mengenai pertikaian kontrak yang diberikan kepada kontraktor Bumiputra ( Melayu ). MCA membidas DAP tentang jumlah kontrak yang diberikan kepada Kontraktor Cina amat kurang berbanding dengan Bumiputra di Pulau Pinang.
Pendapat aku saja, perkara kontrak ini tak perlu dipertikaikan sebab kebanyakan kontrak yang diberikan kepada Kontraktor Bumiputra akan di Ali Baba kan. Banyak syarikat Bumiputra hanya ada Bos dan kerani saja untuk mengangkat talifon dan ada juga tak ada pejabat hanya menggunakan alamat kediaman sahaja. Dialah bos dan dialah kerani. Apabila dapat projek semua di sub ke kontraktor lain, dia goyang kaki tunggu duit masuk ambil komisen. Kalau datang mesyuarat projek, apa pun tak tau. Tapi cerdik sebab dia bawa sub-kontraktor. Yang sub nie lah yang tolong jawab. Syarikat mana yang di sub kan projek, sendiri mau ingat la.
Jika di sub kepada kontraktor bumiputra juga OKlah. Tapi di sub kepada kontraktor bangsa lain. Mungkin kontraktor utama pun tak percaya dengan keupayaan bangsa sendiri. Jadi kalau kontraktor bumiputra mendapat banyak projek pun akhir sekali projek itu di jalankan oleh kontraktor bangsa lain juga.
Jika kontraktor bumiputra melaksanankan sepenuhnya kontrak yang diperolehi, ini akan meningkatkan ekonomi bumiputra sebab duit yang didapati dapat menyuap mulut-mulut pekerja bawahannya. Jika di sub ke kontraktor bangsa lain siapa yang untung ? yang pasti seorang bos bumiputra yang goyang kaki dan yang selebihnya sub kontraktor. Kita lihat kontraktor bangsa lain, jika mereka dapat kontrak, berapa banyak yang di sub kepada kontraktor bumiputra. Cuba tanya diri sendiri.
Aku bukan anti Cina atau anti Bumiputra / Melayu tapi aku tulis dari pemerhatian dan rasa prihatin supaya kontraktor Bumiputra menggunakan peluang sepenuhnya untuk meningkatkan kebolehan, bukan goyang kaki hanya pandai berpolitik. Bukan setakat Pulau Pinang saja tetapi seluruh negara.
Walau bagaimana punTak semua kontraktor begitu, banyak juga yang menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing untuk mendapat projek dan sub secara beretika.
Kat bawah nie aku cut and paste berita tender-tender yang menjadi pertikaian antara DAP & MCA.
*** Petikan Utusan Online pada 7hb Ogos 2011 ***
Tender: MCA selar DAP
Oleh LEE HOOI BOON
pengarang@utusan.com.my
PULAU PINANG 6 Ogos - MCA menyelar tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang hanya memberikan tender kepada dua kontraktor Cina sedangkan jumlah projek ditawarkan sebanyak 968 buah bernilai RM125 juta.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, tindakan itu seolah-olah menunjukkan kontraktor Cina tidak mempunyai daya saing setanding kontraktor Melayu.
"Kami mengucapkan 'tahniah' kepada kerajaan negeri kerana hanya dua kontraktor Cina berjaya mendapat tender daripada keseluruhan 968 projek.
"Mungkin kami kena buat kesimpulan iaitu kontraktor bukan Melayu di negeri ini tidak kompetitif," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA Pulau Pinang di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Wanita MCA, Tan Cheng Liang mendedahkan hanya 0.2 peratus kontraktor Cina mendapat tender daripada 968 projek kerajaan negeri.
*** Petikan dari Sinar Harian ***
'Jangan putar belit keadaan'
NIBONG TEBAL – “Jangan putar belitkan keadaan.” Itulah reaksi Ketua Wanita MCA Pulau Pinang, Tan Cheng Liang ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang membidas kenyataannya mengenai isu tender terbuka beberapa hari lalu.
Beliau berkata, mengapa isu perkauman perlu ditimbulkan sedangkan ia hanya berkisar mengenai pemberian tender kontrak.
“Jangan cuba nak putar belitkan keadaan,” katanya kepada media di kediamannya, semalam.
Menurutnya, dalam kenyataan kepada akhbar Cina pada 28 Julai lalu, Guan Eng memberitahu semua projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah tender terbuka dan tidak sama sekali menyebut bahawa projek itu adalah untuk kontraktor Kelas F atau Bumiputera.
“Ini jelas terbukti apabila tiada seorang pun golongan Cina mendapat tender berkenaan manakala bagi projek bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) pula, daripada 968 projek hanya dua atau 0.2 peratus sahaja golongan bukan Bumiputera mendapatnya iaitu masing-masing bernilai RM700,000 pada 2008 dan RM15,000 pada 2009.
“Ini adalah fakta daripada Guan Eng sendiri menerusi akhbar Cina dan sebab itulah kita mempertikaikan apabila dia memberitahu bahawa tender yang diberi adalah tender terbuka tetapi mengapa peratus bukan Bumiputera adalah sedikit,” katanya.
Cheng Liang bertanya kenapa keadaan itu boleh berlaku dan adakan itu menunjukkan kontraktor Cina Pulau Pinang bawah pimpinan Guan Eng sudah tidak berwibawa.
“Parti politik MCA tidak pernah mempertikaikan kebolehan kompetitif kontraktor Melayu. Jangan putar belitkan keadaan dan jangan libatkan kontraktor Melayu dalam perbahasan antara DAP dan MCA,” katanya.
Beliau berkata, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lagi, Guan Eng menghasut orang Cina agar tidak mengundi MCA kononnya ia tidak pandai menjaga kaum Cina tetapi sekarang lihatlah sendiri, apa yang sudah Guan Eng lakukan sejak memerintah Pulau Pinang.
“Kita tak pernah berniat mencetuskan isu perkauman dan kita sentiasa amalkan konsep kongsi kuasa Barisan Nasional (BN) tetapi apa yang dimahukan ialah jawapan yang boleh merungkai kekeliruan,” katanya.
*** Petikan dari Berita Harian ***
Persatuan kontraktor bidas MCA kerana hina Melayu
Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang mendakwa MCA menghina kemampuan dan keupayaan kontraktor bumiputera apabila parti itu mempertikaikan pemberian kontrak kepada mereka.
“Nampaknya MCA begitu jahil sekali kerana tidak faham istilah tender terbuka yang membenarkan semua kontraktor tanpa mengira kaum dan agama bersaing untuk projek kerajaan negeri, termasuk yang melebihi harga RM200,000.00 dan memilih yang paling baik dari segi harga dan kualiti.
“Dengan hanya mempertikaikan pemberian kontrak kepada Melayu, adakah MCA bersifat perkauman dengan memandang rendah keupayaan kontraktor Melayu yang dianggap tidak setaraf atau sebaik dengan kontraktor lain?” kata pemangku yang dipertua persatuan itu Datuk Izham Merican dalam satu kenyataan media.
Sebaliknya, beliau memuji dan menyanjungi ketua menteri Lim Guan Eng (kiri) yang bersikap profesional tanpa mencampur aduk politik dan kaum dalam usaha membantu rakyat, di samping sering menyatakan pendirian berdasarkan fakta dan maklumat yang benar.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Wanita MCA Pulau Pinang Tan Cheng Liang kerana menuduh Lim sebagai anti-Cina semata-mata kerana kerajaan negeri, di bawah sistem tender terbuka, telah meluluskan projek kepada kontraktor bumiputera.
Izham juga mengingatkan MCA supaya sedar bahawa dalam semua kaum ada golongan yang baik dan ada yang tidak sebegitu baik, termasuk dalam masyarakat Cina sendiri.
Secara adil
Katanya, dalam sistem tender terbuka, pemberian kontrak di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang dilakukan secara adil dan tidak mengenepikan kaum lain.
“Saya sebagai Timbalan Yang Dipertua dan Pemangku Yang Dipertua telah berjumpa dengan ketua menteri supaya membantu warga kontraktor Bumiputera di Pulau Pinang dan ini disambut baik oleh ketua menteri.
“Malah ahli-ahli persatuan saya amat menghargai pendekatan ketua menteri yang tidak mewajibkan sebarang kontrak kerajaan mesti mendapat kebenaran ketua bahagian parti seperti yang dibuat sebelum ini.
“Saya hendak mengingatkan bahawa isu penawaran kepada kaum bumiputera tidak harus dipolitikkan dan atau dijadikan isu perkauman,” katanya.
Menurut Izham, walau pun persatuannya mempunyai ahli-ahli dari berbagai-bagai parti, termasuk Umno, perjuangan mereka adalah khusus untuk membela warga kontraktor.
Katanya, banyak kontraktor Melayu telah gulung tikar dan pihaknya merayu kepada kerajaan pusat supaya dapat membantu menangani masalah itu.
“Seperkara lagi untuk makluman sekiranya kontrak ditawarkan kepada bumiputera, harus diingat bahawa kebanyakan pembekal-pembekal adalah bukan bumiputera dan golongan pekerja-pekerja juga kebanyakan bukan kaum bumiputera.
“Oleh itu, bagi tiap-tiap projek yang ditawarkan oleh pihak kerajaan kepada kontraktor bumiputera dengan cara tersendirinya memberi peluang kepada kaum-kaum lain,” katanya.
p/s: pendapat aku dari yang tak reti buat bisnes.
Boleh ta saya dapatkan no talipon kontraktor yg membuat papan tanda jalan di kawasan bayan lepas pulau pinang. Contact saya 012 4869336
ReplyDelete