PUO : Perodua Echo-Challenge 2009

Perodua Echo-Challenge 2009: PUO tewaskan 11 IPTA

IPOH 26 Jun - Politeknik Ungku Omar (PUO) mengangkat martabat politeknik apabila mengejutkan 11 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan menjuarai Kejohanan Perodua Echo-Challenge 2009 Peringkat Kebangsaan di Subang Jaya, Selangor pada Sabtu lalu.

Kejayaan tersebut membuktikan pengajian kejuruteraan di politeknik tidak kurang hebatnya berbanding IPTA di seluruh negara.

Lebih membanggakan, PUO merupakan wakil tunggal politeknik yang menyertai kejohanan anjuran bersama Perusahaan Otomobil Kedua Nasional (Perodua) dan Petronas itu.

Pada pertandingan tersebut, pasukan PUO yang diwakili 20 pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal mengungguli kategori Modifikasi Enjin Myvi 1.3 (penjimatan bahan api).

Pasukan tersebut menjadi pilihan juri selepas berjaya mengubah suai enjin kereta yang mampu mencatatkan jarak perjalanan sejauh 26 kilometer bagi setiap liter.

Dengan kemenangan itu, pasukan PUO membawa pulang piala serta hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

Ketua pasukan, Mohd. Azman Ibrahim berkata, kemenangan itu adalah di luar dugaan kerana mereka terpaksa bersaing dengan wakil IPTA seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) yang terkenal dalam bidang kejuruteraan.

''Kejayaan ini adalah hasil kerjasama serta kreativiti semua pelajar yang mewakili PUO dalam kejohanan ini," katanya ketika ditemui pada majlis makan malam bagi meraikan kejayaan pasukan tersebut di Dewan Serbaguna PUO di sini, baru-baru ini.

Mohd. Azman yang juga pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PUO berkata, dalam pertandingan itu, setiap pasukan diberikan sebuah kereta Perodua Myvi 1.3 beserta geran bernilai RM10,000 dan diminta mengubah suai enjin untuk menghasilkan penjimatan petrol.

''Kami telah melakukan banyak kajian khususnya pengubahsuaian pada bahagian penyerap hentakan, sistem brek dan suspensi minyak bagi menghasilkan penjimatan bahan api pada jarak jauh," katanya.

Sementara itu, Pengarah PUO, Mohamad Jayus Bunasir berkata, pencapaian pasukan berkenaan sangat membanggakan kerana pendedahan yang diterima pelajar terbabit kurang berbanding pelajar IPTA lain.

''Saya harap kejayaan ini dapat menarik minat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran di politeknik-politeknik di seluruh negara," katanya.


*** Berita petikan dari Utusan Online pada 27hb Jun 2009 ***

p/s: Berbangga aku jadi pelajar Politeknik Ungku Omar. Kerajaan sekarang dah beri pengiktirafan kepada beberapa universiti di Malaysia sebagai RU ( research universiti atau universiti penyelidikan ). Buat masa sekarang 4 buah universiti telah diiktiraf sebagai RU iaitu Universiti Sains Malaysia (tempat aku keja la nie), Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Adakah pada masa akan datang Kementerian Pelajaran boleh memberi pengiktirafan kepada institut pengajian seperti politeknik?. Mungkin boleh diiktiraf sebagai RI ( research institut atau institut penyelidikan ). Dimana dengan pengiktirafan ini boleh lah dana yang lebih besar diberikan kepada institut untuk mengembangkan penyelidikan. Politeknik-politeknik juga boleh berkembang sebagai tempat penyelidikan dan berkemungkinan berupaya memberi hasil yang baik untuk perkembangan negara.

No comments:

Post a Comment