Ex PUO 91-93 Gathering - Hari Kedua

Sambungan dari -->Ex PUO 91-93 Gathering - Hari Pertama

26hb Disember 2009 hari Ahad, merupakan hari kedua kami di Teluk Rubiah Resort. Pagi ini bermula dengan kami menyusuri ombak ditepi pantai. Menghirup udara segar Teluk Rubiah. Walau Teluk Rubiah tidak mempunyai sejarah dalam hidup aku tapi untuk hari ini dan kelmarin ia telah mengukir suatu sejarah. Sejarah yang mengetemukan semula kawan-kawan lama yang telah meninggalkan zaman menjadi pelajar di Politeknik Ungku Omar Ipoh pada tahun 1991 hingga 1993. Sudah 16 tahun berlalu.
Sambil menyusuri gigi air, kisah-kisah silam sentiasa berputar bersama deruan ombak menghempas pantai. Pasti hari ini apa yang akan dibualkan sama seperti semalam juga, tentang kisah-kisah lama. Tapi kisah-kisah ini merupakan sejarah yang tak akan luntur dan sentiasa segar dalam minda. Hari ini kisah-kisah itu pasti akan digilap lagi menjadi kenangan abadi.

Hampir setengah jam menyusuri pantai, kami ke khemah sama tempat seperti kelmarin. Sarapan dah disediakan. Hebat urusetia yang mengendalikannya. Semua perkara telah di diatur dengan baik. Terima kasih sekali lagi kepada Zurin dan Firdaus. Semua keluarga telah turun untuk menikmati sarapan.

Seperti semalam banyak perkara yang dibualkan. Kisah-kisah silam dan juga kisah-kisah yang diharapkan berlaku dimasa akan datang. Mengharapkan perjumpaan Ex PUO 91-93 ini akan berlaku lagi, insyaAllah.

Kali ini masa berbual tak boleh lama, anak-anak dah nak mandi laut, kelmari mandi tak puas sebab dah petang. Bukan kata anak-anak aku pun sama. Nak berendam puas-puas. Hampir ke tengahari baru aku dan yang lain naik. Puas rasanya mandi laut. Tamat lah acara untuk hari ini. Setiap keluarga berkemas barang-barang di chalet untuk pulang.

Untuk kali terakhir di Teluk Rubiah, kami berkumpul di bawah semula untuk bergambar dan bersalam-salaman.
Nombor-nombor talifon saling bertukar, insyaAllah kalau ada kelapangan boleh calling-calling.
Berbagai kenangan di Teluk Rubiah yang mengetemukan semula selepas 16 tahun tak berjumpa. Mungkin ketika sampai kesini kita mengadu sebab TV tidak ada, tuala lambat sampai, penghawa dingin yang panas, siling bocor dan lain-lain lagi. Tapi ketika ini perkara-perkara itu mungkin dah dilupakan, itu hanya perkara picisan. Ketika ini...Hanya kenangan manis yang dibawa bersama. Hanya perkataan terima kasih sahaja yang dapat diucapkan kepada kawan-kawan yang bersungguh-sungguh menjayakan perjumpaan ini. Hanya harapan dan semangat yang menggunung untuk mengulangi sejarah hari ini berlaku dilain tahun. Hanya mengharapkan kawan-kawan sentiasa berhubung.

Lihatlah slideshow yang aku buat ni...layann.


Boleh lihat gambar-gambar dari album dalam photobucket aku.

Sampai jumpa lagi dilain kali

No comments:

Post a Comment