Royal Belum - Tasik Temenggor : Masyarakat Orang Asli dan Air Terjun Sungai Kooi.

Errrrr alhamdulillah kenyang. Perut dah kenyang, lelap mata pon syoq. Kalau nak tidor balik rumah saja lah. Berada di Royal Belm ini hanya 2 hari, jadi kena penuhkan semaksimum mungkin. Semua diminta memakai pakaian yang bersesuain sebab ada aktiviti meredah hutan. Ok aktiviti yang pertama petang ini di Royal Belum ialah ke sebuah perkampungan orang asli.

Bersedia untuk menjelajah Tasik Temenggor.

Untuk perjalanan ini tidak menggunakan house boat, tapi disediakan dua buah bot kecil untuk membawa kami kesana. Mula-mula macam skima saja lepas tu berdesup laju. Dalam sejam dari kejauhan sudah ternampak satu kawasan dengan rumah-rumah. Bot berhenti, disini bertempatnya suku kaum Jahai di Kampung Sungai Kelewang.

Dari kejauhan ternampak perkampungan masyarakat Orang Asli kaum Jahai di Kampung Sungai Kelewang.



Disini kami adakan sedikit aktiviti bersama masyarakat Orang Asli dan di diberi sedikit ole-ole kepada mereka terutama untuk anak-anak. Masyarakat disini boleh kata mesra dengan pengunjung, mungkin mereka sudah biasa menerima tetamu luar. Anak-anak disini pun tak kekok berinteraksi dengan kami. Disamping itu bolehlah jalan-jalan sekitar perkampungan meraka.
Bermesra dengan anak-anak Masyarakat Orang Asli.

Melawat perkampungan Kampung Sungai Kelewang.
Bersih juga kawasan perkampungan ini. Kebanyakan rumah disini menggunakan buluh. Mungkin sumber buluh banyak disini, dapat dilihat dipersekitaran banyak tunggul-tungul rumpun buluh disini. Kehidupan mereka memang amat sederhana. Bekalan air dan elektrik jauh sekali. Penduduk disini ada yang beragama Islam.

Rumah disini kebanyakan dibina menggunakan buluh.

Bersama along kawasan.


Penduduk disini juga ada seperti persatuan. Sebelum pulang hulurkanlah sedikit sumbangan untuk ekonomi mereka. Oklah kita tinggalkan dulu perkampungan ini. Ada satu lagi tempat singgahan iaitu Air Terjun Sungai Kooi. Perjalanan kesebuah kawasan dalam 30 minit perjalanan. Turun sahaja dari bot, terlihat banir pokok dah terkejung menongkat langit berhampran dengan bot. Pakat-pakat bergambar disitu dulu. Macam-macam gaya dok ada.


Ini bukan sebarang akar. Sunggu berseni. Semasa hidup entah berapa puluh meter tinggi pokok ini.


Nak bergambar apa apa gaya pun kena cepat sebab kena bergerak cepat ke Air Terjun Sungai Kooi sebab sudah petang. Rimbunan pokok hutan yang tebal menyebabkan suasana menjadi cepat gelap. Jadi sebelum gelap jom jalan.

Selamat Datang Ke Sungai Kooi, Royal Belum.

Tuuu dia jumpa lagi. Kali ini pokok hidup, entah berapa umurnya. Pokok Medang, memang besar.




Sambil jalan sambil menikmati keindahan alam.

Jauh juga perjalanan kedalam hutan, tetapi laluan tidak sukar. Tak berapa lama sampai juga ke Air Terjun Kooi. Sebuah air terjun yang cantik berbaloi bersusah datang kesini tetapi sayang tak boleh mandi sebab airnya cetek sahaja. Disini sesuai menikmati keindahan air terjun dengan alam semulakadi sahaja. Bolehlah bergambar tak ingat dunia.

Air Terjun Sungai Kooi



Air Terjun Sungai Kooi



Sebelum balik, selfie dulu dengan akar pokok.

Acara menjelajah selesai untuk hari ini. Jom balik. Alhamdulillah makan petang dah tersedia. Kalau tak silap bubur kacang dengan roti. Ringkas sahaja tapi bila makan sambil menghadap tasik jadi sedap tak boleh bawa bincang.
Sungguh berselera makan sambil menikmati pemandangan tasik.



Ada yang bawa joran. Tapi sampai aku balik tak naik sekor pun. Menurut tuan bot, untuk memancing meraka ada pekej lain. Sebab untuk yang kaki pancing mereka ada port lain untuk berlabuh yang sesuai untuk memancing.

Rehat sebentar, sambung lagi dengan aktiviti lain pula. Dah dikeliling dengan air apa lagi di buat aktiviti airlah. Disediakan rakit buloh. Syok oooo dapat berendam.

Bolehlah tunjuk skil mendayung. Aku dayung terus kedepan sahaja, nak belok tak boleh.

Jaring-jaring gelap semakin berlabuh. Suasana pun dah makin gelap. Dah kecut berendam dalam air,  kita tambah tenaga balik. Makan malam dah tersedia. Bukan biasa-biasa makan malam, ada ikan, ayam bakar lagi. Ikan tu bukan ikan kelah la atau ikan dari Tasik Temenggor lah nooo,
Ini berlakon sahaja. Yang membakar sebetulnya dibawah.


Ini dia tokey bot yang bakar.



Malam, takkan nak tidor dah kot. Macam-macam permaidan di buat, janji kreativ. Buat acara berkumpulam dan karaok. Memang meriah tapi bab karaok memang hancur aku tak boleh masuk.
Apa-apa yang akan diakukan, solat jangan tinggal. Tak tahu apa yang menanti disana.


Sedap makan megi malam-malam.
Oklah dah lewat malam. Jom tidoq. Di atas bot ini nak tidur kat bilik boleh atau nak tidur di luar, ruang terbuka. Di luar lagi sejuk, kena angin tasik.

Dah letih. Badan perlu rehat dulu.

Oklah sampai disini dulu hari pertama di Royal Belum.

[ Pautan Jalan-jalan Menjelajah Royal Belum pada 15hb dan 16hb Februari 2019. Kepada yang dah baca komenlah sikit TQ 😁😁😁]

1. Royal Belum - Tasik Temenggor : Perjalanan dari Penang
2. Royal Belum - Tasik Temenggor : Masyarakat Orang Asli dan Air Terjun Sungai Kooi.
3. Royal Belum - Tasik Temenggor : Santuari Kelah dan Bunga Rafflesia


Perutusan PM - PKPB dilanjutkan Fasa 5

Perutusan PM kali ini melanjutkan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) selama empat minggu lagi. Kali ini seperti Fasa 4 juga perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan. Begitu juga kedai-kedai sektor swasta yang boleh dibuka akan diumumkan dari masa kesemasa. Solat berjemaah juga dalam proses mengeluarkan SOP yang bersesuaian begitu juga dengan ibadat dirumah-rumah ibadat agama lain. Untuk suami isteri PPPJJ akan dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

Jadi semua kena bersabar. Jangan adalah kluster Hari Raya, kluster Bazar Ramadhan atau apa apa kluster yang menjadikan bertambah panjang lagi PKP ini.



TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA

10 Mei 2020

Bismillahirrahmanirrahim.

AssalamuΓ‘laikum wa rahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat wal afiat.

Hari ini 17 Ramadan adalah hari umat Islam memperingati peristiwa Nuzul al-Quran, iaitu hari di mana al-Quran diturunkan kepada umat manusia. Jadi di awal ucapan saya ini, saya nak mengucapkan selamat menyambut Nuzul al-Quran kepada semua umat Islam. Mudah-mudahan peristiwa Nuzul Al-Quran yang disambut pada hari ini mengingatkan kita supaya sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup. Saya juga mendoakan semoga umat Islam di negara ini dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Hari ini, saya ingin memaklumkan kepada saudara-saudari semua mengenai perkembangan terkini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang bermula pada 4 Mei yang lalu. Alhamdulillah, saya lihat pelaksanaan PKPB telah berjalan dengan lancar dan teratur. Tidak berlaku kesesakan luar jangka di stesen-stesen pengangkutan awam, di dalam LRT, MRT, bas, restoran dan lain-lain. Nampaknya, rata-rata rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sektor-sektor ekonomi juga telah mula dibuka. Mereka yang terkandas di kampung halaman atau di tempat-tempat lain telah mula balik ke rumah masing-masing. Pelajar-pelajar universiti yang terkandas di kampus juga telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Alhamdulillah.

Ramai dalam kalangan saudara-saudari juga telah mula bekerja. Sehingga hari ini dianggarkan seramai 6.64 juta atau 43.6 peratus pekerja telah kembali bekerja. Saya jangkakan jumlah ini akan meningkat dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang.

InsyaAllah, dengan peningkatan jumlah pekerja yang kembali bekerja dalam pelbagai sektor industri dan perniagaan, kegiatan ekonomi di negara kita akan dapat digerakkan semula. Yang bekerja akan dapat gaji. Yang berniaga akan beroleh pendapatan dan keuntungan. Hasil pendapatan ini boleh dibelanjakan dalam sistem ekonomi kita yang akhirnya menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Saya nak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan-kerajaan negeri yang telah memberikan kerjasama kepada kerajaan persekutuan dalam usaha membuka semula sektor-sektor ekonomi di negeri masing-masing.

Saya juga bersyukur kerana kes-kes baharu COVID 19 kekal rendah dan terkawal. Kadar kesembuhan juga tinggi. Sehingga 9 haribulan Mei, seramai 4,929 atau 74.8 peratus pesakit telah sembuh. Saya nak mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan semua petugas kesihatan yang telah bersama-sama membantu merawat kesemua pesakit ini sehingga mereka sembuh.

Saya juga nak berkongsi satu berita baik dengan saudara-saudari. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh sebuah agensi penyelidikan yang berpangkalan di Singapura, Malaysia berada di tangga ke empat daripada 105 buah negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.

Jadi, sekali lagi saya nak mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan kita yang telah banyak berkorban sepanjang tempoh dua tiga bulan ini untuk memastikan semua rakyat Malaysia terselamat daripada wabak COVID 19. Saya juga nak merakamkan ucapan terima kasih kepada saudara-saudari sekalian seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan PKP dan PKPB sehingga memudahkan para petugas barisan hadapan kita menangani krisis ini.

Hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh para petugas barisan hadapan dan disiplin saudara-saudari sepanjang tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan, kita telah berjaya menjadikan hampir seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau. Kawasan-kawasan ini tidak mencatatkan sebarang kes positif COVID 19 baharu dalam tempoh dua minggu yang lalu.

Daripada 1,178 mukim, bahagian, zon, sub-zon dan presint di seluruh negara, sebanyak 1,112 atau 94.4 peratus telah dikategorikan sebagai hijau, manakala 62 atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai kuning dan hanya 4 atau 0.34 peratus yang masih berstatus merah. Yang dimaksudkan dengan status merah ialah kawasan-kawasan yang mencatatkan lebih 40 kes positif COVID 19.

Untuk makluman saudara-saudari, terdapat 4 kawasan setakat ini yang masih berstatus merah iaitu:


  • Mukim Batu, Gombak, Selangor;
  • Zon Batu, Mukim Batu, Kuala Lumpur;
  • Zon Kampung Baharu, Mukim Bandar, Kuala Lumpur; dan
  • Mukim Pedas, Daerah Rembau, Negeri Sembilan


Bagi penduduk di kawasan-kawasan ini, saya nasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila keluar rumah. Amalkan penjarakan sosial. Pakai penutup mulut dan hidung. Sentiasa bersihkan tangan. Kalau boleh kurangkan aktiviti di luar rumah.

Bagi penduduk di luar kawasan ini, nasihat saya pertamanya jangan berkunjung ke kawasan ini buat masa ini. Itu lebih baik supaya kita tidak terdedah kepada jangkitan wabak COVID 19.

Keduanya, bagi penduduk di kawasan hijau, jangan ingat anda semua telah selamat dan boleh bergerak ke sana sini dengan bebas. Saudara- saudari mungkin beranggapan yang saudara-saudari tidak akan dijangkiti wabak ini kerana berada di kawasan hijau. Tetapi saya nak ingatkan selalu yang virus COVID 19 ini adalah musuh senyap yang kita tak nampak. Ia boleh menyerang kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Jadi, berhati-hatilah. Penjarakan sosial, memakai topeng mulut dan hidung, dan membersih tangan mestilah terus diamalkan sehinggalah kita berjaya menemui vaksin untuk virus ini.

Menurut pandangan pakar perubatan, proses menghasilkan vaksin biasanya mengambil masa yang agak lama iaitu antara 12 hingga 18 bulan. Saya telah berhubung dengan beberapa pemimpin negara luar dan dimaklumkan ujian-ujian klinikal sedang giat dilaksanakan untuk menghasilkan vaksin bagi virus ini. Saya berharap vaksin dapat dihasilkan seberapa segera supaya kita boleh bebas daripada ancaman COVID-19 dengan secepat mungkin.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak COVID 19, usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya. Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini. Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini.

Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara, saya ingin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang berkuatkuasa sehingga 12 Mei 2020, akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020, iaitu selama 4 minggu lagi. Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020. Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa dalam tempoh ini. Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.

Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara.

Stesen-stesen TV dan Radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga. Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu “Jange Kelik La Weii”. Lagu ni pun OK lah.

Tetapi ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai. Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa. Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka.

Setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer sepanjang sambutan perayaan ini. Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.

Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar saudara-saudari elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat.

Mengenai solat berjemaah di masjid, termasuk solat Jumaat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang memperhalusi tatacara atau SOP tertentu yang boleh diamalkan oleh para jemaah. InsyaAllah, selepas SOP ini dimuktamadkan dan dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja- Raja selaku Ketua Agama Islam persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk bersolat jemaah di masjid.

Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu. InsyaAllah, kita doakan keadaan akan bertambah baik. Tambahan pula telah banyak kawasan-kawasan hijau di seluruh negara. Dengan pelaksanaan SOP yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan ini telah bersedia untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah. Berikan sedikit masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan.

InsyaAllah, dalam masa terdekat ini kita boleh menunaikan ibadat kita dengan lebih sempurna dan syiar Islam akan bersinar semula.

Begitu juga dengan gereja dan rumah-rumah ibadat bagi penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain. Kerajaan akan mengumumkan SOP tertentu untuk membolehkan saudara-saudari yang beragama bukan Islam mengerjakan ibadat di rumah ibadat masing- masing.

Mengenai perjalanan rentas negeri, saya diberitahu ada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja. Misalnya, suami bekerja di Perlis, isteri di Johor. Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan. Jadi saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga. Bagi yang melibatkan perjalanan rentas negeri Sabah dan Sarawak, saya mohon supaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga memberikan kelonggaran yang sama. Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan.

Mengenai isu bayaran Bantuan Prihatin Nasional, saya dengar ada rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran ini atas pelbagai sebab. Antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap. Ada juga yang permohonannya ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan. Tetapi mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan. Ada juga antara yang memohon adalah pelajar yang telah menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar. Jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi kategori bujang ditolak.

Ini antara sebab-sebab permohonan ditolak. Mengambil kira semua perkara ini, YB Menteri Kewangan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei 2020.

Selain menghantar emel, para pemohon yang mana permohonan mereka tidak diluluskan boleh hadir sendiri ke kaunter-kaunter LHDN untuk membuat rayuan bermula hari Isnin 11 Mei 2020. Bagi negeri-negeri yang bercuti esok, bolehlah pergi ke kaunter LHDN pada hari Selasa 12 Mei 2020. Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan. Tetapi mana- mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, insyaAllah boleh diluluskan.

Saya juga nak maklumkan, semalam kerajaan telah meluluskan 2.3 juta permohonan BPN, termasuk permohonan baharu dan rayuan, yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 billion. Dengan kelulusan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 billion.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Kita telah cuba melakukan yang terbaik dalam usaha memerangi wabak COVID 19. Usaha kita ini telah menunjukkan petanda kejayaan. Tetapi saya nak nasihatkan supaya kita jangan alpa. Kita masih di peringkat awal pelaksanaan PKPB. Dengan jumlah orang ramai yang mula keluar dari rumah untuk bekerja semakin meningkat, risiko jangkitan juga turut meningkat.

Jadi, beberapa minggu ke hadapan ini agak kritikal bagi kita. Hasil pelaksanaan PKPB hanya dapat dilihat dalan tempoh beberapa minggu lagi. Jika berlaku peningkatan kes yang ketara dalam tempoh ini, kerajaan akan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD bagi kawasan-kawasan yang terjejas.

Kita nak elakkan perkara ini daripada berlaku. Oleh sebab itu, saya nak merayu kepada saudara saudari semua supaya patuhilah SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Bukan susah. Mudah sahaja. Elakkan tempat yang sesak. Amalkan penjarakan sosial. Pakai penutup mulut dan hidung. Sentiasa basuh tangan atau gunakan hand sanitizer. Selain itu, keluar rumah hanya jika perlu sahaja.

InsyaAllah, kita berdoa mudah-mudahan kita akan berjaya memerangi wabak COVID 19 bersama-sama.

Kepada semua umat Islam saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa. Juga kepada para ibu, selamat menyambut Hari Ibu pada hari ini.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Royal Belum - Tasik Temenggor : Perjalanan dari Penang

Oleh kerana COVID-19 bermaharaja lela maka aku mengambil keputusan untuk berada dalam hutan buat sementara waktu. 😁😁😁 Semua tu cari pasai. Ini cerita tahun lepas. Program persatuan tempat kerja.

Kali ini tak nak lihat bangunan-bangunan dan kereta. Nak lihat hijau pula. Program 2 hari 1 malam ke Hutan Royal Belum. 

Perjalanan bermula dengan berkumpul di Masjid Al Malik Khalid USM seawal 6.30 pagi. Sebelum bertolak beberapa persiapan telah dibuat seperti pakaian untuk aktiviti seperti t shirt dan seluar trek atau apa apa yang selesa dan juga kasut sebab ada aktiviti air, mendaki sedikit dan meredah hutan.

Sebuah bas telah ditempah untuk aktiviti ini untuk lebih kurang 25 orang peserta. Hampir jam 7 pagi perjalanan bermula. Semua berjalan lancar. Apabila sampai sahaja di Gerik tiba-tiba sebuah Kereta Peronda JPJ tahan. Apa kebenda lah pulak. Berhenti tepi jalan, driver bas dan pegawai JPJ sembang, lepas tu kena ikut ke pejabat JPJ Bandariang.
JPJ Bendaring, bas di tahan.

Disini baru tahu ada beberapa benda yang terlepas pandang kerana syarikat bas sewakan bersama pemandu yang lesen tamat tempoh. Pujukabang JPJ bagi driver hantar kami dulu tapi tak layan. Jadi tunggu syarikat hantar pemandu lain, baru boleh teruskan perjalanan. Jadi sebagai ingatan ketika berurusan dengan syarikat bas pastikan mereka hantar bas dan driver yang cukup syarat. Lewat lah sikit nak sampai sebab kena tunggu driver ganti.
Semua urusan selesai perjalanan diteruskan semula. Dalam jam 11 pagi, Alhamdulillah kami sampai di Jeti Awam Royal Belum atau Jeti Tasik Banding. Untuk makluman memasuki hutan simpan Royal Belum ini perlu dapatkan permit dan dikenakan sedikit bayaran. Oleh kerana ambil pekej bersama house boat, bayaran permit ini telah dimasukkan sekali. Tak payah pening-pening isi borang.
Pintu masuk Jeti Awam Tasik Bnading.

Pemandangan dari atas jeti, kelihatan beberapa house boat berada ditepi tasik.
Oklah punggah barang yang hendak dibawa ke jeti. House boat pon dah sedia menunggu. Pakat-pakat turun ke bot. Macam manarik saja bot ni. 
Dari jeti kena turun kebawah untuk ke bot.



Inilah bot yang akan membawa kami menjelajah Tasik Temenggor.
Dari atas jeti kelihatan beberapa house boat. Ada yang satu tingkat ada yang dua tingkat, yang tiga tingkat tak nampak lagi. Bot kami satu tingkat sahaja bersesuaian dengan jumlah peserta. Bot ini ada satu ruang untuk lepak-lepak atau utnuk aktiviti, 4 bilik tidur dengan beberapa katil dalam setiap bilik beserta kipas angin, 2 bilik air dan tandas kongsi dan dapur.


Salah satu bilik tidur

Jamban atau tandas. Masuk pi lah dalam sini buat kenangan.

Bilik air.

Dapur, walau sederhana tapi lengkap.

Oklah sampai sahaja masukkan barang dalam bilik. Diluar nasi lemak bungkus dah tersedia. Makan bagi kenyang dulu sambil bot mula perjalanan. Masa ini hantar dulu apa-apa pesanan talifon seperti wasap dan FB sebab selepas berlayar jauh talian hayat talifon dan data dah tak ada. Bye bye dunia luar.
Selfie dulu. Dekat jeti line talifon ada lagi.

Makan nasi lemak dulu buat alas perut.


Semetara berlayar bos kami beri sedikit kata dan selepas itu semua memperkenalkan diri, bukan tak kenal tetapi ingin lebih mengenali diluar suasana kerja.
Sedikit ucapan dari Bos.

Ice breaking.

Tokey bot pun bagi ucapan juga. Penerangan mengenai bot dan juga maklumat Hutan Belum.

Tokey House Bot pun selepas itu memberi sedikit penerangan mengenai Royal Belum ini. Ramai yang tak tahu Hutan Belum ini sangat luas dikatakan seluas 4 kali Singapura dan hutan ini berusia 130 juta tahun. Nantilah aku tulis sedikit mengenai hutan ini di lain entry.
Peta Huatn Belum yang berusia 130 juta tahun seluas empat kali Singapura.

Semasa bot berlayar membelah Tasik Temenggor, bolehlah layan keindahan Tasik Temunggor dengan kiri kanan hutan berusia 130 juta tahun. Sepanjang perjalanan masih dapat dilihat ada lagi tunggul-tunggul pokok tinggalan dari proses mengempang ar untuk membentuk Empangan Temenggor.
House boat ini di tolak oleh bot ini sebab enjin asal house boat rosak.







Hause boat dua tingkat. Kalau peserta ramai boleh booking yang ini.



Nikmailah keindahan ciptaan Allah.


Dalam 2 jam perjalanan bot rapat ketebing. Ada beberapa batang pokok mati tinggalan dari projek empangan manjadi tempat penambat bot supaya tak hanyut. Berhenti kami di suatu lokasi yang aku pun tak tahu dimana. Setiap pengusaha bot tahu lokasi-lokasi tempat berlabug bot mereka.


Proses melabuhkan bot. Bot diikat ke tunggul-tunggul pokok mati di tebing tasik.

Selepas bot ditambat dan sebelum apa-apa aktiviti di mulakan kita makan dulu. Sungguh berselera makan sambil tengok keindahan alam. Makanan disediakan oleh pihak house boat dan top up sikit dengan bekalan yang kami bawa. Boleh saja masak di dapur mereka.
Yang aku ingat ayam pandan dibawa oleh kami.


Alhamdulillah berselera sungguh makan atas bot. Ala-ala nelayan gitu.

Oklah kita sambung cerita sedikit sejarah Royal Belum dan terjadinya tasik disini.

[ Pautan Jalan-jalan Menjelajah Royal Belum pada 15hb dan 16hb Februari 2019. Kepada yang dah baca komenlah sikit TQ 😁😁😁]

1. Royal Belum - Tasik Temenggor : Perjalanan dari Penang
2. Royal Belum - Tasik Temenggor : Masyarakat Orang Asli dan Air Terjun Sungai Kooi.
3. Royal Belum - Tasik Temenggor : Santuari Kelah dan Bunga Rafflesia


Perutusan PM Hari Pekerja - COVID-19

Sekali lagi perutusan oleh kita punya PM sempena Hari Pekerja 2020. Kali ini mungkin  mengembirakan banyak sektor awam dan swasta sebab telah dibolehkan beroperasi tetapi dengan syarat syarat tertentu. Diperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)Harap. semua bertanggungjawab.



TEKS PERUTUSAN KHAS

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

PERDANA MENTERI MALAYSIA

1 MEI 2020

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat wal afiat.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga pekerja di Malaysia.

Pada tahun ini ketibaan Hari Pekerja tidak disambut seperti biasa. Tiada perhimpunan besar diadakan dalam situasi semasa penularan wabak COVID-19. Selain itu, kebetulan pula Hari Pekerja tahun ini jatuh pada bulan Ramadhan.

Dengan trend kes dunia sedia ada, wabak COVID-19 dijangka akan berterusan untuk tempoh masa yang agak lama. Ia tidak akan berakhir dalam jangka waktu yang terdekat.

Walaupun tiada sambutan Hari Pekerja 2020 peringkat kebangsaan pada tahun ini, sumbangan dan pengorbanan para pekerja sektor awam dan swasta selama ini amat dihargai oleh pihak Kerajaan.

Bermula 18 Mac yang lalu, kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP. Ini pertama kali dalam sejarah, kerajaan menguatkuasakan perintah seumpama ini.

Dalam tempoh ini, bekerja dari rumah dan duduk di rumah merupakan pengorbanan besar para pekerja dalam membantu Kerajaan menangani penularan COVID-19.

Disiplin kita untuk duduk diam-diam di rumah atau bekerja dari rumah setakat ini telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Pertama, kita telah mampu mempertingkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam untuk menangani jumlah pesakit COVID-19. InsyaAllah kita mempunyai sumber tenaga kerja, ruang katil di hospital, pusat kuarantin, ubat-ubatan, alat bantuan pernafasan atau ventilator, peralatan perlindungan diri dan makmal-makmal ujian yang mencukupi seandainya kadar jangkitan meningkat semula.

Kedua, kita perlu terima hakikat bahawa dalam bulan-bulan mendatang ini, adalah mustahil untuk mana-mana negara mencapai angka sifar dalam jangkitan COVID-19. Yang perlu dilakukan ialah mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan awam untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Jadi, walaupun kita telah berjaya mengawal penularan COVID-19, jangan kita alpa. Teruslah berwaspada. Amalkan tabiat penjarakan sosial, sering membasuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut atau face mask di kawasan awam dan segera berjumpa doktor sekiranya bergejala.

Ketiga, kita mempunyai lebih banyak kawasan zon hijau berbanding zon merah. Ini juga adalah hasil usaha kerjasama saudara-saudari yang amat berdisiplin. Teruskan usaha ini agar kita dapat ‘menghijaukan’ lebih banyak kawasan terjejas secepat yang boleh.

Menurut Kementerian Kesihatan, negara kita juga telah memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.

Pertama, kawalan sempadan negara kita telah diperketatkan untuk mengelakkan kes import positif COVID-19 berlaku;

Kedua, kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan;

Ketiga, peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan;

Keempat, keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya;

Kelima, amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai face mask; dan

Keenam, pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu.

Alhamdulillah, pengorbanan kita sepanjang pelaksanaan PKP tidak sia- sia.

Jumlah kes-kes baharu telah menurun dengan ketara. Jumlah pesakit yang sembuh juga telah meningkat. Penggunaan ruang-ruang katil di hospital yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 tidak melebihi 30 peratus.

Saudara dan saudari yang saya kasihi,

Sejak dari awal, Kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dalam memerangi wabak Covid-19 dan menghadapi krisis ekonomi Kerajaan menggunakan strategi yang merangkumi 6 pendekatan:

Pertama ialah ketegasan atau resolve dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP;

Kedua, membina ketahanan atau resilience melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi;

Ketiga, menjana semula atau restart ekonomi secara teratur dan terkawal;

Keempat, melaksanakan strategi pemulihan atau recovery ekonomi dalam menghadapi norma baharu;

Kelima, memperkasa atau revitalize ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan; dan

Keenam, menyusun semula atau reform struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan saudara-saudari semua melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya ‘norma baharu’ atau ‘new normal’.

Alhamdulillah, pendekatan pertama dan kedua telah membuahkan hasil.

Kini, kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati. Dengan ini kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB. Sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak COVID-19 yang masih tidak dibenarkan. Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi.

Saya tahu setelah hampir dua bulan menjalani PKP, ramai dalam kalangan saudara-saudari yang ingin kembali bekerja. Bagi peniaga, nak membuka semula perniagaan. Bagi pengusaha industri, nak pastikan perusahaan masing-masing dapat beroperasi semula.

Ini penting kepada saudara-saudari kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian saudara-saudari. Kalau terlalu lama berada dalam PKP, maka terputuslah mata pencarian dan ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing- masing.

Begitu juga bagi negara kita. Terhenti aktiviti ekonomi bermakna terhentilah sumber pendapatan negara. Cukai tidak boleh dikutip, industri tidak boleh berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan yang paling ingin kita elakkan ialah lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan.

Saya hendak sebutkan di sini bahawa negara kita rugi sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. Jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion. Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

Pada masa yang sama, ramai juga yang bimbang jika PKP ditamatkan. Apa akan jadi kepada usaha kita untuk menangani COVID 19. Virus ini masih ada di luar sana. Walaupun jumlah kes-kes baharu COVID 19 semakin berkurangan, risiko peningkatan kadar jangkitan tetap ada. Ramai yang akan keluar bekerja dan bergerak ke sana ke sini, ke sana ke sini. Dengan itu, adakah ini bermakna wabak COVID 19 akan menular semula.

Jadi saya sedar, saudara-saudari bimbang. Saya pun bimbang juga. Dan memang telah pun berlaku di beberapa buah negara lain, apabila ‘lockdown’ dihentikan, jumlah kes-kes positif COVID 19 meningkat semula dengan mendadak. Ini mesti kita elakkan.

Jadi, saya telah berbincang secara panjang lebar mengenai perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri. Kita mesti cari jalan untuk mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.

Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.

Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal. Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran.

Selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan. Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium. Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan. Jadi, saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton. Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan.

Majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah- rumah ibadat juga tidak dibenarkan.

Perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain. Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

Buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.

Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara. Senarai ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes- kes jangkitan COVID-19.

Selain daripada senarai yang tidak dibenarkan, semua sektor perniagaan dan industri, sektor awam dan sektor sosial adalah dibenarkan untuk beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan semasa serta SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

SOP ini termasuk penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai topeng muka, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19, keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan, bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial dan menggalakkan transaksi secara online.

Saya ingin memberikan beberapa contoh mudah bagaimana SOP ini hendak dilaksanakan. Misalnya, mulai 4 haribulan Mei, iaitu hari Isnin minggu depan, Pak Salleh boleh buka semula restoran yang ditutup. Jadi dalam sehari dua ini Pak Salleh boleh pergi ke restoran untuk bersihkan restoran, bersihkan pinggan, sudu, periuk dan lain-lain alat memasak, susun meja dan kerusi, dan beli stok barang-barang mentah.

Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter antara satu meja dengan meja yang lain. Ini penting supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu, dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ.

Untuk pastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, Pak Salleh boleh letak notis di setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja. Kalau meja kecil mungkin satu orang atau dua orang sahaja dibenarkan. Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan.

Keduanya, buatkan garisan di lantai depan kaunter bayaran. Ukur garisan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain. Ini untuk memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di depan atau di belakang pelanggan yang lain ketika mereka hendak membuat bayaran.

Ketiganya, sediakan hand sanitizer di kaunter bayaran. Pelanggan yang dah bayar boleh gunakan hand sanitizer untuk bersihkan tangan. Sediakan juga sabun atau hand wash yang mencukupi di tempat basuh tangan.

Ketiganya, beli penyembur pembersih meja yang mencukupi. Setiap kali selepas pelanggan makan, beritahu pekerja supaya bersihkan meja cepat-cepat sebelum pelanggan lain duduk.

Keempat, beli face mask. Beri kepada pekerja dan pastikan mereka pakai face mask setiap masa. Pak Salleh pun kena pakai face mask.

Kelima, pada hari pertama restoran dibuka, seboleh-bolehnya periksa suhu badan pelanggan sebelum dia dibenarkan masuk ke restoran. Boleh guna alat pengimbas suhu yang sesuai untuk periksa suhu badan pelanggan.

Keenam, catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran. Ini penting kerana jika ada kes positif COVID 19 yang melibatkan salah seorang pelanggan, pelanggan- pelanggan lain yang datang pada hari itu boleh segera dikesan.

Jadi, sebenarnya banyak kerja yang Pak Salleh kena buat sebelum boleh buka semula restoran.

Semua ini penting untuk pastikan supaya tiada pelanggan Pak Salleh yang terkena jangkitan COVID 19. Pemilik restoran, food truck dan gerai makan yang lain pun mesti buat perkara yang sama.

Kalau semua dah buat begini, pelanggan-pelanggan boleh datang makan di restoran atau beli makanan dengan rasa selamat. Jika masih was-was, bungkus sajalah. Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik.

Satu lagi contoh ialah stesen minyak. Ini penting kerana bagi pekerja yang nak balik semula bekerja, mereka dah tentu nak isi minyak kereta atau motor masing-masing. Jumlah pelanggan pasti akan bertambah. Jadi, belilah lebih banyak hand sanitizer untuk digunakan oleh pelanggan.

Syarikat-syarikat pengangkutan awam juga mesti bersedia. Sudah tentu jumlah pengguna akan meningkat. Dalam keadaan kita nak mengawal penularan COVID 19, kita mesti elakkan kesesakkan di stesen-stesen bas, LRT, MRT dan sebagainya. Mesti ada tindakan diambil oleh pengendali syarikat pengangkutan awam untuk kawal pergerakan orang ramai.

Untuk membantu mengelakkan kesesakan di stesen-stesen pengangkutan awam dan di dalam kenderaan awam, saya mencadangkan supaya semua majikan melaksanakan waktu bekerja

yang anjal. Tak semua pekerja mesti masuk bekerja pada waktu yang sama. Jadi sedikit sebanyak kita boleh elakkan semua orang daripada berkejar-kejar untuk masuk pejabat pada waktu yang sama.

Saya juga nak menasihatkan semua pengguna pengangkutan awam supaya memakai penutup hidung dan mulut. Anda akan sentiasa terdedah kepada penularan wabak COVID 19. Jadi ambil langkah- langkah untuk lindungi diri sendiri. Pakai penutup hidung dan mulut dan simpan juga satu atau dua lagi dalam beg. Sentiasa bawa hand sanitizer untuk digunakan jika perlu.

Di tempat kerja, majikan mesti periksa suhu badan pekerja setiap hari. Kalau suhu badan tinggi, nasihatkan pekerja supaya balik atau pergi ke klinik dengan segera. Selain itu, anda sebagai pekerja pastikan meja, kerusi dan peralatan yang digunakan di pejabat sentiasa bersih. Elakkan sentuhan atau body contact dengan rakan sekerja yang lain.

Ini adalah antara langkah-langkah yang mesti dibuat untuk lindungi diri anda daripada jangkitan COVID 19. Mustahil saudara-saudari boleh berkurung di dalam rumah selama-lamanya. Saudara-saudari perlu juga keluar untuk bekerja, berniaga dan membeli barang-barang keperluan harian. Yang penting jaga kebersihan diri. Jaga keselamatan dan keluar rumah hanya untuk urusan-urusan yang perlu sahaja.

Malah, walaupun semua sektor ekonomi dibuka, majikan boleh galakkan pekerja untuk bekerja dari rumah. Ini norma baharu yang kita mesti amalkan. Bincang dengan pekerja. Mana-mana tugas yang boleh dibuat di rumah, buat di rumah. Ini lebih baik. Mungkin boleh susun jadual hari bekerja secara selang seli. Hari ini masuk pejabat, esok bekerja dari rumah.

Saya fikir ini juga boleh menyelesaikan masalah penjagaan anak. Walaupun pusat-pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan SOP kesihatan yang tertentu, saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka. Jadi, kalau majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli atau every alternate days, ini boleh membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak.

Hari ini isteri bekerja dari rumah, suami bekerja di pejabat. Esok suami bekerja dari rumah, isteri bekerja di pejabat. Jadi anak tak perlu dihantar ke pusat jagaan. Hanya mereka yang tiada pilihan sahaja menghantar anak mereka. Secara tidak langsung ini dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan dan lebih mudahlah untuk penjaga mengurus anak-anak ini mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan.

Jadi saya nak minta tolong dengan majikan jika boleh benarkan pasangan suami isteri yang ada keperluan untuk menjaga anak-anak kecil di rumah supaya dibenarkan bekerja every alternate days atau bekerja dari rumah.

Bagi sektor awam yang akan mula beroperasi mulai 4 Mei 2020, kerajaan menggalakkan kakitangan awam bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat. Mesyuarat juga digalakkan diadakan secara online menggunakan medium yang selamat. Bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu bekerja anjal.

Saya minta supaya semua Ketua Jabatan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Saya faham saudara-saudari agak bimbang apabila sektor-sektor ekonomi kita mula dibuka. Ramai yang akan keluar rumah untuk bekerja. Mereka akan berada di mana-mana. Di jalan raya, di stesen LRT, di stesen minyak, di dalam bas, di dalam grab, di restoran, di pasaraya dan di tempat-tempat lain. Virus COVID 19 tetap ada di luar sana dan risiko terkena jangkitan sentiasa ada. Saya pun bimbang juga.

Apapun kita jangan panik dan jangan mengalah. Saya yakin dengan kemampuan para petugas barisan hadapan kita untuk menjalankan tugas mereka membendung wabak ini.

Tetapi yang lebih penting ialah diri kita sendiri. Tanggungjawab kita sendiri. Jaga kebersihan diri kita. Jangan keluar rumah kecuali jika perlu. Patuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa. Pakai penutup hidung dan mulut bila keluar ke tempat awam. Bawa hand sanitizer. Seboleh- bolehnya, jadikan bekerja dari rumah sebagai amalan norma baharu.

Anda yang merupakan ketua keluarga, ketua masyarakat juga mesti memainkan peranan. Nasihat anak-anak, anggota masyarakat supaya sentiasa berhati-hati. Elakkan perkumpulan beramai-ramai di kejiranan kita. Amalkan penjarakan sosial sebagai norma baharu dalam kehidupan. Jika berlaku kes-kes bergejala COVID 19 di tempat tempat kerja atau di kawasan perumahan saudara-saudari, cepat-cepat laporkan kepada pihak berkuasa.

Dalam memerangi COVID-19, pengesanan kontak atau contact tracing adalah sangat penting. Petugas kesihatan mesti tahu siapa yang pernah berada dekat dengan orang yang dikenalpasti positif COVID-19. Untuk memudahkan pengesanan kontak, kerajaan telah mewujudkan applikasi MySejahtera dan MyTrace. Saya harap anda semua yang mempunyai telefon pintar muat turun aplikasi ini untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan melakukan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan baharu. Ini adalah tanggungjawab kita semua.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi- tinggi penghargaan dan juga ucapan selamat Hari Pekerja khususnya kepada para petugas barisan hadapan kita – doktor, jururawat, polis, tentera, anggota RELA, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, APMM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua pekerja di sektor awam dan swasta.

Saya juga ingin mengucapkan selamat Hari Pekerja kepada semua pimpinan dan ahli kesatuan-kesatuan sekerja termasuk pimpinan CUEPACS dan MTUC.

Sempena sambutan hari pekerja pada hari ini, saya ingin mengingatkan para pekerja dan majikan agar sentiasa mematuhi Akta Kerja 1955, Akta Perusahaan 1966 dan akta-akta perburuhan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang sedang berkuatkuasa. Kementerian Sumber Manusia telah mengeluarkan panduan pelaksanaan bayaran gaji penuh, bayaran gaji cuti sakit dan hospitalisasi bagi pekerja yang dikuarantin, alternatif tindakan cuti tanpa gaji dan pengurangan gaji dengan persetujuan bersama di antara majikan dan pekerja dalam tempoh PKP. Panduan ini boleh dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia.

Semua majikan dikehendaki mematuhi garis panduan mengenai pengendalian isu berhubung penularan COVID-19 di tempat kerja, khususnya yang membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian pekerja. Majikan juga boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan COVID-19 seperti disyorkan dalam tatacara keharmonian perusahaan atau Code of Conduct, iaitu mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu.

Besarlah harapan saya agar semua warga pekerja dan majikan dapat terus mendokong dan menjiwai cara kerja baharu atau norma baharu pekerjaan dalam keadaan kita sedang menangani wabak COVID-19. InsyaAllah, kita pasti menang.

Akhir kata, saya ucapkan “Selamat Hari Pekerja 2020” kepada semua warga pekerja di Malaysia.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuΓ‘laikum wa rahmatullahi wa barakatuh.