Kuliah Ilmu Oktober 2020

Lama tak update kuliah agama masjid dan surau kawasan Kepala batas. Alhamdulillah dah lama juga masjid-masjid dan surau telah menjalankan aktiviti. Aku bulan ni baru tergerak nak update. Tolong patuhi SOP memasuki masjid dan surau. 

Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas:


Masjid At Taqwa Bertam Indah, Kepala Batas


Surau Al-Muttaqin Bandar Putra Bertam, Kepala Batas:


Nak maklumat terkini LIKE FB masjid dan surau berkenaan. Segala perubahan tertakluk kepada masjid dan surau berkenaan.

Perutusan PM - PKPP 20hb Julai 2020

Jauh lagi nak sampai 31 Ogos 2020 iaitu hari tamatnya PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan). PM dah nak buat perutusan lagi. Macam serius saja, adakah mengenai Raya Haji atau kadar jangkitan yang meningkat atau PKP 2 akan dibuat? Tunggu dan dengar jam 4 petang hari ini. 

Ni tek ucapan penuh PM kita:

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat wal afiat.

1. Sudah agak lama saya tidak muncul di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memberikan maklumat dan pesanan mengenai situasi terkini COVID-19 di negara kita.

2. Saya percaya sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP dilaksanakan pada 10 Jun 2020, saudara-saudari telah dapat kembali menjalani kehidupan hampir seperti biasa seperti keluar bekerja, berniaga, mengunjungi pusat- pusat membeli-belah dan beriadah bersama keluarga.

3. Selepas larangan rentas negeri ditarik balik, saya perhatikan ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman dan bercuti di dalam negara.

4. Saya sendiri pun pulang ke Muar bersama keluarga beberapa minggu yang lalu. Sempat jugalah saya sekeluarga menikmati asam pedas Muar yang agak popular.

Sambil itu saya perhatikan ramai pelanggan mengunjungi restoran, pusat-pusat membeli belah, pusat penjaja dan kedai-kedai. Keadaan ini amat berbeza sekali berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

5. Saya juga diberitahu hotel-hotel dan tempat-tempat penginapan di seluruh negara menerima banyak tempahan daripada para pengunjung. Ini kita fahamlah kerana hampir tiga bulan berkurung di rumah, ramai dalam kalangan saudara-saudari yang mengambil kesempatan untuk bercuti bersama keluarga. Lebuhraya utama di negara kita juga kembali sesak dengan kenderaan terutamanya di hujung minggu.

6. Ini satu petanda yang baik. Sektor-sektor ekonomi di negara kita yang terjejas akibat COVID-19 sudah mula rancak dan insyaAllah sekiranya trend ini berterusan, ekonomi negara kita dapat pulih dengan lebih cepat.

7. Bantuan-bantuan kerajaan juga telah banyak yang disampaikan. Sehingga hari ini sejumlah RM11.14 bilion telah disalurkan kepada 10.4 juta penerima Bantuan Prihatin Nasional. 1.4 juta pemandu e-hailing telah menerima elaun tunai RM500 dengan jumlah keseluruhan RM34 juta. Seramai 477 ribu pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas telah menerima elaun tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM28.8 juta. 7.7 juta pengguna menerima diskaun 50 peratus bayaran bil elektrik TNB dengan nilai keseluruhan RM312.32 juta dan 1.4 juta pengguna menerima diskaun 15 peratus dengan nilai keseluruhan RM185.75 juta. 65 peratus isi rumah telah menerima manfaat morotarium bayaran balik pinjaman bank dengan nilai keseluruhan RM38.4 bilion.

8. Dari segi bantuan untuk para usahawan, seramai 545 ribu usahawan mikro telah menerima Geran Khas Prihatin dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion. 7 ribu orang menerima kemudahan kredit mikro BSN dengan nilai keseluruhan RM247 juta dan lebih 23 ribu orang menerima kemudahan kredit mikro TEKUN dengan nilai keseluruhan RM177 juta.

9. Subsidi upah bernilai RM7.4 bilion juga telah disalurkan. Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada 834 ribu majikan dan 6.7 juta pekerja di seluruh negara.

10. Saya percaya ramai dari kalangan saudara dan saudari yang terjejas dengan wabak COVID-19 telah sedikit sebanyak menerima manfaat daripada bantuan- bantuan kerajaan. Bantuan-bantuan ini adalah bersifat sementara untuk membantu saudara-saudari menjalani kehidupan dalam keadaan yang sukar. Yang lebih penting ialah bagaimana kita semua dapat keluar daripada krisis dan memulihkan keadaan kesihatan rakyat dan ekonomi negara kita dengan kadar yang segera.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

11. Saya sentiasa memantau keadaan terkini pandemik COVID-19. Wabak ini masih belum berakhir. Kebanyakan negara luar masih mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi. Sehingga semalam, hampir 14.5 juta orang telah dijangkiti virus COVID- 19 di seluruh dunia dengan lebih 600 ribu kematian dicatatkan.

12. Walaupun kes COVID-19 kekal rendah di negara kita, saya agak bimbang dengan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh PKPP. Contohnya Kluster Restoran Kuala Lumpur dalam kalangan pekerja restoran yang dilaporkan sejak 6 Julai 2020 dan Kluster Stutong yang bermula sejak 18 Julai 2020.

13. Selain itu, sejak 7 Julai 2020, terdapat empat kluster baharu yang dikesan berpunca dari mereka yang pulang dari luar negara iaitu Kluster di Sarawak sebanyak 3 kes, Kluster di Melaka 5 kes, Kluster di Terengganu 3 kes dan Kluster di Kuala Lumpur 2 kes.

14. Lebih membimbangkan saya, kes positif COVID-19 telah kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari yang lalu.

15. Situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh kita semua. Saya pasti saudara- saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan lock down sekiranya kes-kes COVID-19 meningkat dengan mendadak. Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu.

16. Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Ekonomi negara kita terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan. Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam kedaan lock down seperti itu.

17. Sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula PKP, impaknya kepada ekonomi amat besar. Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.

18. Ia juga akan menidakkan usaha-usaha Kerajaan, sektor swasta dan NGO di bawah Pakej PRIHATIN dan PENJANA yang bertujuan untuk memulih dan menjana semula ekonomi. Harus diingat bahawa Kerajaan sudahpun mengumumkan pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN Tambahan dan PENJANA yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini. Lebih 2.75 juta pekerjaan telah berjaya diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja.

19. Selain itu, lebih 800 ribu perniagaan, termasuk perniagaan mikro dan PKS, telah menerima manfaat daripada pakej-pakej rangsangan ini. Pakej-pakej PRIHATIN dan PENJANA dianggarkan menyumbang lebih 3 peratus kepada pertumbuhan KDNK negara pada tahun ini

20. Sekiranya PKP terpaksa dikuatkuasakan semula, antara impaknya termasuklah unjuran pertumbuhan KDNK yang dijangka pada tahun 2021 mungkin tidak akan tercapai. Perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran di tahap 5.3 peratus bagi bulan Mei 2020 boleh meningkat secara mendadak. Ini adalah suatu keadaan yang mesti kita elakkan.

21. Jadi, apa yang mesti kita buat?

22. Seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini, kejayaan kita memerangi COVID-19 dalam fasa pemulihan ini adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Ia bergantung kepada kesedaran kita, sikap kita dan amalan kita.

23. Amalan kebiasaan baharu atau new normal mesti kita teruskan. Jangan kerana kes-kes COVID-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Pakai lah. Jangan tak pakai.

24. Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak anda sekurang- kurangnya satu meter dari orang lain. Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan.

25. Saya selalu berpesan supaya saudara-saudari semua elakkan berjabat tangan. Saya tengok sekarang dah ada yang bukan sahaja berjabat tangan, malah berpeluk ketika berjumpa sahabat-handai dan sanak-saudara.

26. Ya, itu bagus untuk eratkan persahabatan dan persaudaraan. Tetapi jangan kita lupa. Kita masih berada dalam fasa pemulihan COVID-19. Jadi amalan-amalan ini walaupun baik dari segi pergaulan sosial, namun ianya amat tidak baik dari segi usaha kita untuk melindungi diri sendiri dan orang-orang di sekeliling kita daripada dijangkiti virus COVID-19.

27. Memandangkan kes-kes positif COVID-19 banyak berlaku dalam kalangan mereka yang pulang atau tiba dari luar negara, Kementerian Kesihatan Malaysia terus memperkukuhkan kawalan di pintu masuk antarabangsa negara. Antara langkah- langkah yang diambil ialah melakukan saringan suhu badan dan gejala jangkitan saluran pernafasan semasa ketibaan, menyemak keputusan saringan PCR COVID-19 yang dilakukan tiga hari sebelum pelawat berlepas ke Malaysia, merujuk kes yang bergejala atau dikesan positif COVID-19 ke hospital, mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah di bawah seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari, memastikan setiap orang yang tiba di Malaysia memuat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera, mewajibkan mereka memakai gelang tangan dan memastikan mereka menjalani ujian pengesanan COVID-19 pada hari ke-13 kuarantin di rumah sebelum diberi pelepasan pada hari ke-14.

28. Saya juga hendak mengingatkan saudara-saudari yang pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dengan penuh berdisiplin. Duduk di bilik yang berasingan dari ahli keluarga yang lain dan jangan sekali-kali keluar dari rumah sepanjang tempoh kuarantin. Anda juga mesti melakukan penilaian status kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala, maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dengan segera. Sekiranya anda gagal mematuhi arahan pengasingan ini, penalti boleh dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika disabitkan kesalahan.

29. Jika perlu, kerajaan akan menempatkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara di pusat-pusat kuarantin untuk mengawal kes-kes import dengan lebih berkesan. Penguatkuasaan undang-undang juga akan ditingkatkan dengan denda yang lebih berat akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

30. Kerajaan juga sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam. Perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.

31. Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP ini, setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners. Ahli keluarga dan anggota masyarakat mestilah sentiasa nasihat-menasihati dan ingat- mengingati antara satu sama lain.

32. Ibu-bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah. Ingatkan mereka supaya jaga penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain- lain. Ingatkan mereka setiap hari. Tak mengapalah kalau dikata berleter pun kerana ini amat penting. Ini kerana kita semua sayangkan keluarga kita.

33. Di tempat kerja, majikan mesti sentiasa ingatkan pekerja supaya patuhi SOP yang ditetapkan. Sentiasalah pantau pekerja anda. Letakkan notis atau peringatan mengenai SOP yang perlu dipatuhi di tempat yang mudah dilihat.

34. Di sekolah, pengetua, guru besar, guru-guru, pengawas dan ketua kelas perlu memainkan peranan yang lebih proaktif. Ingatkan murid-murid dan rakan-rakan anda supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial dan patuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

35. Saya juga nak mengingatkan Ketua-Ketua Kampung, Imam-Imam dan Ketua Komuniti supaya jaga komuniti masing-masing. Ketua Kampung bersama ahli-ahli jawatankuasa kampung misalnya boleh buat lawatan atau rondaan ke tempat-tempat yang sering dikunjungi oleh penduduk kampung masing-masing. Samada di kedai kopi, restoran, pasar pagi atau kedai-kedai menjual barangan keperluan harian. Nasihati mereka supaya memakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial.

36. Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kita akan dapat melalui fasa PKPP ini dengan jayanya.

37. Kita baru sahaja melihat kesan positif daripada tindakan tegas kerajaan dan disiplin rakyat yang tinggi semasa tempoh PKP dilaksanakan. Ekonomi negara kita telah mula rancak kembali dan kita juga telah dapat menikmati semula kehidupan kita dengan mengamalkan kebiasaan baharu.

38. Namun, jangan kita lalai dan alpa. Saya nak mengingatkan sekali lagi pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Jadi sama-samalah kita beristiqamah dalam mengekalkan kejayaan kita melawan wabak COVID-19.

39. Saya doakan semoga kita semua kekal sihat, kekal sejahtera dan kekal aman bahagia.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Sidang Media Menteri Kanan Pendidikan - Pembukaan Sekolah Pasca COVID-19

Alhamdulillah sekolah dah mula nak buka. Moga anak-anak dapat meneruskan pembelajaran dengan lebih teratur dan formal. Anak-anak dah boleh bersiap mencari balik buku-buku sekolah, alat tulis yang entah kemana bersembunyi. Jangan lupa cari balik baju-baju sekolah dan cuba dahulu mana tahu nak kena adjust atau kena beli baharu -  maklumlah cuti panjang badan pun terlebih lemak.



TEKS UCAPAN

RADZI JIDIN MENTERI KANAN PENDIDIKAN 

“PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH BAGI MURID BUKAN KELAS PEPERIKSAAN AWAM”

1 JULAI 2020

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

1. Bersama-sama saya pada petang ini adalah kedua-dua Timbalan Menteri Pendidikan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Pembukaan Semula Sekolah untuk Murid Kelas Peperiksaan dan Prasekolah/Tadika/Tabika

2. Tahun ini adalah tahun yang sangat mencabar dan kita semua tidak pernah lalui situasi Kita dapat lihat seluruh dunia terkesan dengan pandemik COVID-19. Tidak terkecuali negara kita. Pandemik COVID-19 memberi kesan yang cukup mendalam kepada sektor pendidikan. Sekolah terpaksa ditutup selama hampir 4 bulan di mana seramai lebih 5.7 juta orang murid tidak dapat hadir ke sekolah.

3. Dalam usaha memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian atau kaedah lain yang bersesuaian telah dilaksanakan dalam tempoh tersebut. Terima kasih kepada guru atas kesungguhan melaksanakan tanggungjawab dan juga ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak mereka dalam menghadapi situasi yang sukar ini.

4. Kita semua telah berusaha melakukan yang terbaik walaupun terdapat pelbagai kekangan. Namun, kami sedar terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian. Kaedah Home-Based Learning adalah sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, murid dan ibu bapa. Selain itu, ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad. Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan Home-Based Learning agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka. 

5. Jika situasi ini berterusan, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti. Ini akan memberi kesan kepada minat dan motivasi murid untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran. Hubungan murid dengan sekolah juga akan terkesan kerana mereka telah terasing dari suasana persekolahan untuk satu tempoh yang panjang. Kami yakin, murid, ibu bapa dan guru menyedari betapa perlunya sekolah dibuka semula bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat.

6. Susulan itu, berdasarkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), sekolah telah dibuka semula untuk murid kelas peperiksaan awam pada 24 Jun 2020 yang Hari ini, genap seminggu murid Tingkatan 5 dan 6 kembali ke sekolah dengan kehadiran yang memberangsangkan. Sejak sekolah dibuka, purata kehadiran murid di seluruh negara adalah 92.4%.

7. Hari ini juga merupakan hari pertama murid prasekolah, tabika dan tadika kerajaan serta swasta kembali ke sekolah. Alhamdulillah, anak-anak kita ini dapat kembali belajar secara bersemuka dengan kebiasaan baharu di sekolah.

8. Dari segi pemantauan, kami dapati semua sekolah mematuhi garis panduan. Guru dan murid nampaknya begitu teruja dan bersemangat ke sekolah. Ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) turut memberi dokongan dan bantuan kepada pihak sekolah.

9. Bagi memantau kesiapsiagaan sekolah, KPM telah menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah (JPPSS) di peringkat Kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Kami sentiasa memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan murid, guru dan warga sekolah sepanjang mereka berada di sekolah.

10. Di samping itu, Bilik Gerakan Pembukaan Semula Sekolah telah beroperasi mulai 17 Jun 2020. Petugas di bilik gerakan ini akan memberi penjelasan ke atas sebarang persoalan berkaitan pembukaan semula

Model Pengoperasian Pembukaan Penuh Sekolah

11. Pada 10 Jun 2020, kami memaklumkan bahawa pembukaan semula sekolah bagi murid selain daripada kelas peperiksaan awam akan dilaksanakan secara berperingkat, berdasarkan nasihat KKM dan MKN.

12. Tentunya ibu bapa tertanya-tanya, bagaimanakah situasi persekolahan anak-anak apabila sekolah dibuka sepenuhnya kelak?

13. Untuk makluman, ruang dan kapasiti setiap sekolah adalah berbeza. Setelah mengambil kira aspek penjarakan sosial, ada sekolah yang dapat menampung kehadiran murid seperti biasa dan ada juga yang sebaliknya. Oleh yang demikian, pengoperasian sekolah perlu dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan berbeza mengikut kapasiti dan keupayaan masing-masing.

14. Berdasarkan analisis dan perincian yang telah dilaksanakan, KPM telah mengenal pasti 3 model pengoperasian pembukaan penuh sekolah yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing.

15. Model pertama adalah Model Satu Sesi. Model ini ialah untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial.

16. Model kedua adalah Model Dua Sesi. Model ini ialah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.

17. Model yang ketiga adalah Model Penggiliran. Model ini ialah untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi. Kebanyakan sekolah di dalam kategori ini adalah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.

18. Bagi Model Penggiliran untuk sekolah menengah, murid Tingkatan 5 dan 6 perlu hadir ke sekolah setiap hari. Manakala kehadiran murid Tingkatan 1 hingga 4 perlu dibuat secara bergilir-gilir mengikut kelas atau aliran tertentu.

19. Pihak sekolah hendaklah menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan murid. Contohnya, jika sekolah mempunyai ruang yang mencukupi, murid Tingkatan 4 akan turut hadir setiap hari. Keutamaan diberi sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan.

20. Bagaimana pula model penggiliran bagi murid sekolah rendah? Murid Tahun 1 hingga 6 boleh hadir secara bergilir-gilir mengikut kelas atau tahap. Dalam hal ini, pihak sekolah yang menentukan bentuk penggiliran bersesuaian.

21. Untuk model penggiliran ini, kaedah pembelajaran murid adalah secara hybrid, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan secara Home-Based Learning di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah.

22. Maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan dimaklumkan oleh KPM selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya.

Kemasukan Murid Sekolah Berasrama

23. Sudah tentu ada dalam kalangan ibu bapa atau penjaga bagi murid di sekolah berasrama yang bimbang akan keselamatan anak-anak mereka apabila tinggal di asrama kelak.

24. Usah khuatir, kami telah mendapatkan pandangan daripada KKM mengenai langkah-langkah keselamatan di asrama sekolah.

24. Pembukaan semula sekolah berasrama dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing. Asrama yang mempunyai kapasiti yang mencukupi setelah mengambil kira penjarakan sosial akan beroperasi seperti biasa.

26. Manakala, bagi asrama yang mempunyai kapasiti ruang terhad setelah mengambil kira penjarakan sosial, pada peringkat awal, hanya sebahagian murid sahaja dapat tinggal di asrama. Antara kekangan utama adalah penggunaan katil dua tingkat atau double decker.

27. Kami telah meneliti perkara ini bersama-sama KKM. Mengikut saranan KKM, pada peringkat awal kemasukan, murid hanya menggunakan katil bawah Namun, selepas tempoh 14 hari, kumpulan murid baharu dibenarkan masuk ke asrama dengan menempatkan murid sedia ada di katil atas manakala murid baharu di katil bawah. Prosedur ini diteruskan sehingga semua murid dapat tinggal di asrama.

28. Setelah mengambil kira saranan KKM, secara umumnya, untuk asrama yang menggunakan katil dua tingkat, semua murid dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari daripada 24 Jun 2020. Tempoh untuk kembali ke asrama ini bergantung kepada bilangan murid dan akan ditetapkan oleh pihak sekolah.

Tarikh Pembukaan Semula Sekolah Bagi Murid Bukan Kelas Peperiksaan Awam

29. Sudah pasti guru, murid dan ibu bapa tertanya-tanya bilakah tarikh pembukaan penuh sekolah.

30. Berdasarkan penilaian ke atas kesiapsiagaan dan persiapan pembukaan semula sekolah, kami yakin bahawa semua sekolah telah bersedia untuk dibuka semula. Pentadbir sekolah juga telah membuat perancangan teliti bagi menguruskan kemasukan murid sepenuhnya.

31. Namun, dalam membuat keputusan mengenai pembukaan semula sekolah, KPM sentiasa merujuk kepada KKM dan MKN. Berdasarkan situasi semasa penularan wabak COVID-19, KKM dan MKN bersetuju bahawa pembukaan penuh sekolah boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

32. Setelah mengambil kira saranan KKM dan MKN, KPM menetapkan supaya pembukaan semula sekolah untuk murid bukan kelas peperiksaan awam dilaksanakan secara berperingkat.

33. Bagi sekolah menengah, murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 serta murid Kelas Peralihan akan kembali ke sekolah bermula pada hari Rabu, 15 Julai 2020.

34. Untuk sekolah rendah pula, murid Tahun 5 dan Tahun 6 akan kembali ke sekolah pada hari Rabu, 15 Julai Manakala, tarikh pembukaan semula sekolah bagi murid Tahun 1 hingga Tahun 4 adalah pada hari Rabu, 22 Julai 2020.

35. Bagaimana pula dengan kemasukan murid Tingkatan 6 Semester 1 Tahun 2020? Untuk makluman, keputusan penawaran kemasukan calon lepasan SPM 2019 ke Tingkatan 6 Semester 1 Tahun 2020 boleh disemak mulai hari ini melalui portal KPM. Murid akan mendaftar pada hari Rabu, 15 Julai 2020.

36. Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM. Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan.

37. Kami juga banyak menerima pertanyaan bilakah pusat tuisyen, pusat bahasa, pusat perkembangan dan sebagainya boleh dibuka semula. KPM ingin memaklumkan bahawa semua Institusi Pendidikan Swasta di bawah kategori pusat yang berdaftar dengan KPM boleh dibuka semula pada hari Rabu, 15 Julai 2020     


Takwim Persekolahan 

Saudara saudari,

38. Tahun 2020 merupakan tahun yang cukup mencabar bagi KPM. Pandemik COVID-19 merupakan satu situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Oleh yang demikian, penyelesaian untuk isu yang timbul sepanjang tempoh ini tentunya memerlukan pendekatan dan kaedah yang luar dari kebiasaan.

39. Sebagai contoh, meminda takwim persekolahan tahun 2020 merupakan satu cabaran yang amat besar bagi KPM. Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Selama ini takwim persekolahan setiap tahun hampir sama coraknya. Namun tahun ini, keadaannya cukup berbeza.

40. Sepertimana saya jelaskan pada awal tadi, KPM mendapati pengajaran dan pembelajaran murid secara dalam talian dan secara Home-Based Learning adalah kurang berkesan berbanding secara bersemuka.

41. Dalam membuat keputusan yang kompleks sebegini, kami perlu merancang dengan teliti. Kami mesti melihat secara menyeluruh dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang. Perancangan yang dibuat tidak boleh hanya tertumpu untuk tahun ini sahaja. Ini kerana kesan pandemik COVID-19 kepada sektor pendidikan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Apa yang menjadi keutamaan adalah memastikan murid mempunyai tempoh pembelajaran yang mencukupi sebagai persediaan untuk tahun berikutnya.

42. Memandangkan peperiksaan SPM tahun 2020 dijadualkan bermula pada minggu pertama Januari 2021, KPM telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan tersebut. Ini termasuklah memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan tahun 2021 bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun hadapan berjalan Perkara ini akan dimuktamadkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021.

PENUTUP

Ibu bapa, guru dan murid yang dikasihi,

43. Kami memohon jasa baik semua untuk sama-sama bekerjasama dengan KPM bagi memastikan pembukaan semula sekolah bagi semua murid akan dapat berjalan dengan lancar dan anak-anak kita dapat bersekolah dalam keadaan yang selamat.

44. Percayalah, kami di KPM akan terus berikhtiar bersungguh- sungguh dalam menjalankan amanah yang diberikan kepada kami untuk memastikan generasi masa depan negara mendapat pendidikan yang terbaik. Setiap keputusan yang dibuat adalah bertunjangkan kepada asas-asas yang kukuh dengan mengambil kira kepentingan guru, murid dan ibu bapa bagi memastikan usaha untuk melahirkan generasi masa hadapan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dapat dicapai.

Berakit-rakit ke hulu,
   Berenang-renang ke tepian;
Bersakit-sakit dahulu,
    Bersenang-senang kemudian. 

Sekian, terima kasih.

-Tamat-

Kementerian Pendidikan Malaysia
1 Julai 2020 





Big Tas Tea Pokok Sena

Sekarang dalam fasa pemulihan PKPP ini bila tulis pasal makan memang feel dia lain macam sikit. Seronok nak keluar makan ramai-ramai? Dah jemu duduk rumah.

Kali ini kita terjah sebuah restoran hipster sikit sempena birhday big boy, aku lah tu. Ini cerita lama. Jarang-jarang kami ke kedai seperti ini. Terletak disebuah bangunan kedai di Taman Pokok Sena. Nak mudah, terletak di bangunan kedai betul-betul di simpang tiga Pokok Sena (boleh nampak Mr DIY disitu).
Big Tas Tea Pokok Sena.
Boleh tahan pengunjung ramai.

OKlah masuk saja kedalam kedai terasa suasana berubah menjadi suram-suraman maklumlah dinding warna gelap dengan lampu hiasan.

Macam tak tahu nak pilih yang mana.

Kami pilih satu meja panjang untuk memuatkan 6 orang. Pelayan pun datang dengan menu. Disini kebanyakan menunya ala Western. Berbagai jenis chop, grill dan pasta. Boleh tengok menu di bawah.
Berbagai jenai chop dan grill

Pilihan pasta pun berbagai.

Meraikan peminat Korea, ada set ayam korea.

Berbagai jenis air, panas dan sejuk.


Oleh kerana birthday aku, jadi pilih saja menu apa yang nak makan, isteri aku belanja 😁😁😁. Apa nak oder tulis dalam kertas yang diberikan dan serah ke kaunter. Semetara hidangan sampai, anak-anak aku buat kejutan dengan hadiah. Terima kasih bebanyak dengan hadiah, mamang tak dijangkakan.


Tak berapa lama hidangan pun sampai. Jadi layan sahaja gambar kat bawah.
Lasagna. Puas hati dengan daging cinang dan cheese. Sedap memang puas makan saiz besar.

Spageti Meatball.

Fetuchini Carbonara. Memang sedap dia punya sos menjadi.

Korea Chicken kombo. Macam biasa ayam dengan salutan sambal korea. Boleh layan lah.


Lamb Grill, Saiz yang besar, sos black paper memang menjadi. Kambing pun lembut. 


Chicken Grill.


Alhamdulillah kebanyakan menu yang dipesan memang sedap dan saiz hidangan pun besar. Harga pula sedikit mahal bertepatan dengan saiz hidangan dan juga suasana restoran. Dari segi keselesaan mamang amat selesa dengan susun atur meja yang kemas dan ruang makan yang luas tak lah bersesak sesak dan bersih. Dekorasi pula ringkas dan sedap mata memandang. Sesuai nak buat majlis seperti hari jadi.
Alhamdulillah semua bersih. 


Kepada yang hendak datang dibawah sedikit maklumat.

No. 32A, 1, Kampung Baru Pokok Sena,
Taman Pokok Sena,
Kepala Batas, Penang

Telefon:
011-1311 7014

Waktu operas:
Dibuka setiap hari dari jam 3 petang hingga 11 malam.

GPS:
5°29'17.2"N 100°27'27.7"E
5.488116, 100.457683

Lokasi Google Map:

D Seribu Citarasa Nasi Daging

Kalau datang Kepala Batas dan  nak merasa Nasi Daging antara yang tersedap dan tak perlu tunggu pasar malam haa... kena datang sini. Kami dah beberapa kali sampai, D Seribu Nasi Daging. Ada yang tulis D 1000 Nasi Daging.
D Seribu Nasi Daging Pongsu Seribu
Kalau nak makan yang ringkas, cepat dan semesti kenyang dan tak perlu pikir lama-lama nak pilih menu, boleh datang sini. Sebab apa? Sebab disini hanya ada Nasi Daging dan Nasi Ayam sahaja, jangan dok mengada minta bukan-bukan. D 1000 ini dibuka untuk makan tengahari sehingga petang. Tapi jangan sampai lewat petang sangat nanti tinggal meja dan kerusi sahaja.
Ada dua menu utama iaitu Nasi Daging dan Nasi Ayam.

Aku kalau datang sini mesti oder Set Nasi Daging. Set Nasi Daging dengan supnya memang kena dengan selera aku. Saiz set boleh kata besar, nasi banyak kena sepinggan boleh kanyang.

Set Nasi Ayam datang dengan potongan ayam bersama sos, air asam dan sup.

Set Nasi Daging yang ini aku suka. Set datang dengan daging bersama sup dan air asam.

Bagi aku makan disini memang berbaloi. Nasi yang disediakan memang sedap dan harga pon berpatutan. Sebelum aku lupa di sini air boleh ditambah dengan percuma. Ruang makan memang selesa dengan susunan meja yang kemas dan bersih.

Kepada yang hendak merasa Nasi Daging boleh datang ke sini, tak mengecewakan. Di bawah sedikit maklumat.

D Seribu Nasi Daging (D 1000 Nasi Daging)
Kampung Pongsu Seribu,
Kepala Batas, Penang

Telefon:
012-466 4189

Waktu operasi:
Isnin hingga Sabtu dan cuti hari Ahad. Dibuka jam 10.30 pagi hingga 4 petang. Tapi jangan lambat sangat nanti menyesal.

GPS:
5°29'50.9"N 100°26'24.7"E
5.497479, 100.440180

Lokasi Google Map:




Sidang Media Menteri Kanan Pendidikan - COVID -19

Sidang media yang ditunggu-tunggu oleh giru-guru dan juga pelajar. Dah tentu rasa tak sabar nak terus berbakti. Dibawah teks ucapan Menteri Kanan pendidikan.

TEKS UCAPAN

DR. RADZI JIDIN

MENTERI KANAN PENDIDIKAN

“PENGUMUMAN TARIKH PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH”

10 JUN 2020

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh & salam sejahtera,

1. Bersama-sama saya pada petang ini adalah kedua-dua Timbalan Menteri Pendidikan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

2. Jika saudara saudari masih ingat, dalam Sidang Media pada 15 April 2020 yang lalu, saya telah menyatakan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah akan diumumkan sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum sekolah dibuka.

3. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam Perutusan Khas pada 7 Jun 2020 juga ada menyebut bahawa tarikh pembukaan semula sekolah akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.

4. Sebelum kami memaklumkan tentang tarikh pembukaan semula sekolah, izinkan kami memperincikan persiapan rapi yang telah dibuat oleh pihak KPM bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid, guru serta seluruh warga sekolah diberi keutamaan apabila sekolah dibuka kelak.

5. Sebagai persediaan, KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah. Gerak kerja bagi penyediaan Garis Panduan ini telah bermula pada awal April 2020. Kami di KPM sentiasa bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan Garis Panduan yang disediakan menepati peraturan dan keperluan yang ditetapkan oleh KKM dan MKN. Garis Panduan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta, dan mana-mana institusi yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disaran menggunakan Garis Panduan ini.

6. Untuk makluman semua, Garis Panduan ini telah mendapat pengesahan daripada KKM. Di samping itu, kebolehlaksanaan Garis Panduan pembukaan semula sekolah telah dicuba di dua belas (12) buah sekolah di bawah KPM dan lapan (8) buah institusi pendidikan swasta (IPS) pada awal Mei 2020.

7. Saya bersama-sama Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah MKN dan pegawai-pegawai kanan KPM telah mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah untuk melihat persiapan pembukaan semula sekolah berdasarkan Garis Panduan yang telah disediakan.

8. Berdasarkan penilaian yang dibuat, pihak KPM, KKM dan MKN berpuas hati dengan kebolehlaksanaan Garis Panduan tersebut. Oleh itu, KPM telah mengedarkan Garis Panduan ini pada 4 Jun 2020 sebagai panduan kepada semua sekolah supaya persiapan rapi dapat dibuat sebelum sekolah dibuka kelak.

9. Seperti mana yang pernah saya maklumkan, pembukaan semula sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat. Sebagai permulaan, pembukaan sekolah hanya melibatkan murid kelas-kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

10. Saya pasti ibu bapa tertanya-tanya bagaimana keselamatan anak-anak apabila sekolah dibuka semula nanti. Jangan bimbang, kami yakin dengan kerjasama ibu bapa, guru-guru dan anak-anak dalam mematuhi Garis Panduan yang telah dikeluarkan, anak-anak kita akan dapat hadir ke sekolah dan mengikuti pembelajaran dalam keadaan selamat.

11. Dalam hal ini, kami amat berharap agar ibu bapa atau penjaga dapat memastikan bahawa anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah.

12. Sekiranya, ibu bapa atau penjaga mendapati anak-anak tidak sihat atau bergejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas, tolonglah jangan hantar mereka ke sekolah. Sebaiknya bawalah anak-anak ini membuat pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya.

13. Saya ingin kongsikan serba sedikit gambaran awal pergerakan di sekolah nanti. Apabila murid sampai di sekolah, guru-guru bertugas akan memeriksa suhu badan mereka di pintu masuk sekolah. Pemeriksaan suhu badan juga akan dibuat kepada guru, warga sekolah dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah.

14. Sesiapa yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5⁰C atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah.

15. Setelah pemeriksaan suhu badan dibuat, murid perlu mengikut laluan pergerakan terarah yang telah ditetapkan untuk menuju ke kelas masing-masing.

16. Sewaktu di sekolah, murid akan diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, terutamanya amalan mencuci tangan dengan kerap. Contohnya, apabila murid tiba di sekolah, pada waktu rehat dan sebelum meninggalkan sekolah.

17. Di dalam kelas nanti, meja-meja disusun pada jarak satu (1) meter. Secara umumnya, kapasiti maksimum untuk sebuah kelas dengan mengambil kira penjarakan sosial adalah tidak melebihi 20 murid. Namun, untuk ruang yang lebih besar seperti dewan sekolah, kapasiti tentunya lebih tinggi.

18. Bagaimana pula keadaannya pada waktu rehat? Tentunya ibu bapa membayangkan anak-anak bersesak-sesak di kantin. Jangan risau, waktu rehat adalah secara berperingkat.

19. Di kantin nanti, makanan dan minuman akan siap dibungkus. Murid perlu beratur mengikut tanda penjarakan semasa membeli makanan di kantin. Murid akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru.

20. Ibu bapa atau penjaga juga digalakkan menyediakan bekal makanan untuk anak-anak mereka.

21. Selain daripada pengawasan guru di sekolah, kami mohon jasa baik ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa berpesan kepada anak-anak agar mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri pada setiap masa.

22. Di samping itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga digalakkan untuk berganding bahu bersama pihak sekolah dalam membuat persiapan sebelum sekolah dibuka dan juga semasa sekolah beroperasi.

23. Aktiviti di luar bilik darjah, seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan. Begitu juga dengan perhimpunan sekolah.

24. Bagaimana pula keadaannya di asrama? Di peringkat permulaan ini, hanya murid kelas peperiksaan awam sahaja yang akan ke asrama.

25. Dalam bilik asrama, katil-katil disusun pada jarak satu (1) meter. Bilangan katil bagi setiap bilik adalah bergantung kepada keluasan bilik.

26. Selain itu, penggiliran waktu makan akan dilaksanakan mengikut bilangan murid. Susunan meja di dewan makan akan turut mengambil kira keperluan penjarakan sosial.

27. Saudara saudari, ingin saya jelaskan bahawa Garis Panduan ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan nasihat KKM mengikut keperluan dan kesesuaian.

28. Kami sedar, ibu bapa, guru dan anak-anak ternanti-nanti bilakah tarikh sebenar sekolah akan dibuka semula.

29. Untuk makluman semua, setelah mengambil kira pandangan dan nasihat KKM dan MKN, KPM telah menetapkan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara adalah pada hari Rabu, 24 Jun 2020.

30. Sekali lagi kami memohon jasa baik ibu bapa untuk memastikan hanya anak-anak sihat dihantar ke sekolah. Anak-anak juga perlu mematuhi Garis Panduan yang disediakan semasa di sekolah. Warga sekolah juga mesti sentiasa mematuhi Garis Panduan KPM.

31. Tentunya ibu bapa yang mempunyai anak-anak selain daripada kelas peperiksaan awam tertanya-tanya bilakah pula anak mereka akan ke sekolah?

32. Seperti yang telah saya maklumkan, sekolah akan dibuka secara berperingkat. KPM akan mengumumkan sebarang perkembangan berkaitan perkara ini dari semasa ke semasa.

33. Buat masa ini, pembelajaran di rumah akan diteruskan. Memandangkan guru-guru telah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah.

34. Alhamdulillah, pada hari ini kita telah pun memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Ini semua adalah hasil usaha gigih barisan hadapan negara serta pematuhan masyarakat ke atas saranan Kerajaan dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19.

35. Kami di KPM amat berharap agar pembukaan semula sekolah mulai 24 Jun 2020 ini berjalan lancar bagi membolehkan anak-anak dapat meneruskan persekolahan dalam keadaan selamat. Apa yang penting kita semua perlu terus patuh kepada arahan dan saranan Kerajaan. “Kata seorang dibulati, kata bersama diperiakan”. Sama-sama kita doakan agar keadaan akan pulih sepenuhnya dan semua murid akan dapat kembali ke sekolah.

Sekian, terima kasih.

Kementerian Pendidikan Malaysia

10 Jun 2020

Perutusan PM - PKP fasa 6

Kali ini PM kita perkenalkan fasa pemulihan iaitu PKPP - Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dari 10 Jun hingga 31 Ogos. Sekarang dibolehkan rentas negeri kecuali kekawasan yang masih PKPD.

Semua aktiviti perniagaan, sukan, ibadat sekolah akan beroperasi semula secara berperingkat.

Tapi ada yang masih dilarang seperti pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara, rumah terbuka. Jangan dok balun sama rata.

Sekarang bergantung kepada setiap masyarakat untuk membendung penularan COVID-19.

Diperkenalkan aplikasi MYSEJAHTERA untuk menilai kesihatan.

Harap ini fasa terakhir. Di bawah teks ucapan PM.


TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

PERDANA MENTERI MALAYSIA

PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN (PKPP)

7 JUN 2020 (AHAD)

Bismillahirrahmannirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Apa khabar semua? Saya doakan semoga saudara dan saudari sihat walafiat.

1. Pada Petang Jumaat yang lalu saya telah mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA dengan 40 inisiatif bernilai RM35 billion untuk membantu usaha pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19. Pada petang ini pula saya akan mengumumkan beberapa langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memasuki fasa pemulihan COVID-19. Fasa pemulihan ini adalah sebahagian daripada exit strategy atau strategi keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sejak 4 Mei 2020.

2. Alhamdulillah, sejak PKP dan PKPB dilaksanakan kadar jangkitan COVID-19 di negara kita menunjukkan trend yang semakin menurun. Satistik Kementerian Kesihatan memperlihatkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan semakin rendah dan terkawal. Kebanyakan kes yang dicatatkan sejak kebelakangan ini adalah kes import dan kes-kes yang melibatkan pendatang asing tanpa izin di depot-depot tahanan imigresen. Kita bersyukur kerana tindakan pantas para petugas barisan hadapan telah berjaya membendung penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan di depot imigeren dan keadaan pada masa ini adalah terkawal. Pada masa yang sama, kapasiti perubatan dan kesihatan awam negara kita juga berada pada tahap yang lebih baik dan meyakinkan. Ini menunjukkan Malaysia telah berjaya membendung penularan COVID-19 dengan berkesan dan kini sedang memasuki fasa pemulihan.

3. Saya nak mengucapkan syabas kepada para petugas barisan hadapan dan anda semua yang telah menyumbang kepada kejayaan kita membendung wabak COVID-19. Kejayaan ini adalah kejayaan anda semua. Anda telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan sepanjang PKP dan PKPB dilaksanakan.

4. Oleh itu, pada petang ini saya nak mengumumkan satu berita yang agak melegakan kepada anda semua. PKPB yang akan berakhir pada 9 Jun 2020 akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP yang akan bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020. Dalam tempoh PKPP ini, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada saudara-saudari untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

5. Mulai 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD. Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu-bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian. Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung. Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan.

6. Dalam tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP. Sepertimana yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan, perkhidmatan gunting rambut dan salun akan dibenarkan. Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan juga akan dibenarkan.

7. Selain itu, aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan. Termasuk dalam senarai yang dibenarkan juga ialah lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem. Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.

8. Dalam kategori sukan, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP. Ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain. Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan. Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bolasepak, bola keranjang dan hoki.

9. Selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan. Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau new normal setelah hampir 3 bulan tidak ke mana-mana. Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup.

10. Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, saya nak sampaikan berita baik. Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam. Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi.

11. Bagi ibu-bapa yang ada anak yang bersekolah, pastinya saudara-saudari tertanya-tanya bila sekolah akan dibuka. Untuk makluman saudara-saudari, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP ini setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan. Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi.

12. Dalam tempoh pemulihan menuju normalisasi ini, beberapa aktiviti dan sektor di dalam senarai negatif semasa PKPB akan dilonggarkan atau dibuka berdasarkan SOP yang ditetapkan. Umpamanya, waktu operasi perniagaan akan kembali seperti biasa dengan pelaksanaan kebiasaan baharu yang melibatkan pemilik premis dan pelanggan. Penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka di tempat awam dan membasuh tangan menggunakan sabun atau hand sanitizer merupakan kebiasaan baharu yang mesti diamalkan.

13. Walaupun saya telah mengumumkan banyak kelonggaran, ini tidak bermakna tiada lagi apa-apa sekatan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengawal penularan COVID-19. Beberapa aktiviti atau sektor masih dillarang. Ini termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara, rumah terbuka dan apa-apa aktiviti lain yang melibatkan kehadiran orang ramai yang bersesak di suatu tempat sehingga menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan kepada SOP.

14. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut senarai aktiviti atau sektor yang dibenarakan dan yang tidak dibenarkan, saudara-saudari bolehlah layari laman web Majlis Keselamatan Negara.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

15. Kerajaan akan melaksanakan PKPP dengan berteraskan 7 Strategi iaitu:

• Pengukuhan Kesihatan Awam;
• Perundangan dan Penguatkuasaan;
• Pengukuhan Kawalan Sempadan;
• Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi;
• Pembudayaan Kebiasaan Baharu;
• Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti; dan
• Perlindungan Golongan Berisiko.

16. Strategi ini akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan. Manakala di peringkat kerajaan negeri pula, strategi ini akan dilaksanakan melalui jawatankuasa yang diwujudkan oleh YAB Menteri Besar dan Ketua Menteri. Pelaksanaan strategi ini pastinya memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk jentera kerajaan pusat dan negeri, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin dan ketua komuniti.

17. Sejak PKP dilaksanakan hampir 3 bulan yang lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi dan langkah yang wajar dalam menangani dan membendung wabak COVID-19. Banyak kawalan dan sekatan yang dikenakan ke atas saudara dan saudari sekalian. Itu tak boleh, ini tak boleh dan sebagainya. Namun, saya sedar kerajaan tidak boleh mengawal kehidupan saudara-saudari buat selama-lamanya untuk menghindari jangkitan wabak ini. Saya tahu saudara-saudari juga mahu menjalani kehidupan seperti biasa. Saudara-saudari ingin keluar bekerja, berniaga, beriadah, melancong bersama keluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti lain dalam kehidupan seharian.

18. Jadi, kini tibalah masanya kerajaan memberikan lebih banyak kelonggaran kepada saudara-saudari dengan syarat saudara-saudari sendiri mengambil tanggungjawab secara serius untuk mengamalkan kebiasaan baharu kehidupan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Ini bermakna, tanggungjawab untuk memastikan wabak COVID-19 kekal terkawal berada di tangan saudara dan saudari sekalian. Saya juga ingin menekankan kepentingan peranan pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung, ketua komuniti dan pemimpin NGO dalam membendung penularan wabak ini dengan memastikan semua anggota masyarakat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Tidak kurang pentingnya ialah peranan majikan. Para majikan juga mestilah memastikan semua pekerja mematuhi SOP di tempat kerja.

19. Jika saudara dan saudari semua terus berdisiplin dan beristiqamah, saya percaya insyaAllah penularan wabak ini akan kekal terkawal dan kita akan memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020 sehinggalah vaksin untuk virus COVID-19 ditemui. Namun, saya ingin mengingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di kawasan atau lokaliti yang berkenaan. Saya harap kita semua sentiasa berdisiplin supaya peningkatan kes COVID 19 dapat kita elakkan.

20. Sehubungan dengan pelaksanaan PKPP ini, saya menyeru saudara dan saudari semua untuk menggunapakai aplikasi MySejahtera yang telah dibangunkan oleh kerajaan untuk membolehkan saudara-saudari melaksanakan penilaian kesihatan kendiri. Aplikasi ini juga akan membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan yang cepat, tepat dan berkesan untuk mengenalpasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat.

21. Apa yang penting ialah kita semua mestilah bersedia untuk membudayakan kebiasaan baharu dalam kehidupan kita. Ya adakalanya kita merasakan sedikit sukar untuk mengamalkannya tetapi percayalah setiap kesukaran itu akan disusuli dengan kesenangan. 

Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-Syarhu ayat 4 dan 5: Yang bermaksud: 

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sekali lagi ditegaskan, bahawa sesungguhnya tiap- tiap kesukaran disertai kemudahan. 

22. Akhirnya, saya berdoa semoga kesihatan dan kesejahteraan kita sentiasa terpelihara dan kita semua dapat menjalani kehidupan yang bahagia bersama keluarga dan orang-orang yang tersayang. Wabillahi al-taufil walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Perutusan PM - Pekej Jana Ekonomi COVID-19

Hari ini sekali lagi PM buat perutusan untuk merangsang ekonomi dan membantu rakyat yang terkesan dengan wabak COVID-19. Dibawah teks ucapan PM.


TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

PERDANA MENTERI MALAYSIA PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

5 JUN 2020 (JUMAAT)

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

1. Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat dan telahpun menyambut Hari Raya Aidilfitri serta Hari Gawai dan Pesta Kaamatan dengan penuh kesyukuran walaupun sambutan kali ini agak berbeza. Hari ini sudah 13 Syawal dan mungkin juga ada yang sudah selesai berpuasa enam. Kalau yang belum mula, masih ada masa.

2. Sejak 2 minggu yang lalu, saya telah menjalani kuarantin di rumah kerana dikategorikan sebagai kontak rapat seorang pegawai kerajaan yang disahkan positif COVID-19. Apa yang berlaku ini tidak dijangka. Tetapi inilah sifat virus yang sedang kita hadapi. Kita tidak tahu bila dan di mana kita mungkin berada dalam keadaan berisiko dijangkiti virus ini.

3. Namun, Alhamdulillah keputusan saringan saya dan semua kontak rapat yang lain adalah negatif. Saya fikir antara sebabnya ialah penjarakan sosial yang sentiasa diamalkan dalam semua mesyuarat dan pertemuan yang saya hadir. Ini menunjukkan betapa pentingnya kita mengamalkan penjarakan sosial untuk mengelakkan diri kita daripada dijangkiti virus ini. Jadi, nasihat saya kepada saudara-saudari amalkanlah penjarakan sosial walau di mana sahaja saudara-saudari berada. Ia mungkin pelindung atau benteng terakhir sudara-saudari daripada ancaman jangkitan COVID-19.

4. Kita telahpun mengharungi krisis COVID-19 hampir 3 bulan. Para petugas barisan hadapan dan pasukan keselamatan bekerja siang dan malam tanpa cuti ataupun rehat di hujung minggu. Alhamdulillah, dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan dan disiplin anda semua, penularan COVID-19 di negara kita telah dapat dibendung dengan lebih 80 peratus kes pulih sepenuhnya. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di atas pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan.

5. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang terus mematuhi SOP dalam menjalankan aktiviti hariansepanjang tempoh PKP dan PKP Bersyarat dilaksanakan. Sekiranya kita dapat terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan kes COVID-19 kekal terkawal, saya yakin sektor-sektor yang masih dilarang pada masa ini akan dapat dibuka dengan lebih cepat.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

6. Menyantuni Titah Diraja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-14 yang lepas, Baginda telah bertitah agar Jemaah Menteri melaksanakan segala amanah dengan jujur dan penuh tanggungjawab serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata. Menjunjung titah Tuanku, saya kerap mengingatkan Jemaah Menteri agar sentiasa komited dan ikhlas dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

7. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi situasi ekonomi yang agak mencabar pada waktu ini. Akibat penularan wabak COVID-19, ekonomi dunia kini menghadapi krisis yang terburuk sejak zaman Kemelesetan Ekonomi atau Great Depression pada tahun 1930-an. Kadar pengangguran dijangka akan meningkat kepada dua angka di Amerika Syarikat, India, Kanada, Sepanyol dan China. Konflik perdagangan serta pergolakan politik di beberapa negara akan memburukkan lagi keadaan. Ini sekaligus memberi kesan yang lebih negatif kepada ekonomi dunia.

8. Berdasarkan unjuran IMF pada bulan April 2020, pertumbuhan ekonomi dunia adalah pada kadar negatif 3 peratus. Buat kali pertama sejak kemelesetan ekonomi pada tahun 1930-an, negara-negara maju dan membangun mengalami penguncupan ekonomi.

9. Saya ingin mengambil sikap berterus-terang dengan saudara dan saudari semua mengenai kedudukan ekonomi negara kita. Seperti negara-negara lain, Malaysia juga menghadapi cabaran yang agak getir. Kadar pengangguran di Malaysia adalah di paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang pada bulan Mac 2020. Mengikut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei 2020, kadar pengangguran dijangka akan meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur untuk keseluruhan tahun 2020. Dengan mengambil kira situasi yang mencabar ini, ekonomi Malaysia dijangka menguncup pada suku kedua tahun ini berikutan usaha pembendungan penularan wabak COVID-19 yang masih dijalankan di peringkat global dan dalam negara.

10. Untuk menangani situasi semasa ekonomi dan meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat, Kerajaan telah memperkenalkan pakej-pakej rangsangan ekonomi, termasuk Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan berjumlah RM260 bilion.

11. Susulan itu juga, pada 4 Mei yang lepas Kerajaan telah membenarkan pembukaan beberapa sektor bagi menjamin kelangsungan ekonomi negara.

12. Sehingga 2 Jun 2020, Jabatan Perangkaan mendapati bahawa lebih kurang 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei 2020.

13. Alhamdulillah, pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan beban aliran tunai hampir 11 juta rakyat serta memberi sokongan kepada lebih 300 ribu syarikat. Pelaksanaan Pakej PRIHATIN masih berterusan pada masa ini.

14. Walaupun sektor-sektor ekonomi telah dibuka, kita bersyukur kerana wabak COVID-19 kekal terkawal. Sehingga kini tidak berlaku peningkatan mendadak atau spike kes-kes positif COVID-19. Ini kerana majikan, peniaga, pekerja dan pelanggan di premis-premis perniagaan rata-ratanya mematuhi arahan garis panduan dan SOP yang ditetapkan.

15. Banyak juga premis yang memudahkan pelanggan dengan hanya mengimbas kod QR tanpa perlu lagi mendaftar nama dan nombor telefon di dalam buku. Saya juga dapati rakyat sabar berbaris sebelum memasuki premis seperti pasaraya dan kedai makan serta mengamalkan penjarakan sosial. Inilah “New Normal” atau Kebiasaan Baharu yang perlu diamalkan oleh kita semua. Teruskanlah amalan ini dengan penuh disiplin.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

16. Sepertimana yang telah saya kongsi sebelum ini, strategi Kerajaan dalam menangani cabaran COVID-19 merangkumi 6 pendekatan atau dikenali sebagai “6R” iaitu Ketegasan (Resolve), Ketahanan (Resilience), Memulakan semula (Restart), Pemulihan (Recovery), Memperkasa (Revitalise) dan Menyusun Semula (Reform).

17. Kita bakal memasuki tahap keempat iaitu Pemulihan atau Recovery.

18. Maka pada hari ini, mengambil keberkatan hari Jumaat penghulu segala hari, sukacita saya memaklumkan Kerajaan akan memperkenalkan PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA atau secara ringkasnya PENJANA dengan tema “Bersama Menjana Ekonomi”.

19. Di bawah PENJANA, Kerajaan telah mengenalpasti 3 teras utama iaitu:

Pertama: Memperkasakan Rakyat (Empower People);

Kedua: Melonjakkan Perniagaan (Propel businesses); dan

Ketiga: Merangsang Ekonomi (Stimulate the economy)

20. Secara keseluruhan, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA. Daripada jumlah ini, sebanyak RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada Kerajaan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

21. Saya tahu ramai dalam kalangan saudara saudari yang bimbang akan risiko kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan berikutan banyak sektor dan aktiviti ekonomi terjejas dalam tempoh PKP. Saya faham ekonomi akan mengambil masa untuk pulih dan terdapat golongan masyarakat yang masih memerlukan bantuan sepanjang tempoh pemulihan ekonomi.

22. Untuk menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan memastikan pengekalan pekerjaan, Kerajaan akan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang akan memanfaatkan seramai 3 juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif.

23. Pertama, Perluasan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion. Sejak diperkenalkan dalam Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan, program subsidi upah telah disambut baik oleh pekerja dan majikan. Program selama 3 bulan ini telah berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan. Bagi membantu syarikat dalam tempoh peralihan pembukaan semula ekonomi, Kerajaan akan melanjutkan subsidi upah ini selama tiga bulan lagi. Memandangkan ekonomi telahpun dibuka secara berperingkat, subsidi upah ini ditetapkan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksima 200 pekerja bagi setiap syarikat.

24. Bagi pekerja sektor pelancongan dan sektor-sektor yang tersenarai dalam aktiviti ekonomi yang dilarang sepanjang tempoh PKPB, serta telah diarahkan mengambil cuti tanpa gaji, majikan boleh memohon subsidi upah dengan syarat pekerja tersebut menerima bayaran subsidi secara langsung.

25. Kedua, Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion. Bagi menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan, Kerajaan akan memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja di mana syarikat akan diberikan insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia. Dianggarkan 300 ribu pencari kerja akan mendapat manfaat melalui dua insentif iaitu:

Pertama: Insentif bagi menggaji penggangur berumur di bawah 40 tahun sebanyak RM800 sebulan bagi setiap pekerja; dan

Kedua: Insentif bagi menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan OKU sebanyak RM1,000 sebulan.

Insentif-insentif ini akan diberikan selama 6 bulan.

26. Bagi membantu dan menggalakkan penganggur meningkatkan kemahiran, elaun latihan sehingga RM4,000 boleh dituntut daripada PERKESO oleh mereka yang hilang pekerjaan, walaupun mereka bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan.

27. Bagi menangani isu kadar pengangguran belia dan meningkatkan kebolehpasaran graduan, Kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan.

28. Inisiatif seterusnya ialah Kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia. Ini akan memanfaatkan lebih daripada 200 ribu orang.

29. Bagi golongan belia, ini termasuklah program latihan dan penempatan (place and train), pelaksanaan kursus jangka pendek di institusi-institusi terpilih dan subsidi latihan.

30. Seterusnya, bagi golongan penganggur pula, Kerajaan akan melaksanakan program peningkatan kemahiran (upskilling) di dalam industri penting seperti elektrik dan elektronik serta teknologi maklumat dan komunikasi dan menggalakkan penyambungan pembelajaran melalui kursus jangka pendek dan subsidi latihan.

31. Kerajaan juga akan merangka dasar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja dalam sektor ini. Sebagai Kerajaan yang prihatin terhadap keselamatan sosial dan kebajikan golongan ini, sebanyak RM75 juta akan diperuntukkan bagi langkah-langkah berikut:

Pertama: Geran sejumlah RM50 juta dalam bentuk dana padanan akan diperuntukkan bagi platform ekonomi gig untuk mencarum bagi pekerjanya di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO dan Skim i-Saraan KWSP; dan

Kedua: Peruntukan sebanyak RM25 juta kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (GLOW) yang bertujuan untuk membimbing rakyat Malaysia menjana pendapatan dalam talian melalui pelanggan antarabangsa.

32. Bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan kesemua inisiatif di atas, Kerajaan akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia dengan wakil-wakil dari sektor swasta dan sektor awam yang berkaitan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

33. Selaras dengan saranan Kerajaan yang menggalakkan majikan, terutamanya industri PKS untuk melaksanakan konsep bekerja dari rumah atau work from home, insentif percukaian dan juga perlindungan insuran pekerjaan akan diberikan. Sebagai contoh, pengecualian cukai pendapatan sehingga RM5,000 kepada pekerja yang menerima manfaat dalam bentuk telefon bimbit, komputer riba atau tablet daripada majikan.

34. Bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar semula anak-anak mereka ke taska, Kerajaan akan memberikan geran kepada pengendali taska untuk mematuhi dan melaksanakan SOP yang ditetapkan. Selain itu, e-Baucar akan disediakan untuk perkhidmatan pengasuh kanak-kanak yang ditempah dalam talian dan juga insentif cukai pendapatan individu untuk yuran yang dibayar kepada taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak sehingga RM3,000. Langkah ini akan dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat dan LHDN.

35. Saya memahami keperluan saudara-saudari yang menggunakan pengangkutan awam untuk keluar bekerja dan melakukan aktiviti-aktiviti lain. Bagi meringankan beban kos pengangkutan, Kerajaan akan memperkenalkan Program MY30 di mana pengguna hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang. Inisiatif ini terbuka kepada semua warganegara dan akan berkuatkuasa mulai 15 Jun hingga hujung 2020. Saya ingin mengingatkan saudara- saudari supaya mematuhi SOP dan mengamalkan penjarakan sosial ketika menggunakan pengangkutan awam.

36. Kerajaan juga sentiasa mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan kumpulan sasar seperti OKU dan ibu tunggal. Sehubungan itu, lebih 300,000 OKU dan ibu tunggal yang tersenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat layak menerima bantuan one-off sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban mereka. Bayaran ini InshaAllah akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha. Kerajaan juga akan memperuntukkan geran kepada pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan.

37. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan inisiatif “GLC Penjana Komuniti”. Tujuan program ini adalah untuk menggalakkan GLC mengangkat sesebuah komuniti dan menjalankan usaha bagi membangunkan keupayaan sosio-ekonomi komuniti tersebut.

38. Selain itu, kemudahan skim PEKA B40 akan diperkasakan dengan penambahan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membiayai saringan kesihatan dan kemudahan peralatan perubatan.

39. Dengan norma baharu, adalah penting untuk kita memastikan kelangsungan kehidupan harian terutamanya dalam aspek pekerjaan dan juga pendidikan untuk anak-anak. Justeru, Kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi akan menyediakan perkhidmatan internet dengan kapasiti 1 gigabyte secara percuma untuk semua pengguna dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari untuk melayari laman web berkaitan pendidikan dan aplikasi persidangan video. Perkhidmatan internet percuma ini akan disediakan sehingga 31 Disember 2020. Selain itu, semua pengguna akan dapat mengakses secara percuma tanpa had laman web Kerajaan serta aplikasi COVID-19 Kerajaan, khususnya mySejahtera.

40. Sepanjang tempoh PKP, semua jenis perniagaan menghadapi pelbagai cabaran. Penutupan ekonomi selama dua bulan telah menyebabkan perniagaan menghadapi masalah aliran tunai termasuk untuk membayar gaji pekerja dan sewa premis.

41. Setelah ekonomi dibuka semula, Kerajaan juga telah menerima maklumbalas daripada sektor perniagaan mengenai pengurangan permintaan daripada pelanggan, serta ketidakupayaan peniaga untuk menggunakan teknologi digital bagi menjana jualan atas talian. Sehubungan itu, Kerajaan akan membantu setiap perniagaan, sama ada besar atau kecil, menerusi beberapa langkah.

42. Dalam usaha mendorong perusahaan mikro dan PKS beralih kepada khidmat digital atau atas talian, Kerajaan bersama sektor swasta akan membiayai usaha tersebut melalui geran padanan sebanyak RM140 juta. Peruntukan ini akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan. Inisiatif ini akan diterajui oleh MDEC bersama platform e-dagang yang terpilih.

43. Kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta akan menjalankan kempen “Shop Malaysia Online” bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara atas talian, di mana kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberi melalui platform e-dagang. Sebagai permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM70 juta yang akan dipadankan dengan jumlah yang sama oleh platform e-dagang.

44. Seterusnya, bagi PKS dan syarikat di peringkat pertengahan atau mid-tier companies, Kerajaan akan meneruskan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta untuk membolehkan lebih banyak syarikat melanggan atau menggunakan perkhidmatan digitalisasi. Ini termasuk:

Pertama: RM100 juta Geran Padanan Digital PKS yang akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi;

Kedua: RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah; dan

Ketiga: RM100 juta Geran Automasi Pintar, di mana setiap syarikat yang layak akan menerima geran sehingga RM1 juta.

45. Dalam usaha membantu kelangsungan PKS yang terlibat dalam sektor kepentingan yang disasarkan, sektor perbankan akan menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS PENJANA. Pembiayaan ini boleh dipohon mulai pertengahan Jun 2020 dengan had sehingga RM500 ribu bagi setiap PKS.

46. Untuk membantu sektor pelancongan, Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA bernilah RM1 bilion akan ditawarkan untuk membiayai inisiatif transformasi oleh PKS dalam sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu. Perincian dana ini akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Julai 2020.

47. Untuk perusahaan mikro pula, Kerajaan akan mewujudkan Pembiayaan Mikro PENJANA dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional bagi pembiayaan sebanyak RM400 juta di mana RM50 juta akan dikhususkan kepada usahawan wanita.

48. Dalam usaha untuk memperkasakan penglibatan Bumiputera dan memastikan kelangsungan dalam bidang perniagaan dan keusahawan, pembiayaan sebanyak RM200 juta akan ditawarkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Selain itu, RM300 juta akan disalurkan kepada MARA di mana usahawan Bumputera termasuk institut kemahiran yang terjejas boleh mendapatkan pembiayaan untuk modal kerja.

49. Di samping itu, bagi membantu aliran tunai PKS, mulai awal Julai, SME Bank melalui Skim SME-GO akan menyediakan pembiayaan kepada 16,000 kontraktor Gred G2 dan G3 yang berkelayakan dan telah mendapat projek di bawah PRIHATIN. Bagi memberi kemudahan kepada pihak kontraktor, tiada cagaran atau deposit perlu disediakan.

50. Kerajaan menyeru syarikat berkaitan kerajaan, badan-badan korporat dan institusi kewangan agar mempercepatkan pembayaran kepada pembekal mereka. Beberapa GLC dan badan korporat seperti Axiata, TNB, Telekom Malaysia dan Petronas telahpun berbuat demikian.

51. Oleh kerana pelaksanaan PKP telah menjejaskan aktiviti perniagaan dan menyebabkan masalah aliran tunai, Kerajaan akan memberikan insentif cukai dalam pelbagai bentuk termasuklah potongan cukai berkait dengan perbelanjaan untuk operasi dalam kebiasaan baharu seperti pembelian PPE dan kos ujian saringan. Selain itu, Kerajaan juga akan memberikan remisi penalti untuk bayaran lewat cukai dan juga melanjutkan tempoh perbelanjaan pengubahsuaian dan pembaharuan premis. Tambahan lagi, Elaun Modal Dipercepatkan dan potongan cukai khas sebanyak 30 peratus bagi pengurangan sewa premis akan dilanjutkan.

52. Kerajaan menghargai usaha yang dilakukan oleh Perusahaan Sosial atau Social Enterprise dalam mengimbangi matlamat perniagaan dan tanggungjawab sosial. Saya dimaklumkan semasa tempoh PKP, walaupun beberapa Perusahaan Sosial sukar untuk beroperasi, namun mereka terus berusaha mengumpul dana untuk membantu masyarakat yang disasarkan terutama golongan terpinggir. Kerajaan akan menyediakan geran padanan melalui Malaysian Global Innovation and Creativity Center (MaGIC) berjumlah RM10 juta kepada Perusahaan Sosial yang berjaya mengumpul sumbangan untuk melaksanakan projek sosial bagi menangani isu yang dihadapi oleh komuniti sasar dengan menggunakan kaedah inovatif.

53. Dalam usaha Kerajaan untuk membantu lebih 900 ribu perusahaan kecil dan sederhana dan usahawan tempatan, beberapa langkah dan insentif cukai akan dilaksanakan:

Pertama: Bagi menggalakkan penubuhan entiti baharu PKS, Kerajaan bersetuju untuk memberikan rebat cukai pendapatan sehingga RM20,000 bagi setiap tahun untuk tempoh tiga tahun taksiran pertama tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Rebat cukai pendapatan ini diberikan kepada syarikat baharu yang ditubuhkan dan beroperasi antara 1 Julai 2020 dan 31 Disember 2021; dan

Kedua: Bagi menggalakkan PKS meningkatkan daya saing dalam menjalankan perniagaan melalui skim pencantuman dan pemerolehan atau merger & acquisition, Kerajaan bersetuju memberikan pengecualian duti setem ke atas surat cara berkaitan percantuman atau pemerolehan bagi transaksi yang disempurnakan antara 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

54. Secara umumnya COVID-19 telah mengubah cara ekonomi beroperasi. Untuk terus menjadikan negara kita sebagai destinasi pelaburan utama, adalah penting untuk kita memberitahu dunia bahawa ekonomi kita tetap berdaya saing dan terbuka untuk perniagaan. Malaysia kini berada di kedudukan ke-12 di dunia dalam kategori kemudahan menjalankan perniagaan dan ke-3 di Asia Pasifik. Sehubungan itu, PENJANA akan mengumumkan beberapa pakej dan program pelaburan, insentif pengecualian cukai dan kemudahan pembiayaan yang inklusif.

55. Untuk memacu pemulihan ekonomi negara melalui proses digitalisasi perniagaan, Kerajaan akan menubuhkan Dana Penjana Nasional berjumlah RM1.2 bilion dengan peruntukan RM600 juta daripada kerajaan dan dipadankan dengan RM600 juta daripada pelabur domestik dan antarabangsa. Dana ini akan digunakan untuk memupuk inovasi dan mengembangkan bakat modal teroka tempatan atau domestic venture capital. Antara pelabur antarabangsa yang berminat untuk turut serta ialah SK Group, Hanwha Asset Management, KB Investment Co Ltd, Provident Growth, 500 Startups dan The Hive.

56. Untuk melengkapkan usaha digitalisasi, Kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi menubuhkan National Technology and Innovation Sandbox yang akan diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan memberi kelonggaran beberapa peraturan untuk menguji cuba teknologi baharu. Contohnya, menguji penghantaran pembelian dalam talian melalui dron dan penggunaan kenderaan pandu sendiri.

57. Untuk terus menggalakkan digitalisasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0, Kerajaan akan menyediakan lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian atau e-kaunter. Ini termasuk melaksanakan proses mematikan setem, menyemak dan menuntut Wang Tidak Dituntut bermula 1 Oktober 2020 dan sesi e-temuduga bagi permohonan biasiswa Kerajaan. Sehubungan itu, saya menyeru lebih banyak agensi dan Kementerian untuk merancakkan usaha digitalisasi dan automasi.

58. Untuk menggalakkan rakyat supaya menyokong produk dan perkhidmatan tempatan, Kerajaan juga akan meneruskan kempen “Buy Malaysia”. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah menggalakkan rangkaian pasar raya besar untuk membuat penandaan produk tempatan dan juga menubuhkan saluran produk Malaysia yang berdedikasi di platform e-dagang.

59. Dalam menjalani kehidupan norma baharu, semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan pembayaran tanpa sentuh atau contactless payment. Untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan ini, melalui Program ePenjana yang bernilai RM750 juta, Kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna. Ini akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-dompet. Inisiatif ini yang akan bermula pada bulan Julai 2020 akan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia.

60. Untuk merancakkan semula pasaran hartanah, beberapa insentif cukai akan disediakan:

Pertama: Kempen Pemilikan Rumah akan diperkenalkan semula. Melalui kempen ini, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman yang bernilai antara RM300,000 hingga RM2.5 juta. Pengecualian duti setem ke atas suratcara pindah milik adalah terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman tersebut manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman. Pengecualian ini akan berkuatkuasa bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021 tertakluk kepada syarat pemberian diskaun sekurang-kurangnya 10% oleh pihak pemaju; dan

Kedua: Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah diberikan kepada individu warganegara Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman yang dibuat mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021. Pengecualian ini dihadkan bagi pelupusan tiga unit rumah kediaman sahaja untuk setiap individu.

61. Selain itu, had pembiayaan bagi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600 ribu ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70% daripada nilai rumah, semasa tempoh program Kempen Pemilihan Rumah, tertakluk kepada pengurusan risiko dalaman institusi kewangan.

62. Selain itu, bagi menggalakkan pertumbuhan industri automotif negara, Kerajaan bersetuju memberi pengecualian cukai jualan sebanyak 100 peratus ke atas penjualan kereta penumpang pemasangan tempatan, dan 50 peratus bagi kereta penumpang yang diimport bagi tempoh mulai 15 Jun 2020 hingga 31 Disember 2020.

63. Saya mengambil maklum rata-rata rakyat masih berharap perkhidmatan Kerajaan dapat beroperasi di luar waktu pejabat untuk memudahkan urusan dengan agensi-agensi kerajaan. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan dan menyeragamkan waktu operasi di Pusat Transformasi Bandar atau UTC di seluruh negara berkuatkuasa 1 Julai 2020.

64. Untuk menarik syarikat luar negara memindahkan lokasi perniagaan mereka ke Malaysia yang pastinya akan meningkatkan nilai pelaburan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepasa rakyat, Kerajaan bersetuju untuk memberi galakan cukai seperti berikut:

Pertama: Kadar cukai 0% selama 10 tahun bagi pelaburan baharu dalam sektor pengilangan dengan pelaburan dalam harta tetap antara RM300 juta hingga RM500 juta; dan

Kedua: Kadar cukai 0% selama 15 tahun bagi pelaburan baharu dalam sektor pengilangan dengan pelaburan dalam harta tetap melebihi RM500 juta ke atas.

65. Galakan ini diberikan sekiranya syarikat memindahkan lokasi dan memulakan operasi dalam tempoh 1 tahun dari tarikh kelulusan dan amaun pelaburan yang terlibat mesti dibuat dalam tempoh 3 tahun.

66. Manakala bagi syarikat sedia ada di Malaysia yang memindahkan fasiliti pengilangan luar negara ke Malaysia, mereka layak mendapat galakan elaun cukai pelaburan sebanyak 100% bagi tempoh 5 tahun. Kedua-dua insentif ini berkuat kuasa bagi permohonan yang diterima dari 1 Julai 2020 sehingga 31 Disember 2021.

67. Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada MIDA untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti promosi dan pemasaran.

68. Seterusnya, bagi membantu syarikat untuk menaiktaraf teknologi, menembusi pasaran global melalui penyumberan luar atau outsourcing dan meningkatkan nilai eksport, Kerajaan bersetuju Dana Strategik Pelaburan Tempatan diberikan untuk pusingan kedua bagi projek dan syarikat yang sebelum ini telahpun layak menerima kemudahan tersebut.

69. Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) akan ditubuhkan untuk mempercepatkan pelaksanaan serta penyelarasan projek pelaburan yang diluluskan. Selain itu, kelulusan lesen pembuatan juga akan dipercepatkan dalam masa dua hari bekerja untuk industri yang tidak sensitif.

70. Sektor pelancongan adalah antara sektor yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19. Untuk mengaktifkan semula kegiatan industri pelancongan, beberapa langkah cukai akan dilaksanakan:

Pertama: Perniagaan di bawah industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan yang telah diberikan penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang kena dibayar bagi tempoh 1 April 2020 hingga 30 September 2020 akan dilanjutkan tempoh penangguhan selama 3 bulan lagi mulai 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020;

Kedua: Mengecualikan cukai pelancongan sepenuhnya bagi tempoh mulai 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021;

Ketiga: Pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang disediakan oleh pengendali premis penginapan dilanjutkan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021; dan

Keempat: Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang telah diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

71. Bercakap mengenai industri kreatif, hiburan dan acara, saya juga mendengar keluhan daripada karyawan, pengarah filem, krew produksi dan pengurus acara. Sehubungan itu, beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara yang berjumlah sebanyak RM225 juta akan dilaksanakan melalui kerjasama antara MyCreative Ventures, MDEC dan pihak swasta.

72. Bagi industri pertanian dan makanan, kemudahan pinjaman Dana Agrofood sebanyak RM350 juta akan diperuntukkan untuk memastikan kelangsungan pengusaha pertanian dan komoditi dalam sektor ini. Selain itu, Kerajaan juga akan memperkasakan peningkatan mobiliti tenaga kerja pertanian melalui insentif yang diberikan kepada syarikat perintis untuk melatih dan mengajar tenaga kerja untuk menceburi bidang pertanian dan perladangan. Selain itu, pengusaha pertanian bandar juga akan diberi bantuan bernilai RM500 seorang dan RM50,000 untuk setiap komuniti.

73. Bagi mendorong sektor komoditi, Kerajaan bersetuju memberi pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020.

74. Sebagai komitmen Kerajaan untuk mengurangkan impak perundangan COVID-19, Kerajaan bersetuju untuk menggubal Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah Sementara). Rang Undang-Undang ini merupakan pelepasan sementara atau temporary relief daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan. Kerajaan berharap dengan adanya Akta baharu ini, kelangsungan hidup rakyat Malaysia umumnya dapat diteruskan. InshaAllah, Kerajaan akan membentangkan RUU ini pada sesi Parlimen bulan Julai nanti.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

75. Saya ingin memberikan beberapa contoh mudah bagaimana PENJANA dapat memberi manfaat kepada anda sekalian. Misalnya, Kak Radziah pengusaha taska di bawah pakej PRIHATIN telah mandapat manfaat daripada subsidi upah dan sebagai seorang usahawan mikro telah menerima Geran Khas Prihatin sebanyak RM3,000. Di bawah PENJANA, Kak Radziah sekarang dapat menikmati pelanjutan subsidi upah untuk 3 bulan lagi. Di samping itu, dengan pembukaan semula taska selepas PKP, Kak Radziah juga sekarang layak menerima bantuan taska sebanyak RM5,000 dan juga insentif kursus asuhan sebanyak RM900 bagi setiap pekerjanya.

76. Satu lagi contoh ialah Datuk Lim. Di bawah PRIHATIN, Datuk Lim mendapat manfaat daripada moratorium pinjaman bank yang membantu kelangsungan aliran tunai perniagaannya. Selain itu, perniagaan Datuk Lim di bawah PRIHATIN juga dikecualikan levi HRDF. Ekoran pengecualian cukai untuk pembelian rumah dan kereta di bawah PENJANA, Datuk Lim sekarang berminat untuk membeli pangsapuri dan kereta untuk anak dewasanya. Di samping itu, bagi menyokong mengurus perniagaannya dari rumah, Datuk Lim menikmati internet percuma bagi membuat persidangan video dan dapat pengecualian cukai pendapatan untuk pembelian laptop baharunya.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

77. Sejak penularan wabak COVID-19, Kerajaan telah menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai dan peralatan perubatan melalui tabung derma yang uruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Sehingga kini, Kerajaan terus menerima permintaan daripada rakyat dan perniagaan yang ingin menyumbang kepada usaha untuk membina semula ekonomi negara.

78. Sehubungan itu, Kerajaan akan menerbitkan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta bagi memenuhi permintaan tersebut yang akan dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini. Dengan bertemakan “Daripada Rakyat, Kepada Rakyat”, dana yang terkumpul ini akan disalurkan untuk membantu pembiayaan perniagaan perusahaan mikro terutamanya usahawan wanita, penambahbaikan liputan internet jalur lebar di sekolah terutamanya di kawasan luar bandar dan geran penyelidikan penyakit berjangkit. Program ini terbuka kepada orang ramai dan syarikat.

79. Dengan sejumlah 40 inisiatif yang telah saya umumkan tadi, saya berharap semua pihak termasuk sektor swasta dan orang ramai dapat memberikan kerjasama dan memainkan peranan sebaiknya. Saya yakin segala usaha memulih dan merangsang ekonomi yang saya umumkan pada hari ini akan meningkatkan semula keyakinan pelabur, peniaga dan rakyat seluruhnya untuk bersama-sama menjana ekonomi negara.

80. Saya juga ingin memaklumkan sekali lagi, semua Pakej Rangsangan Ekonomi, termasuk langkah-langkah di bawah PENJANA akan terus dipantau pelaksanaannya. Pasukan LAKSANA yang telah ditubuhkan di Kementerian Kewangan akan mempertingkatkan lagi pemantauan terhadap semua inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

81. Barisan Jemaah Menteri juga akan bekerja keras untuk memberi khidmat yang terbaik buat anda semua. Saya berharap, usaha Kerajaan ini dapat terus memberi manfaat kepada rakyat. Contohnya seperti Encik Sugu dan Puan Pavithra yang viral di media sosial bulan lepas. Mudah-mudahan mereka dapat meningkatkan kemahiran dan membuka kedai makan pada satu hari nanti. Bolehlah kita merasa ayam varuval mereka.

82. Akhir kata, saya berdoa agar dapat dikawal sebaiknya. Sesuatu yang tidak pernah kita jangkakan akan berlaku, namun itulah kuasa dan perancangan Allah.

Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran ayat 54:

kَ و ُ خ ٱ َّ ین ِ ٰـ ِكر َم ۡ ُ ٱل َۡیر

Sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik perancang

83. Buat seluruh rakyat Malaysia, marilah bersama-sama saya dan barisan Jemaah Menteri saya untuk memastikan negara kita terus maju dan gemilang.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.