Relevankah ADD Ketika Ini ?

Ingat waktu dulu-dulu masa bersekolah di Sekolah Kebangsaan Haji Hassan Itam, Simpang Empat. Bapa aku mengedar Mingguan Kanak-Kanak di sekolah tersebut. Akhbar tu keluaran Karangkraf. Rasa aku harga dalam 3 kupang ( 30 sen). Dikeluarkan seminggu sakali. Dalamnya kalau tak salah banyak berita tentang isu kanak-kanak, sekolah, cerita pendak, karton dan sebagainya sesuai dengan usia mereka. Tapi sekarang dah tak ada dah. Selepas itu rasa aku dah tak ada akhbar untuk golongan kanak-kanak, yang ada majalah-majalah sahaja yang dikeluarkan sebulan sekali.


Pada 20 oktober 1985 Berita Harian telah mengambil inisiatif dengan melancarkan Akhbar Dalam Darjah ( ADD ) ( maklumat dari http://www.bharian.com.my/bharian/bh_latar ). Jadi akhbar yang dibaca oleh orang dewasa telah digunakan sebagai medium pendidikan dalam bilik darjah. Berbagai aktiviti yang melibatkan akhbar digunakan untuk tujuan tersebut. Akhbar digunakan untuk memantapkan penggunaan bahasa, menambah ilmu pengetahuan dan juga untuk seni kretif.


Persoalan kini timbul, adakah sesuai akhbar-akhbar digunakan sebagai medium pengajaran di sekolah kini?. Isu ini aku timbulkan disebabkan berita-berita masa kini lebih kepada isu sensasi. Seperti artis kahwin dan cerai, dapat kekasih baru diletakkan dimuka hadapan seolah-olah isu negara. Gambar-gambar seksi terutama artis yang bagi pandangan hiburan itu sangat baik melariskan jualan. Isu-isu percakaran pemimpin menuduh sana menuduh sini. Berita salah laku sex, tangkap basah, rasuah, merompak, bunuh ini menjadi berita utama. Baguslah jika bertujuan untuk mendidik atau memberi pengajaran. Hari ini dan beberapa hari kebelakangan ini isu video salah laku sex pemimpin dipaparkan dengan tajuk besar dan gambar besar ( benar atau tidak hanya tuhan saja yang tahu ). Adakah ini yang akan menjadi contoh teladan kepada kanak-kanak.


Jika menggunakan akhbar-akhbar ini ketika dalam aktiviti bilik darjah. Apa yang guru-guru nak lakukan. Takkan surat khabar itu bertujuan untuk digunting-gunting tulisan dalamnya dan di lekatkan membuat ayat sahaja. Mesti juga bertujuan untuk pembacaan terutama untuk memantapkan penggunaan bahasa terutama Bahasa Inggeris. Jadi bahana pemikiran akhbar yang tidak sesuai dengan tahap pemikiran mereka akan melimpah ke bilik darjah. Janganlah menganggap kanak-kanak itu semuanya tahu yang mana baik yang mana buruk diperingkat usia mereka. Setiap baris yang kanak-kanak baca tak semestinya mereka akan mendapat penjelasan dari orang dewasa, mereka mungkin juga cuba mendapat maklumat dari rakan-rakan dan juga membuat tanggapan sendiri.


Mereka dalam peringkat pembesaran dan sentiasa ingin tahu. Harus berhati-hati. Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya ; “ Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.


Untuk tujuan pengajaran terutama yang akan mengambil peperiksaan besar seperti UPSR dan PMR disediakn sisipan dalam akhbar. Pembeli akan dapat 2 dalam 1. Beli akhbar dapat sisipan untuk menjawab peperiksaan. Jadi kita akan dapat segala berita yang baik dan tidak baik dan juga untuk peperiksaan. Oleh itu kanak-kanak pun akan mendapat kedua-duanya juga.


Bagi akulah kalau boleh dikembalikan semula akhbar yang khusus kepada kanak-kanak. Isi kandungannya mestilah bersesuaian dengan tahap pembelajaran semasa disamping itu boleh menjadi saluran kepada kementerian untuk menyampaikan maklumat pendidikan kepada kanak-kanak. Akhbar-akhbar lain bolehlah kiranya diletakkan rating pada muka depan akhbar mereka seperti wayang.


Jika sesuatu akhbar itu editornya menitikberatkan keharmonian negara dengan banyak memaparkan kemakmuran dan kemajuan dan diselang-seli sedikit dengan berita sensasi diberi kategori U dan editornya suka menerbitkan cerita-cerita sensasi seperti kes tangkap basah, rogol, khalwat di letakkan kategori 18.


Pendapat akulah, buat masa sekarang Akhbar Dalam Darjah sudah tidak relevan lagi memandangkan berita yang dipaparkan tidak sesuai dengan apa yang hendak dicorakkan pemikiran mereka untuk masa hadapan.

1 comment:

  1. Mingguan kanak-kanak setiap hari khamis..Hari jumaat cikgu bawa ke kelas ..Aku ingat lagi.

    ReplyDelete