Warung Kari Ikan Sembilang & Udang Galah Menggelupoq - Kamunting

Tuuuu dia panjangnya nama warung aku nak kena buat short form, Warung Kari Ikan Sembilang & Udang Galah Menggelupoq. Warung ini dekat sahaja dengan Tol Taiping Utara. Selepas  keluar tol jumpa lampu isyarat belok kiri dalam  setengah kilometer akan jumpa warung ini disebelah kiri, betul-betul tepi jalan.
Warung Kari Ikan Sembilang & Udang Galah Menggelupoq, 

Kami sampai kesini dua kali. Makan tengahari masakan ala lampung. Berbagai masakan ada seperti kari, kurma, sambal tumis, kicap dengan lauk ikan, sembilang, daging, udang, sotong, kambing dan sebagainya. Ulam-ulaman beserta sambal pun ada.


Makan dihidang macam katering rumah kenduri.

Yang menjadi masakan pembunuh / killer ialah gulai semilang dan juga sambal tumis udang galah. Yang ini mesti cuba bila sampai kesini.
Sambal anak udang galah

Kari sembilang.

Ikan sembilang aku tak berapa suka, jadi aku tak boleh komen. Tapi sambal udang galah memang terbaik, rasa sedap bukan kerana udang tu sahaja tetapi kuah sambal tu memang sedap rasa manis-manis pedas ditambah dengan rasa udang memang terbaik. Tak makan udang tak apa, tapi kuah tu yang boleh lajak 2 pinggan nasi.
Sambal udang galah. Ini killer, kuah sedap.
Satu lagi yang aku suka ialah kurma kambing. Dia punya kuah pekat melekat memenuhi citarasa aku.
Kurma kambing. Yang ni aku suka, kuah pekat melekat.
Masak lemak siput sedut.

Selain dari makanan yang menarik disini ialah suasana dalaman warong. Kerusi dan meja dibuat dari kayu seperti kayu terpakai dan ada ruang yang boleh pengunjung makan bersila atas lantai. Dibelakang warung pula ada sungai mengalir, bolehlah layan pemandangan sungai waktu makan.
Alhamdulillah, sedap.

Kalau nak bersila ada ruang disediakan, haaa boleh bersila macam kat rumah.

Sebelah tu boleh layan sungai.

Harga makanan jika pilih lauk biasa-biasa sahaja bagi aku harga berpatutan. Jika ambil udang galah, kena paham-pahamlah. Tanda harga udang galah dan ikan sembilang di letakkan.
Harga sembilang dan udang galah dibagi tahu.

Warung ini bagi aku bersih dan ditambah dengan tokey kedai yang ramah. Kepada yang nak merasai makanan ala kampung dan nak merasa sambal udang galah dan kari ikan sembilang boleh datang sini, tak mengecewakan. Dibawah maklumat warung.

Alamat:
Warung Kari Ikan Sembilang & Udang Galah Menggelupoq,
Kamunting
(Selepas Tol Taiping Utara jumpa lampu isyarat belok kiri dan jalan dalam setengah kilometer)

Waktu operasi:
Buka hari Rabu hingga Isnin dari jam 8 pagi hingga 6.30 petang
Tutup hari Selasa

Telefon:
011-1303 2523

Lokasi GPS dan Google Map:

4°53'58.9"N 100°40'15.3"E
4.899697, 100.670913




Selera Warisan Abah - Taiping

Aku kampoi semua kedai makan yang kami pernah sampai di Kamunting dan Taiping. Walau macam tak berapa meriah tapi banyak juga kedai makan menarik disini. Semenjak berulang alik ke Taiping tak pernah lagi ke kedai Tom Yam atau Ala Thai. Entahlah tak pasti.
Penjara Taiping

Kali ini juga bukan kedai Tom Yam πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚ . Kali ini kami ke Selera Warisan Abah, sebuah warong masakan ala kampung terletak di persimpangan jalan dekat saja dengan Panjara Taiping. Terletak betul-betul di tepi jalan.
Selera Warisan Abah

Waktu tengahari orang boleh tahan ramai juga. Masakan ala kampung memang sedap kat sini. Macam-macam masakan ada. Kari, masak tempoyak, masak lemak, kerabu sambal dan ulam-ulaman dan ada juga bakar-bakar seperti ayam, ikan pari dan keli.


Macam-macam lauk ala kampung ada. Ada banyak lagi lauk tapi aku tak ambil gambar ~ entah pasai apa.

Aku biasa makan tengahari sahaja disini dan amat memenuhi selera aku. Untuk makan tengahari, jangan sampai lewat sangat nanti lauk habis. Sarapan disini aku tak pasti macam mana ~ tak pernah lagi cuba. Kedai ini bagi aku bersih dan selesa ditambah dengan pekerja yang ramah. Harga pula berpatutan. Ramai ibu bapa yang bawa anak outing makan disini.


Ramai ibu bapa bawa anak outing makan disini (ada dua sekolah asrama penuh disini Sek Men Sains Tun Raja Azlan Shah dan Sek Men Sain MARA Taiping). Kalau nak datang, dibawah aku bagi sedikit maklumat.

Selera Warisan Abah
Jalan Kemunting Lama

Facebook: Selera-Warisan-Abah

Waktu operasi:
Buka setiap hari jam 7.00 pagi hingga 5.00 petang.
Tutup hari Rabu

Lokasi GPS dan Google Map:
4°51'44.4"N 100°44'55.9"E
4.862333, 100.748861


Ikan Bakar Parit Gabis - Cawangan Kamunting

Nama kedai pun macam bank juga ada cawangan. Seperti biasa outing dengan M Ammar. Hari ini nak istimewa sedikit, isteri aku nak belanja sempena birthday boy, akulah tu. Makan tengahari istimewa. Selepas ke STRATAS ambil Ammar kami patah balik ke Kamunting. Sampai di The BBQ Garage, pekerja disitu baru nak buka kedai. Alamakkk tak jadilah. Malas nak carai tempat lain, kami terus sahaja ke atas lagi dan berjumpa Akan Bakar Parit Gabis (Cawangan Kamunting). Jadi kona masuk sajalah ke situ.
Ikan Bakar Parit Gabis Cawangan Kamunting

Selalu bila lintas dihadapan kedai ni, orang boleh kata ramai juga dengan asap bakar ikan berkepul keluar. Tapi masa kami sampai orang tak ramai, mungkin dah lewat sedikit. Parking mudah disini sebab disebelah kedai ada kawasan pakir yang luas.

Menu lauk disini taklah berderet-deretlah banyak. Tapi bagi aku OK, janji sedap.  Disini ada kari, pajeri, masak kicap, sambal, masak lemak, kerabu, ulam dan yang menarik ada berbagai juadah bakar seperti ikan talapia, keli, cencaru, merah dan sebagainya. Nampak macam biasa-biasa sahaja. Ini yang kami ambil.
Ikan talapia bakar bersama air asam mabeles.

Keli bakar

Ayam bakar.
Nampak biasa-biasa sahaja. Tetapi lepas makan disini, perghhh... memang sedap. Masakan ala kampung disini memang terasa masakan kampung (apa aku cakap nie??? suka hatilah). Ikan bakar dia memang terasa perapan rempah-rempahnya dan yang paling sedap ialah air asamnya. Air asam lain dari yang lain, kalau setakat lihat memang macam tak berapa menyelerakan dengan warna yang kelam dan serabut. Tapi setelah dicicah dengan ikan bakar, terasa nak minta bungkus bawak balik.

Terima kasih iateri aku belanja, alhamdulillah sedap, Tolong abaikan perut yang termasuk dalam gambar.

Warung ini dibuka untuk makan tengahari, jadi kepada yang hendak datang sini, dibawak aku bagi sedikit maklumat:

Ikan Bakar Parit Gabis Cawangan Kamunting
Jalan Kamunting Lama.
(Keluar Tol Taiping (Utara), jumpa simpang empat terus sahaja ke arah Kamunting/Taiping. Dalam 1.5KM, kedai berada di sebelah kiri)

Waktu operasi:
Setipa hari : 12.30 tengahari-5.00 petang

Telefon:
014 - 2506659

Lokasi GPS dan Google Map:

4°53'59.4"N 100°40'53.9"E
4.899827, 100.681634




Restoran Ansari Famous Cendol - Taiping

Lama tak tulis benda merepak dalam blog ni. Jari pun dah keras otak dah beku nak buat ayat. Cerita lama, tahun lepas. Semenjak Si Abang, Mohd Ammar berasrama di Taiping kami boleh kata dalam setiap minggu ke sana, sementara dia nak biasa di asrama. Selang dua minggu boleh outing, kalau tidak outing kami berkelah dalam sekolah sajalah.

Jadi bila outing maka terjadilah jalan-jalan cari makan disekitar Taiping dan kawasan sewaktu dengannya. Aku tulis ni tak termasuk kedai makanan segeralah. Dia punya iklan dah banyak dalam TV. Jadi tempat pertama kalau tak silap kami terjah ialah di Taiping Mall dan menyantap Marybrown - makanan segera tak perlu aku tulis. Oleh kerana masih awal nak hantar balik asrama semula, kami susuli dengan makan ringan pula di katanya terkenal di Taiping iaitu Restoran Ansari Famous Cendol. Haaa.. itu lah yang femesnya, cendol.
Restoran Ansari Famous Cendol, Taiping.

Jadi sebelum hantar balik asrama kami pekena dulu cendol disini. Nak oder juga pasembur tapi dah habis. Apa rasa cendol disini? bagi aku biasa sahaja tapi santan yang digunakan terasa keaslian dan kepekatannya dan berlemak.
Ni dia cendol yang fames tu.

Oh ya untuk makluman disini cuma jual cendol dan pasembur. Peniaga yang ada disini kebanyakannya Mamak. Jadi jangan bila tengok mamak saja terus minta nasi kandar atau roti canai.
Menu yang ada, jangan dok minta macam-macam pula.

Masa kami datang boleh kata penuh dengan pengunjung. Yang buat cendol memang macam tak boleh berhenti, ada sahaja oder yang datang. Tapi walau sebok, layanan mereka memang terbaik, sentiasa senyum.
Bermain dengan salji.

Semua kena pantas. Oder datang tak berhenti.
Kali kedua sampai ke Ansari Cendol baru dapat merasa pasembur. Tak semeriah pasembur di Pulau Pinang. 
Kat depan kedai tertulis cendol ini warisan sejak tahun 1940 dan mereka ini generasi ke 3. Kepada yang hendak merasai cendol Taiping bleh datang ke sini.Baca kat bawah.

Restoran Ansari Famous Cendol
92, Jalan Barrack, 34000 Taiping,
012-562 9440

Waktu buka:
Isnin hingga Ahad : 10.00 pagi hingga 6.30 petang

Lokasi GPS dan Google Map:

4°51'10.8"N 100°44'19.8"E
4.852985, 100.738820




Kuliah Ilmu Februari 2019

BUlan Januari tertinggai, boh yang bulan Februari pulak. Jom tambah ilmu bulan Februari nie sekitar Bertam, Kepala Batas.

Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas:

Masjid At ATqwa Taman, Bertam Indah, Kepala Batas:


Masjid At ATqwa Taman, Bertam Indah, Kepala Batas:


Nak maklumat terkini LIKE FB masjid dan surau berkenaan. Segala perubahan tertakluk kepada masjid dan surau berkenaan.