15 Jenis Makanan Dilarang Jual Di Kantin Sekolah

Petikan dari Berita Harian Online

15 jenis makanan dilarang jual di kantin sekolah
Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2011/04/26

Kuala Lumpur: Makanan diproses seperti burger, hotdog dan nuget serta teh dan kopi adalah antara 15 jenis makanan ‘tidak sihat’ yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai bulan depan.
Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan. Larangan itu adalah berdasarkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru yang dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata cadangan itu terkandung dalam draf garis panduan penjualan makanan di kantin sekolah yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April lalu.

Beliau berkata, cadangan penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Larangan penjualan makanan tidak sihat sejajar dengan usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat di kalangan rakyat, terutama kanak-kanak. Ia langkah mencegah peringkat awal,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini mengumumkan, peraturan itu adalah langkah proaktif kerajaan bagi menangani peningkatan masalah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar dengan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti. Kajian universiti sama juga menunjukkan, 88.6 peratus pelajar membeli makanan dan minuman yang disajikan di kantin sekolah, sekali gus meningkatkan lagi hasrat kerajaan untuk memastikan makanan sihat dijual di sekolah.

Turut dicadangkan ialah supaya Indeks Jisim Badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar. Pakar pemakanan UKM, Prof Dr Mohd Ismail Mohd Noor, berkata amalan merekodkan BMI diamalkan negara maju seperti Amerika Syarikat seawal kanak-kanak berusia dua tahun bagi membolehkan mereka dibimbing dengan amalan pemakanan dan aktiviti fizikal sihat.

“Obesiti sebenarnya disebabkan pelbagai punca makanan, namun peraturan baru itu adalah permulaan baik dalam memastikan pelajar mendapat makanan sihat dan seimbang di sekolah sebelum ibu bapa memainkan peranan di rumah dengan memastikan amalan baik diteruskan,” katanya.

Kajian menunjukkan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun meningkat daripada 9.7 peratus pada 2001 kepada 13.7 peratus pada 2007. Peningkatan dikaitkan dengan amalan pemakanan tidak sihat dan aktiviti fizikal tidak aktif, iaitu 76 peratus kanak-kanak didapati menghabiskan sebahagian besar masa dengan menonton televisyen atau duduk di hadapan komputer.

******************************************************************
Antara makanan yang dibenarkan:

1- Nasi lemak , nasi goreng - 2 kali seminggu
2- Lontong, nasi pulut mi kari - 1 kali seminggu
3- Mi, bihun , kuetiau sup - boleh setiap hari
4- Susu berperisa boleh.

Selepas garis panduan ini di laksanakan , jangan pula ada kantin-kantin jual makanan tak berkhasiat secara sorok-sorok pula. Pemantauan ke atas penjaja di hadapan sekolah juga perlu diambil kira. Jika boleh hadkan jarak penjaja dengan laluan pintu masuk / keluar sekolah seperti jadikan zon 100m dari kawasan pintu sekolah sebagai kawasan larangan menjaja.

Tadika pun diharap mengambil inisiatif untuk memperbaiki mutu makanan yang disediakan. Biar sistem pemakanan kanak-kanak bermula dari bawah. Ibu bapa pun kena memberi kerjasama untuk memastikan anak-anak kurang menagambil makanan tak berkhasiat.

Kita Masih Dijajah - Perkahwinan Diraja Britain

Perkahwinan diraja Britain yang akan menemukan Catherine Elizabeth atau lebih dikenali Kate Middleton, 29 dengan pewaris kedua takhta diraja England, Putera William akan dibawa secara eksklusif oleh sebuah rangkaian TV. Sebelum upacara tersebut juga beberapa siri dokumentari telah menyusul untuk menyemarakkan lagi majlis yang akan berlangsung.
Biarlah mereka nak kahwin. Yang aku nak tau kenapa kita yang ketika ini tak ada kena mengena dengan meraka berlebih-lebih sangat nak sambut juga. Dulu iyalah sebab kita dijajah oleh mereka. Perkahwinan Siti dengan Dato K pun OK lah juga dua-dua rakyat Malaysia ( walau macam over ja... ). Sekarang kita dah merdeka masih lagikah perlu sujud kepada Queen kat sana?. Menyambut apa yang mereka sambut.

Kita pada tahun 1824 hingga 1941 dan dari 1945 hingga merdeka telah di jajah oleh British dan telah termasuk dalam negara Commonwealth / Komanwel. Negara Komanwel mereupakan gabunga antara negara yang pernah dijajah oleh Britian. Untuk mengeratkan hubungan negara-negara yg pernah menjadi jajahan British di buatnya Sukan Komanwel dan dijemput dengan karpet merah Queen merasmikannya ( dari segi ekonomi memang untung ). Ishhh... tak rasa bersalah kah kita menjemput bangsa yang telah menjajah kita dan telah memerah sumber pertiwi ini? Yang tinggal kat kita cuma hampas sahaja.

Apa itu Negara Komanwel. Maklumat dari Wikipedia :

Negara-Negara Komanwel atau Komanwel sahaja merupakan satu persatuan secara sukarela yang melibatkan negara-negara berdaulat yang ditubuhkan atau pernah dijajah oleh pihak British kecuali Mozambique (bekas jajahan Portugis) dan Rwanda (bekas jajahan Belgium).

Bukan semua ahlinya mengiktiraf ratu British, Ratu Elizabeth II sebagai ketua negara. Negara-negara yang mengambilnya sebagai ketua negara dikenali sebagai Kerajaan Komanwel atau "Commonwealth Realm". Bagaimanapun, majoriti ahlinya adalah republik, dan sebahagian yang lain mempunyai raja tersendiri. Contohnya seperti Malaysia, Brunei, Tonga, yang mempunyai Raja/Monarki yang sendiri. Namun demikian, semua ahlinya menganggap Ratu Elizabeth II sebagai Ketua Komanwel.

Komanwel merupakan lanjutan Empayar British yang lahir daripada Persidangan Imperial pada akhir 1920-an. Selepas negara-negara jajahan British mencapai kemerdekaan, komanwel telah ditubuhkan untuk menyatukan negara-negara bekas jajahan British ini.


Ishhh... apa yang aku melalut nie. Jadi apa yang hendak kita tunjukkan dari memerihkan lagi sambutan mereka. Adakah kita juga berbuat demikian kepada negara-negara lain yang pewaris kerajaan mereka berkahwin. Apakah hebatnya Britian itu? Atau kita adalah kelompok manusia yang suka kenduri-kendara atau nak lihat fesyen apa yang di pakai? fikir-fikirkan.

Haram Riba...Haram Pecah Amanah

Berita hari ini Bekas Pegawai Bank Muamalat Didakwa Pecah Amanah. Terlihat sinopsisi berita akhbar di kaca TV awal pagi ini. Yang menariknya sebab berlaku di Bank Muamalat cawangan USM.

Kebetulan Jumaat lepas 15hb April 2011, seorang ustaz Bank Muamalat datang memberi ceramah di Masjid Al-Malik Khalid USM. Ustaz Mohd Hafiz Fauzi, Ketua Jabatan Syariah Bank Muamalat bertajuk " Riba - Mencari Jalan Pulang ". Menarik ceramahnya menerangkan kenapa kita perlu membuat urusan dengan bank yang menawarkan perkhidmatan berlandaskan hukum-hukum agama. Pilihlah bank yang 100% di dokong oleh umat Islam.
Hari ini aku dapat berita dari akhbar mengenai pecah amanah dari bekas staf Bank Muamalat. Tanya kawan-kawan mengenai berita ini, depa bagi tahu kes ini dah lama dah, dan baru nak dibicarakan.

Apakah pengajaran yang aku dapat dari berita ini.

1- Tempat kerja tak menentukan status sesorang itu. Walau bekerja di persekitaran yang insyaallah menitik beratkan syariaat Islam tak semestinya pekerja yang didalam tu pun berpegang teguh dengan hukum-hukumnya. Contoh aku dulu bekerja kat UIAM, bila sebut kerja kat UIAM pakat-pakat anggap kita nie ustaz atau pensyarah. Ishhh...salah tuu.

2- Integriti. Setiap pekerja perlu ada integriti. Apa itu integriti?. Integriti ialah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya, dll. Dengan adanya integriti kita kan bekerja dengan amanah dan mengikut lunas-lunas yang betul.

3- Accountability / bertanggungjawab. Bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan. Jika kita sentiasa bekerjka dengan persekitarann yang dikelilingi derngan wang ,maka wang itu amanah yang perlu kita pegang dan uruskan dengan baik.

4- Nama baik. " Kerana nila setitik rosak susu sebelanga ". Oleh kerana nila setitik sahaja yang masuk kedalam susu, orang akan nampak nila itu sahaja. Susu dah tak nampak dah. Jadi apa sahaja yang kita buat bukan merosakkan nama kita sahaja tetapi merosakkan nama organisasi.

5- Temuduga selama 30 ke 60 minit tak menentukan apa yang akan kita dapat esoknya.

Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Jalan mana yang dipilih.

Petikan dari Utusan Online hari ini:

Lagi didakwa pecah amanah lebih RM14 juta


PULAU PINANG 20 April - Selepas didakwa melakukan pecah amanah RM1.57 juta dan dituduh terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram hampir RM200,000, seorang bekas Ketua Pusat Khidmat Pelanggan, Bank Muamalat Bhd., hari ini didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh, Aishah Mohamed Rose, 50, yang sebelum ini bertugas di cawangan Universiti Sains Malaysia (USM) didakwa atas lima pertuduhan pecah amanah harta milik bank tersebut berjumlah RM14,205,336.51.

Turut didakwa suaminya, Johari Ahmad, 54, yang merupakan seorang peguam bersama seorang Pegawai Logistik Motorola Technology Sdn. Bhd., Azman Abdul Aziz, 49, atas tuduhan bersubahat dengan Aishah melakukan pecah amanah.

Mereka bertiga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Raut wajah pasangan itu yang diwakili peguam Jagdeep Singh Deo nampak bersahaja sementara Azman kelihatan sugul dan gelisah.

Mengikut pertuduhan pertama, Aishah didakwa melakukan pecah amanah wang RM3,363,936.94.

Dia dari Lintang Sungai Ara Dua, Bayan Lepas di sini didakwa melakukan empat lagi tuduhan serupa melibatkan wang RM3,679,939.54; RM2,889,878.99; RM2,490,758.40 dan RM1,780,852.64.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara 27 Januari 2005 dan 16 Julai 2009, di bangunan USM, Jalan Minden di sini.

Timbalan Pendakwa Raya S. Devanandan mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sementara Johari dan Azman yang berasal dari Bukit Mertajam dekat sini pula didakwa telah bersubahat dengan Aishah melakukan pecah amanah RM14,205,336.51 pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 409 dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Sitarun Nisa membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM300,000 dan memerintahkan dokumen perjalanan masing-masing kepada mahkamah.
Sementara itu, di mahkamah sama Azman yang mohon dibicarakan atas 10 pertuduhan lain melibatkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM988,464.38 dengan cara memindahkan 10 keping cek milik Citibank yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 17 April dan 14 Julai 2009 di Motorola Technology Sdn. Bhd., Plot 2, Bayan Lepas, Technoplex Industrial Park di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Pang Chuin Keat mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM5 juta.

Sitarun Nisa membenarkan Azman diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin.

Kesemua kes terhadap ketiga-tiga tertuduh akan disebut semula pada 23 Mei depan.

BPA...BPA...BPA

Ini botol susu bebas BPA yang baru beli kat Miki Baby Land Kepala Batas. Setelah sebok akhbar dan TV mengumumkan kemungkinan ( kemungkinan di gunakan sebab tiada bukti saintifik mengatakan keburukannya ) bahaya akibat BPA yang terdapat dalam bahan botol susu. Nama pendek BPA nama panjang Bisphenol A.

Sampai ke kedai, botol susu BPA free cerah, habis. Perihatin ibu bapa membeli botol baru yang lebih selamat. Aku lihat yang jenama Avent ja, tapi jenama lain ada lagi dengan harga yang jauh lebih murah. Pengharaman penjualan botol susu akan bermula pada 1 Mac 2012 menurut Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Dibawah sedikit kenyataan akhbar Menteri Kesihatan Malaysia:

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Mac 2011 telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA). Dimaklumkan bahawa penguatkuasaan pengharaman penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2012."

Yang mushkilnya kenapa diambil 1 tahun untuk mengharamkannya. Baca lagi sebahagian lagi kenyataan ini

"Tindakan pengharaman ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan pihak industri diberi tempoh masa satu (1) tahun untuk membuat persediaan bagi keperluan pertukaran atau pembelian mesin dan penggunaan bahan mentah yang sesuai."

Serupa hendak menjaga pengilang. Kenapa tidak bagi 3 bulan sahaja. Tentu mereka ada alternatif untuk melakukan perubahan dengan cepat. Ada negara lain dah lama mengambil tindakan pengharaman. Kita sepatutnya mengambil iktibar dari pengharaman oleh negara luar, mesti ada sebab.

Walau pengharaman akan berlaku setahun lagi tetapi botol susu bebas BPA sudah ada di pasaran. Ada yang plastik dan ada yang kaca. Harga pun boleh tahan mahal juga berbanding dengan yang biasa. Kalau anak minum tertib, sopan dan lemah lembut ok lah guna yang kaca. Hairan juga kenapa yang jenis kaca pun mahal sedangkan sebotol sos yang dalam bekas kaca baru harga RM4.00. Tak dak sesiapakah yang dapat buat modifikasi tudung botol sos supaya boleh dimasukkan puting??.

Diharap botol bebas BPA akan turun harga selepas ini sebab ia tiada pesaing lagi.

Kepada pihak tertentu ada persoalan timbul, bagaimana kita hendak mengenalpasti botol tiruan atau original. Ini perlu difikirkan dari sekarang. Ketika ini kebanyakan botol bebas BPA hanya mempunyai pelekat yang mengatakan bebas BPA di luar botol atau di pembalut sahaja. Oleh itu mesti ada satu kaedah yang lebih jelas lagi mengenai perkara ini.

Buat masa sekarang botol yang mengandungi BPA bersifat keras dan lutsinar ( inilah tujuan digunakan BPA ) tetapi yang bebas BPA akan sedikit pudar dan lembut. Secara saintifik plastik botol susu bayi boleh dikenalpasti melalui kod yang terdapat pada botol tersebut.

Plastik telah di identifikasikan sebanyak 7 jenis bergantung kepada bahan pembuatannya seperti dibawah.


Untuk selamat botol susu yang di identifikasi nombor 7 perlu di elakkan dan ada yang mengatakan nombor 3 pun perlu di elakkan. Seboleh cari yang mempunyai tanda atau tulisan BPA Free yang di ukir atas botol.

Kepada yang telah terbeli botol yang ada BPA dibawah cara pengendalinnya ( maklumat dari Kementerian Kesihatan Malaysia ) :

1. Steril botol susu bayi polikarbonat mengikut arahan pengendalian yang terdapat pada label atau yang diberikan oleh pengeluar sekiranya ada. Jika tiada, pengguna perlu merendam botol susu bayi polikarbonat dalam air yang mendidih selama 5 hingga 10 minit.

2. Elakkan menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu. 3. Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus yang lembut bagi mengelakkan permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.

4. Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan sekiranya terdapat kesan calar atau rosak, botol susu perlu diganti. Sekiranya tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap 6 bulan.

BPA ini bahaya disebabkan oleh bahan ini dapat meniru horman manusia, oleh itu ia memberi kesan kepada sistem tubuh terutama kepada bayi dan kanak-kanak.

Antara laman web yang boleh di buat rujukan:

http://en.wikipedia.org/wiki/Bisphenol_A http://fsq.moh.gov.my/v2/modules/xt_conteudo/index.php?id=293 http://www.plasticfreebottles.com/ http://www.hhs.gov/safety/bpa/ http://www.bisphenol-a.org/ http://www.health.state.mn.us/divs/fh/mchatf/documents/bpafactsheet.pdf

Malaysia Ada Banyak Negeri

Selamat....dah habis pilihanraya DUN Sarawak. Lepas ni kalau nonton TV baru tahu Malaysia ada banyak negeri lagi selain Sarawak. Dah tak larat nonton TV asyik-asyik mengenai Sarawak...tak dak tempat lain lagi dah.

Kepada yang kalah biasalah adat dalam politik. Kepada yang menang tunaikanlah janji yang dah ditabur. Aku harap media massa keluarkan senarai projek yang telah dijanjikan seperti projek bina jambatan, jalan raya dan entah apa lagi yang dijanjikan. Senaraikan di muka depan akhbar seperti berita video aksi terlampau bakal pemimpin dan selepas itu buat seperti check-list. Bila sesuatu projek itu siap tanda dah siap. OK dak cadangan tu??

Kepada menteri-menteri dari semenanjung yang turun berkempen ingat tugas anda bukan setakat berkempen sahaja tetapi tanggungjawab anda sebagai wakil yang diamanahkan rakyat untuk membangunkan negara ( bukan untuk sarawak sahaja ) sedang menanti anda. Sekali lagi anda dilantik dan diundi atas kepercayaan pengundi bukan untuk berkempen tetapi untuk memajukan kawasan yang diwakili dan negara.

Nasi Kandar Mamu, Kepala Batas

Pekan Kepala Batas memang terkenal dengan kedai mamak nasi kandar ( walau pekerjanya rasanya import dari India atau Bangla). Kebanyakan yang ada kat kawasan ni tak berapa kena dengan selera aku. Nasi campur Melayu memang susah nak jumpa terutama waktu malam. Kedai ala-Thai ada tapi kena tunggu, sebab makanan kena oder jadi kalau nak cepat dan mudah inilah pilihnnya. Kalau ronda waktu malam kedai-kedai nasi kandar nie penuh dengan manusia.

Awal tahun ini ada gerai nasi kandar baru yang dibuka. Selalu dok lalu depan kedai ini, pelanggan boleh kata ramai juga walau dibuka hanya disebuah gerai di parking lot. Datang makan sekali dah jadi berkali-kali. Ini kunjungan aku yang keberapa entah la. Sebab makanan yang disediakan sedap kena mai selalu. Ini mamak betul punya bukan klon Bangla atau India.
Sebuah gerai dengan pacak khemah sahaja. Meja makan diletak dalam khemah tersebut dan juga di tepi kaki lima bangunan perniagaan di sebelah. Aku letak sahaja namakan Nasi Kandar Mamu sebab tokey derai membahasakan dirinya Mamu ketika bercakap dengan anak-anak aku. Nama sebenar gerai aku pun tak tahu. Lauk yang disediakan boleh kata banyak juga. Yang jadi feberet aku kambing ros. Lain-lain lauk seperti ayam goreng panas ( ayam di goreng dalam gerai tu juga, banyak peniaga buat macam nie masa sekarang untuk tarik pelanggan ). Antara feberet aku juga, telor sotong goreng. Aku suka sebab telur jenis yang tak lembik. Cabai / cili jeruk. Banyak lagi lauk seperti masak hitam, kurma, ros, kari ikan, ayam, puyuh, daging . Kuah memang best, ada rasa. Nie telatah anak aku makan kat sini. Harga macam kedai nasi kandar lain juga. Lokasinya terletak di tapak parking di komplek perniagaan antara Klinik Kesihatan Kepala Batas dan juga Pejabat Agama Daerah Kepala Batas. Dihadapan ( seberang jalan besar ) stesen minyak Shell. Gerai dibuka selepas jam 5.30 petang hingga malam setiap hari. Nak mudah lihat peta kat bawah dibawa secara live oleh Google map.

View Nasi Kandar Mamu in a larger map

Update :

2hb April 2014
Gerai nie bukan milik Nasi Kandar Ali Khan dah. Sekarang tokey lain pula gerai nasi kandar nie.

27hb Mei 2011
Nama warong ni: Nasi Kandar Ali Khan

Relevankah ADD Ketika Ini ?

Ingat waktu dulu-dulu masa bersekolah di Sekolah Kebangsaan Haji Hassan Itam, Simpang Empat. Bapa aku mengedar Mingguan Kanak-Kanak di sekolah tersebut. Akhbar tu keluaran Karangkraf. Rasa aku harga dalam 3 kupang ( 30 sen). Dikeluarkan seminggu sakali. Dalamnya kalau tak salah banyak berita tentang isu kanak-kanak, sekolah, cerita pendak, karton dan sebagainya sesuai dengan usia mereka. Tapi sekarang dah tak ada dah. Selepas itu rasa aku dah tak ada akhbar untuk golongan kanak-kanak, yang ada majalah-majalah sahaja yang dikeluarkan sebulan sekali.


Pada 20 oktober 1985 Berita Harian telah mengambil inisiatif dengan melancarkan Akhbar Dalam Darjah ( ADD ) ( maklumat dari http://www.bharian.com.my/bharian/bh_latar ). Jadi akhbar yang dibaca oleh orang dewasa telah digunakan sebagai medium pendidikan dalam bilik darjah. Berbagai aktiviti yang melibatkan akhbar digunakan untuk tujuan tersebut. Akhbar digunakan untuk memantapkan penggunaan bahasa, menambah ilmu pengetahuan dan juga untuk seni kretif.


Persoalan kini timbul, adakah sesuai akhbar-akhbar digunakan sebagai medium pengajaran di sekolah kini?. Isu ini aku timbulkan disebabkan berita-berita masa kini lebih kepada isu sensasi. Seperti artis kahwin dan cerai, dapat kekasih baru diletakkan dimuka hadapan seolah-olah isu negara. Gambar-gambar seksi terutama artis yang bagi pandangan hiburan itu sangat baik melariskan jualan. Isu-isu percakaran pemimpin menuduh sana menuduh sini. Berita salah laku sex, tangkap basah, rasuah, merompak, bunuh ini menjadi berita utama. Baguslah jika bertujuan untuk mendidik atau memberi pengajaran. Hari ini dan beberapa hari kebelakangan ini isu video salah laku sex pemimpin dipaparkan dengan tajuk besar dan gambar besar ( benar atau tidak hanya tuhan saja yang tahu ). Adakah ini yang akan menjadi contoh teladan kepada kanak-kanak.


Jika menggunakan akhbar-akhbar ini ketika dalam aktiviti bilik darjah. Apa yang guru-guru nak lakukan. Takkan surat khabar itu bertujuan untuk digunting-gunting tulisan dalamnya dan di lekatkan membuat ayat sahaja. Mesti juga bertujuan untuk pembacaan terutama untuk memantapkan penggunaan bahasa terutama Bahasa Inggeris. Jadi bahana pemikiran akhbar yang tidak sesuai dengan tahap pemikiran mereka akan melimpah ke bilik darjah. Janganlah menganggap kanak-kanak itu semuanya tahu yang mana baik yang mana buruk diperingkat usia mereka. Setiap baris yang kanak-kanak baca tak semestinya mereka akan mendapat penjelasan dari orang dewasa, mereka mungkin juga cuba mendapat maklumat dari rakan-rakan dan juga membuat tanggapan sendiri.


Mereka dalam peringkat pembesaran dan sentiasa ingin tahu. Harus berhati-hati. Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya ; “ Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.


Untuk tujuan pengajaran terutama yang akan mengambil peperiksaan besar seperti UPSR dan PMR disediakn sisipan dalam akhbar. Pembeli akan dapat 2 dalam 1. Beli akhbar dapat sisipan untuk menjawab peperiksaan. Jadi kita akan dapat segala berita yang baik dan tidak baik dan juga untuk peperiksaan. Oleh itu kanak-kanak pun akan mendapat kedua-duanya juga.


Bagi akulah kalau boleh dikembalikan semula akhbar yang khusus kepada kanak-kanak. Isi kandungannya mestilah bersesuaian dengan tahap pembelajaran semasa disamping itu boleh menjadi saluran kepada kementerian untuk menyampaikan maklumat pendidikan kepada kanak-kanak. Akhbar-akhbar lain bolehlah kiranya diletakkan rating pada muka depan akhbar mereka seperti wayang.


Jika sesuatu akhbar itu editornya menitikberatkan keharmonian negara dengan banyak memaparkan kemakmuran dan kemajuan dan diselang-seli sedikit dengan berita sensasi diberi kategori U dan editornya suka menerbitkan cerita-cerita sensasi seperti kes tangkap basah, rogol, khalwat di letakkan kategori 18.


Pendapat akulah, buat masa sekarang Akhbar Dalam Darjah sudah tidak relevan lagi memandangkan berita yang dipaparkan tidak sesuai dengan apa yang hendak dicorakkan pemikiran mereka untuk masa hadapan.