SKPK dalam Utusan Online

Projek SK Paya Keladi disambung semula

KEPALA BATAS 27 Mei - Kerja-kerja pembinaan projek blok Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Keladi di sini yang bernilai RM3.8 juta yang terbengkalai sejak setahun lalu akan disambung semula tidak lama lagi.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad berkata, pihaknya difahamkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa tender bagi penyambungan semula projek itu sudah dianugerahkan kepada kontraktor baru.

Beliau menjelaskan, kontraktor baru sebelum ini telah menarik diri daripada meneruskan projek itu pada Disember tahun lalu.

"Kita sudah minta penjelasan daripada JKR dan mereka memaklumkan bahawa tender projek tersebut sudah pun dianugerahkan kepada kontraktor baru.

"Tetapi kita belum diberi sebarang pengesahan apabila projek itu akan disambung semula," katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan tinjauan di sekitar sekolah tersebut hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan keperitan lebih 800 murid sekolah itu yang terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa apabila projek pembinaan blok baru di situ terbengkalai sejak tahun lalu.

Ekoran masalah itu, sekolah tersebut terpaksa dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang kerana bilangan bilik darjah yang tidak mencukupi selain kekurangan kemudahan.

Sepanjang tempoh itu, murid serta guru sekolah juga terpaksa menggunakan khemah sementara pada waktu rehat memandangkan bangunan kantin sudah dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek berkenaan.

Sementara itu, Ibrahim menafikan bahawa projek terbengkalai di sekolah itu mengakibatkan murid lelaki dan perempuan terpaksa berkongsi tandas.

"Sekarang ada tiga tandas murid lelaki dan dua untuk murid perempuan, jadi isu murid berkongsi tandas tidak sepatutnya timbul," katanya.

Beliau menjelaskan, setiap blok bilik darjah di sekolah itu ada mempunyai tandas untuk kegunaan murid-murid.

**Diambil dari Utusan Online pada 28hb Mei 2009**

No comments:

Post a Comment