SKPK dalam Utusan online

Setahun projek SK Paya Keladi Terbengkalai


MURID-MURID makan di merata-rata tempat pada waktu rehat kerana masalah kantin dan blok tambahan Sekolah Kebangsaan Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang yang terbengkalai semalam. - uTUSAN/Shamsudin Saleh



KEPALA BATAS 26 Mei - Kira-kira 800 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Keladi di sini terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa apabila projek pembinaan blok baru di sekolah itu terbengkalai sejak setahun lalu.

Ekoran masalah itu, sekolah tersebut terpaksa dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang kerana bilangan bilik darjah yang tidak mencukupi selain kekurangan kemudahan.

Sepanjang tempoh itu, murid serta guru sekolah juga terpaksa menggunakan khemah sementara pada waktu rehat memandangkan bangunan kantin sudah dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Mansor Abdul Samad berkata, bilik tandas sekolah juga didapati banyak yang rosak sekali gus mengakibatkan rasa tidak selesa para guru dan murid.

''Justeru, kami merayu pihak berkenaan supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membolehkan projek terbabit boleh diteruskan dan disiapkan segera.

''Ia sudah terbengkalai begitu lama dan ia mendatangkan kesan buruk kepada proses pembelajaran murid-murid,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mansor berkata, projek itu dimulakan sekitar September 2007 tetapi dihentikan pada sekitar Disember lalu atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan oleh kontraktor.

Katanya, projek berkenaan dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah kekurangan bilik darjah selain pembinaan sebuah dewan bagi memudahkan aktiviti di sekolah tersebut.

''Selepas projek berhenti, tapak pembinaan ditinggalkan begitu sahaja dan ia dikhuatiri akan mengakibatkan kesan negatif termasuk menjadi tempat pembiakan nyamuk,'' jelasnya.

Selain itu, katanya, jarak tapak projek dengan blok sedia ada hanya dipisahkan kira-kira 20 meter dan ia mengancam keselamatan murid-murid.


***Berita dan Gambar di ambil dari Utusan online pada 27hb Mei 2009***

1 comment: