SKPK dalam Utusan Online

Kontraktor gagal siap projek disenarai hitam

KEPALA BATAS 20 Jun – Kementerian Pelajaran sedang mengenal pasti kontraktor yang gagal menyiapkan pembinaan sekolah dan makmal di seluruh negara untuk disenarai hitam daripada menerima sebarang projek kementerian itu pada masa depan.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengumpul nama-nama kontraktor terbabit berdasarkan laporan projek pembinaan sekolah terbengkalai.

Menurutnya, ia termasuk pemantauan ke atas kontraktor yang terlibat dalam 148 projek pembinaan sekolah dan makmal terbengkalai di seluruh negara setakat ini.

“Saya sudah mencatatkan maklumat mengenai kontraktor berkenaan dan mereka ini tidak layak diberi kontrak lagi pada masa akan datang.

“Kami tidak mahu lagi berkompromi dengan kontraktor begini kerana ia hanya menyusahkan banyak pihak selain menjejaskan pelajaran anak-anak,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Bertam di sini hari ini.

Beliau mengulas kes projek pembinaan bangunan baru di SK Paya Keladi di sini yang terbengkalai sejak dua tahun lalu sehingga memaksa sekolah itu dibahagi kepada dua sesi selain khemah digunakan sebagai kantin sementara.

Mohd. Puad berkata, pihaknya akan bertindak tegas dalam menyenaraihitamkan nama kontraktor terbabit bagi memastikan isu projek sekolah terbengkalai dapat ditangani secara bersungguh-sungguh.

“Kami tidak berkompromi dalam hal ini kerana berdasarkan pengalaman kontraktor terbabit hanya berdalih tanpa memberi alasan yang munasabah. Cukuplah, kami tidak mahu dengar terlalu banyak dalih,” tegasnya.

***Berita dari Utusan Online pada 21hb Jun 2009***

p/s: dok search pasai SKPK jumpa berita nie.

No comments:

Post a Comment