SKPK dalam Berita Harian

Utara: Kontraktor gagal siap dua projek sekolah akan disenarai hitam

KEPALA BATAS: Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan tegas termasuk kemungkinan menyenarai hitam kontraktor yang gagal menyiapkan dua projek bangunan di dua sekolah di sini.

Projek itu ialah pembinaan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan Paya Keladi (SKPK) dan pembinaan semula kelas kabin Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam (SKPB).

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkahsi, berkata kementerian perlu tegas berikutan kegagalan kontraktor menjejaskan pelajaran murid dan menyusahkan pihak lain.

Pembinaan kelas kabin di SKPB yang membabitkan dua blok dengan kos RM500,000, terpaksa dibuka semula kerana strukturnya tidak selamat.

“Projek pembinaan semula sedang dijalankan dan kontraktor memberi jaminan projek itu dijangka siap Rabu ini. Jika gagal, kementerian akan menyenarai hitamkan kontraktor itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas meninjau dua projek itu, kelmarin. Turut hadir, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Mohd Puad berkata, pembinaan kelas kabin itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan tempat belajar berikutan satu daripada bangunan sekolah sedia ada didapati tidak selamat.

“Pembinaan kelas kabin perlu mengambil kira aspek keselamatan pelajar termasuk menggunakan bahan kalis api dan tahan lama," katanya.

Beliau juga berkata, pendekatan jangka panjang dalam membina sesebuah sekolah baru terutama dari segi keperluan tanah, khususnya di bandar akan dikaji dengan teliti.

Mengenai blok bangunan tambahan SKPK yang terbengkalai pula, Mohd Puad berkata, ia antara projek sakit yang dilaksanakan kontraktor baru.

"Kementerian tidak boleh lagi mendengar pelbagai alasan kontraktor tetapi mereka perlu menyiapkan sesuatu projek walau dalam keadaan apa sekalipun," katanya.

Beliau berkata, banyak lagi projek kementerian yang terbengkalai dan sakit di seluruh negara termasuk pembinaan blok tambahan dan pembinaan makmal sains, akan diberi perhatian.

***Berita diambil dar Berita Harian pada 21hb Jun 2009***

p/s: patut la pagar zink dibuka orang besar2 datang.

No comments:

Post a Comment